Ahad, Jun 17, 2012

Isu Air Selangor : MB Khalid Semakin Panik - Tuduh Pusat Langgar Undang-Undang Pulak?




Setelah Forum Air Selangor dilihat gagal mencari 'jalan penyelesaian' baru-baru ini, bagi menutup kegagalan tersebut Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan pula campur tangan Kerajaan Persekutuan yang menidakkan kuasa Kerajaan Negeri dalam menangani isu air yang berterusan.

Khalid berkata, tindakan itu dianggap sebagai melanggar undang-undang yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sendiri pada 2006. Menurutnya, hak pengurusan air adalah di bawah kuasa sepenuhnya Kerajaan Negeri seperti yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Saya rasa Kerajaan Persekutuan tidak boleh untuk tidak melaksanakannya. Ini kerana dalam perlembagaan, air di bawah kuasa negeri tetapi pelaksanaan adalah persefahaman kedua kerajaan.

“Kita juga sudah membuat persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan saya berharap mereka tidak culas dalam melaksanakannya memandangkan kedua kerajaan perlu melaksanakannya demi kepentingan rakyat.

“Jika sekiranya mereka masih mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri semata-mata atas dasar politik, kita tunggu sahaja keputusan pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Ini kerana saya percaya kuasa kehakiman rakyat akan membuktikan siapa lebih berhak mentadbir negeri ini,” katanya disini semalam.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan Kerajaan PKR Selangor hanya pandai berforum tetapi gagal menyelesaikan isu bekalan air.

Kenyataan ini juga dibuat berikutan Forum Air Selangor yang dikatakan berat sebelah kerana hanya dihadiri Exco kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dari PR selain wakil media dan dan segelintir orang awam sahaja.

Kelmarin, Khalid menyifatkan forum bersama orang awam tanpa melibatkan wakil Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dianggap lebih relevan kepada rakyat untuk membuat pilihan lebih murah bagi mendapatkan bekalan air bersih, selain projek penyaluran air Pahang menerusi pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Katanya, Syabas tidak berminat untuk meneruskan perbincangan dalam forum dengan alasan utama mereka ada sebutan kes di mahkamah selain sementara Kerajaan Negeri kecewa apabila kementerian berkaitan juga gagal datang ke forum sama yang dianjurkan sebelum ini.



Menteri Besar Selangor nampak begitu bimbang dengan kos pembinaan loji Langat 2 yang dikatakan mencecah RM12 billion. Kenapa perlu beliau bimbang sedangkan kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, untuk kebaikan rakyat Selangor juga.

Sekiranya beliau bimbang tarif air akan naik, penulis mahu bertanya, adakah ia tercatat dalam perjanjian konsesi sekiranya Syabas membeli air terawat dari Loji Langat 2, maka harga air boleh dinaikkan sesuka hati?

Kerajaan Selangor sepatutnya lebih menumpukan kepada usaha memastikan bekalan air di negeri itu sentiasa mencukupi daripada penstrukturan semula industri air.

Walaupun berlakunya penstrukturan semula industri air, kerajaan negeri masih belum menyatakan rancangan mereka dalam memastikan bekalan air terawat di Selangor mencukupi bagi menampung keperluan penduduk dan industri.

Sehingga kini, MB Khalid masih menafikan laporan bahawa simpanan air terawat adalah rendah iaitu sekitar dua ke tiga peratus tanpa memberikan angka sebenar.



Cadangan kerajaan negeri bahawa sumber air boleh didapati daripada banyak sumber seperti air bawah tanah, empangan mahu pun air lombong tidak akan bermakna jika loji rawatan air yang ada tidak mampu menampung kapasiti air ini.

Sedangkan 33 loji rawatan air di Selangor sudah hampir mencapai kapasiti optimum masing-masing dan ada yang beroperasi lebih daripada kapasiti maksimum! Isu air di Selangor dilihat semakin kritikal. Apa yang dikesalkan ialah, MB Khalid seolah-olah buat tidak tahu mengenai masalah air tersebut!

Pada Forum Air Selangor anjuran kerajaan negeri Selasa lepas, tiada keputusan kukuh yang diumumkan selain hanya bercadang untuk meneliti setiap cadangan yang ada. Hakikatnya kita semakin kesuntukan masa. Fikir-fikirkanlah..!!!

Suara Politik
Taminsari


Tiada ulasan: