Sabtu, Disember 06, 2014

Anwar kata dia tidak minta gelaran itu?


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa bahawa beliau tidak membuat sebarang permintaan atau permohonan untuk memiliki Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSSA).

Sebaliknya, menurut Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri itu telah dikurniakan sendiri kepada beliau pada tahun 1992 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Walau bagaimanapun, kata beliau, penarikan balik darjah kebesaran itu langsung tidak akan menjejaskan perkhidmatannya, malah berjanji akan terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat negeri itu.

“Saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang telah berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya.

“Saya akan tetap menjalankan tugas-tugas saya, terutama dalam menjunjung Perlembagaan negara, raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta sentiasa mendukung perjuangan untuk meningkatkan martabat rakyat,’’ katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Anwar membuat kenyataan sedemikian sebagai reaksi atas tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah menarik balik gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepadanya berkuat kuasa 3 November lepas.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan memberitahu, gelaran itu ditarik balik berikutan tindakan dan perlakuan Anwar sejak akhir 2013 yang mempersoalkan kuasa dan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Gabenor johor berkata...

Kalau dh tak minta kenapa memekak bila diminta pulangkan balik gelaran tersebut..pulangkan sahajalah seperti Chua Jui Meng memulangkan pingat tnpa memekak dibelakang