Jumaat, Jun 29, 2012

Pembantu MP Serdang didakwa seleweng?



Pembantu kepada Ahli Parlimen (MP) Serdang, Teo Nie Ching didakwa melakukan penyelewengan kadar sewa premis Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Serdang sebanyak RM14,500 sejak 2009.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mendakwa, penyelewengan tersebut berdasarkan perjanjian rahsia Chan Hung Guan iaitu pembantu Nie Ching dengan tuan premis pusat khidmat berkenaan.

Katanya, jumlah RM14,500 itu merangkumi kadar sewa selama dua tahun lima bulan di premis yang terletak di Batu 9, Cheras yang sewanya dibayar oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

"Premis yang disewa Nie Ching itu diuruskan oleh Hung Guan yang sewa sebulan hanya RM500. Namun mengikut perjanjian rahsia, RM1,000 akan dibayar kepada tuan premis sebelum tuan premis mengembalikan kepada Hung Guan baki RM500 setiap bulan.

"Saya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan pembantu Nie Ching dalam penyelewengan itu, malah tuan premis berkenaan juga bersetuju tampil mendedahkan perlakuan Hung Guan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan penyelewengan itu di sini hari ini.

Menurut Tee Beng, beberapa laporan juga telah dibuat kepada kerajaan PKR Selangor mengenai penyelewengan tersebut, namun sehingga kini tiada tindakan atau siasatan dilakukan ke atas Hung Guan.

"Selain membuat laporan kepada SPRM, saya juga sebelum ini turut membuat laporan polis mengenai penyelewengan itu," katanya.

Dalam pada itu, Tee Beng turut mencabar Nie Ching tampil menyelesaikan masalah membabitkan Hung Guan, bukannya berdiam diri.

"Saya cabar Nie Ching membuat kenyataan terbuka menafikan pembabitannya dalam hal itu, jika betul tidak bersubahat atau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut beliau patut membantu pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan.

"Nie Ching tidak perlu takut, saya bukan tuduh beliau yang terbabit dalam penyelewengan itu tetapi hanya pembantunya. Jika tidak mahu terus dipergunakan oleh Hung Guan, sila tampil bantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Nie Ching ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut sambil menyifatkan Tee Beng bertindak sedemikian untuk mencari publisiti murahan.

Beliau menegaskan, pihaknya kini dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar tuduhan tersebut.

''Semua itu tidak betul. Mungkin Tee Beng ada masalah kewangan atau masalah yang saya sendiri pun tidak tahu.

''Saya yakin Hung Guan tidak bersalah dan tidak ada apa yang boleh dibuktikan dengan melaporkan kepada SPRM," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: