Rabu, Ogos 15, 2012

Perjuangan Islam PAS bermusim?


PAS sentiasa sahaja mahu dikaitkan dengan sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Atas sebab itulah, ia menjadi satu-satunya parti yang mempunyai Dewan Ulama. Latar belakang penubuhannya juga lebih banyak dikaitkan dengan cita-cita bagi mewujudkan sebuah organisasi politik Islam yang unggul.

Malahan dalam kalangan pemimpin utama Pas, mereka menguar-uarkan mengundi parti itu di dalam pilihan raya akan mendapat pahala kerana Pas mahu menegakkan Islam. Pas juga pada asalnya begitu memperjuangkan hasrat menubuhkan negara Islam. Keadaan itu menampakkan Pas akan muncul satu-satunya parti yang akan menegakkan hukum-hukum Allah.

Sebelum tahun 2008, di mana-mana sahaja berada, Pas akan melaung-laungkan perjuangan bagi menegakkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah. Apabila ada pihak terutamanya daripada UMNO mempersoalkan ketelusan Pas untuk memperjuangkan Islam maka 'mengamuklah' pemimpin-pemimpin Pas.

Mereka tetap menganggap bahawa mereka memperjuangkan Islam tetapi apa yang anehnya dari semasa ke semasa, Pas dilihat begitu takut untuk bercakap soal penubuhan negara Islam. Pelbagai hujah dikeluarkan bagi menutupi perasaan bersalah mereka apabila dihujani pertanyaan apa sudah berlaku dengan perjuangan menegakkan negara Islam.

Misi berkenaan semakin kabur, apabila Pas bersahabat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Kesudahannya melalui kongres pakatan pembangkang, soal penubuhan negara Islam itu sudah tidak wujud lagi. Selain itu juga, demi menjaga hati PKR dan DAP, pemimpin-pemimpin Pas amat berhati-hati dalam bercakap soal Islam. Ia termasuklah dalam isu orang Islam bekerja di premis menjual arak.

Justeru seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom agar semua parti yang terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang perlu menghindarkan daripada 'memperdagangkan agama Islam' dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh memecahkan perpaduan rakyat adalah tepat.

Menurut Jamil Khir, agama Islam tidak boleh 'dijual beli' atau dipergunakan semata-mata untuk meraih sokongan politik dengan mengelirukan masyarakat yang akhirnya berlaku pergaduhan dan perpecahan. "Bila datang saja pilihan raya, ia menjadi satu medan untuk orang menabur fitnah dan membangkitkan isu sensitif agama," katanya.

Sememangnya, itulah yang berlaku apabila berlaku pertembungan antara UMNO dan Pas dalam mana-mana pilihan raya. Jamil Khir membuat gesaan itu kerana amat memahami sepak terajang politik Pas dalam meraih sokongan ketika musim pilihan raya.

Pas akan melakukan apa sahaja dan mengeluarkan 'fatwa' yang dianggap mengikut situasi semasa semata-mata untuk meraih sokongan. Pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Pas mendakwa kerjasama antara UMNO dengan MCA dan parti bukan Islam lain adalah haram kerana UMNO dikatakan mengikut telunjuk parti-parti itu tetapi bagaimana pula hubungan Pas dengan DAP yang secara terang-terang menentang penubuhan negara Islam.

Begitu juga dengan sikap Pas di Selangor yang dilihat tidak mempunyai 'taring' bagi menentang dasar-dasar kerajaan PKR yang disokong oleh DAP, walaupun ada dasar-dasar itu bertentangan dengan Islam. Turut menjadi perhatian mengenai sikap Islam Pas ialah apabila pada ceramah-ceramah politik mereka, masih wujud perbuatan memaki-hamun dan menyebarkan dakyah yang menjuruskan kepada fitnah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kalaulah Pas benar-benar mengikut lunas-lunas Islam dalam berkempen, sudah tentulah parti itu tidak akan membenarkan mana-mana pemimpinnya melemparkan dakyah dan tohmahan ketika berceramah. Itu belum lagi mengambil kira bagaimana Pas membiarkan sahaja ada pemimpinnya mengeluarkan 'fatwa' awal-awal lagi bahawa mengundi BN adalah haram.

Begitu juga apabila Pas tidak bersungguh-sungguh mengeluarkan nasihat kepada penyokong-penyokongnya (terutama di kalangan khatib dan imam) yang menjadi mimbar masjid untuk berpolitik. Tindakan Pas yang tidak bertegas dalam soal berkaitan Islam ini mengelirukan umat Islam atau mereka yang ingin memahami Islam.

Oleh itu, adalah wajar jika Pas benar-benar mengutamakan kepentingan Islam berbanding dilihat memperalatkan agama Islam demi untuk keuntungan politik mereka. Tidak salah untuk berpolitik kerana itu tuntutan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tetapi janganlah menyalahkan agama Islam bagi tujuan berkenaan.

Hakikatnya, sebahagian besar umat Islam sudah muak dengan pendekatan politik yang diamalkan oleh Pas. Parti itu hanya menyentuh soal Islam apabila ia berkaitan dengan kepentingan politik mereka sahaja tetapi apabila ada perkara yang dilihat tidak sehaluan dengan Islam dilakukan oleh DAP dan PKR maka Pas hanya mendiamkan diri sahaja.

Keadaan inilah yang menyebabkan DAP dan PKR tidak pernah mengambil kira apa kata Pas jika mereka hendak melakukan sesuatu biarpun ada sesetengah seharusnya mendapat pandangan Pas dahulu memandangkan parti itu memperjuangkan Islam. Tetapi DAP dan PKR peduli apa? Mereka tahu Pas tidak akan berani bersuara kerana Pas hanya mahu mengeratkan persahabatan dan perkongsian kuasa dengan mereka.

Apa yang anehnya, Pas tidak pula membantah atau melahirkan rasa protes, kalau pun ia dilakukan, pendekatan yang digunakan cukup lembut sehingga ia disifatkan ibarat lepas batuk di tangga sahaja.

Oleh itu, pengundi-pengundi di DUN Tenang terutamanya umat Islam janganlah terpedaya dengan apa juga hujah berhubung perjuangan Islam yang mereka uar-uarkan.

Pas tidak lagi memperjuangkan Islam sebab itulah mereka terlalu bertoleransi dengan apa yang dilakukan oleh DAP dan PKR.

Mungkin pengundi-pengundi akan didedahkan dengan pelbagai hujah Pas mengenai perjuangan Islam itu tetapi percayalah semua itulah hanyalah gimik politik bagi meraih undi.

Apabila berakhir pilihan raya maka berakhirlah suara-suara Pas mengenai perjuangan berkenaan. Ia kerana Pas ingin memelihara hubungan dengan DAP dan PKR.

Berdasarkan kepada keadaan itu adalah wajar jika umat Islam tidak terpengaruh lagi dengan apa juga hujah Pas mengenai Islam. Ia kerana parti itu hanya bercakap soal Islam demi meraih sokongan politik, bukan untuk kesejahteraan umat.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: