Sabtu, Ogos 04, 2012

Skandal TALAM - KHSB dipaksa jadi 'Pak Sanggup'?


Chua Tee Yong (lima dari kanan) bersama sebahagian ahli MCA menunjukkan pelan tanah yang dibeli oleh anak syarikat kerajaan negeri Selangor daripada syarikat Talam semasa mengadakan lawatan ke Bukit Ulu Yam di Hulu Selangor, semalam.

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang dihambat kontroversi penyelewengan, semakin 'panas' apabila pendedahan terbaru menunjukkan bagaimana anak syarikat kerajaan negeri dikatakan dipaksa menjadi 'pak sanggup' untuk melunaskan hutang Talam Corporation Berhad (Talam).

Mangsa dalam kes kali ini adalah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) apabila syarikat tersebut didakwa diarah oleh Kerajaan PKR Selangor mengambil alih tanah milik Talam seluas 160 hektar di Bukit Ulu Yam, dengan harga RM18 juta walaupun ia mempunyai kecerunan kelas tiga dan empat iaitu melebihi 35 darjah.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong sehubungan itu menuntut penjelasan mengapa KHSB tetap diarah membeli tanah tersebut walaupun pada 3 Mei 2010 syarikat terbabit sudah menolak 'cadangan' Kerajaan PKR Selangor kerana hasil penilaian mendapati 55 peratus tanah berkenaan tidak boleh dibangunkan.

Lebih menimbulkan tanda tanya jelas beliau, harga ditawarkan kepada KHSB juga RM5.3 juta lebih mahal berbanding harga pasaran iaitu RM12.7 juta dan arahan pengambilalihan pula dibuat hanya setahun selepas kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling agar semua rancangan pembangunan tanah kelas tiga dan empat dibekukan.

"Jadi, kenapa kerajaan PKR Selangor boleh menerima dan mengarahkan KHSB membeli tanah ini dengan harga RM18 juta sedangkan penilaian yang dibuat Sulaiman & Co pada Julai 2011 menunjukkan tanah tersebut hanya berharga RM12.7 juta? Kenapa KHSB perlu beli dengan harga RM5.3 juta lebih mahal?

"Persoalan kedua, kenapa KHSB tetap diarah membeli tanah Talam itu walaupun 'cadangan' awal kerajaan PKR Selangor sudah ditolak pada 3 Mei 2010? Apa pembangunan yang hendak dilakukan di kawasan tersebut yang 55 peratus disahkan tidak boleh dibangunkan?," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) tempatan membawa kumpulan media melawat serta melihat sendiri keadaan cerun bukit tanah tersebut dan sehingga kini belum ada sebarang pembangunan dibuat di atas tanah berkenaan.

Sebelum ini, Tee Yong turut mendakwa bagaimana Kerajaan PKR Selangor dikatakan memaksa KHSB mengambil alih beberapa aset Talam dengan harga jauh lebih mahal antaranya tanah seluas 4.8 hektar di Puncak Jalil (RM12 juta); lot kedai di Ukay Perdana (RM7.8 juta) dan lima unit pejabat di Menara Pandan (RM2.7 juta).

Dalam pada itu, beliau mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tampil menjelaskan segala pendedahan mengenai skandal penyelewengan tersebut dan bukannya mengalih isu dengan membazir RM500,000 duit rakyat bagi melantik firma asing.

"Kenapa susah sangat beliau nak jawab semua pendedahan ini kalau benar kerajaan PKR Selangor mempunyai akauntabiliti, integriti dan bertanggungjawab. Jangan cuba mengalih isu kalau benar tidak bersalah, paling mudah dedahkan kertas putih sebagaimana dijanjikan dan tidak perlu membazir RM500,000 duit rakyat.

"Pada saya, kalau Abdul Khalid takut untuk menjawab isu ini dengan cuba mengalihkan isu utama sehingga akhirnya di kalangan Exco beliau sendiri memberi maklumat yang bertentangan, ia jelas menunjukkan ada sesuatu yang besar cuba disembunyikan Kerajaan PKR Selangor daripada pengetahuan rakyat," katanya.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: