Isnin, September 12, 2011

Khalid cari populariti murahan - Noh Omar!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad disifatkan seorang pemimpin yang 'bodoh sombong' apabila menuduh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan UMNO mengadakan konspirasi setelah beliau disiasat mengadakan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah surau di Klang, Ogos lalu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tuduhan Khalid itu tidak sepatutnya dikeluarkan sebagai seorang pemimpin politik kerana ia menunjukkan sikap tidak matang Ahli Parlimen itu dan tidak menghormati undang-undang.

Beliau berkata, Khalid tidak seharusnya menuding jari kepada pihak lain apatah lagi UMNO yang tidak ada kena mengena dalam kes tersebut kerana mengadakan ceramah agama tanpa tauliah di masjid dan surau di negeri ini merupakan satu kesalahan dan ia termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Beliau mahu mencari populariti murahan dengan membuat tuduhan sedemikian. Kenapa beliau dan pemimpin Pas lain mahu menggunakan masjid dan surau di Selangor untuk mengadakan ceramah, bercakap mengenai politik, dah tak ada tempat lain nak buat.

"Sultan Selangor sebelum ini telah menitahkan supaya masjid dan surau di negeri ini dijadikan gelanggang untuk berpolitik. Khalid adalah pemimpin politik di negeri ini, beliau sepatutnya menghormati titah Sultan Selangor, bukan menunjukkan sikap bodoh sombong dan tidak cerdik," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khalid pada 7 September lalu yang menyerang pegawai JAIS setelah tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa agama itu mengambil tindakan kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang, bulan lalu.

Menurut Khalid, JAIS sebagai sebuah badan yang tidak bebas manakala para pegawai yang menjalankan tugas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 itu mempunyai pemikiran jumud selain mengamalkan diskriminasi dan bersekongkol dengan UMNO.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menempelak Khalid yang sebelum ini menyifatkan peraturan tauliah bagi mereka yang ingin mengajar, ceramah dan tazkirah mengenai agama Islam di surau dan masjid di negeri ini sebagai ketinggalan zaman.

Kata beliau, Ahli Parliman Shah Alam itu sepatutnya sedar bahawa parti yang diwakilinya, Pas adalah yang mentadbir kerajaan negeri ketika ini bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Beliau berkata, sekiranya Khalid mengatakan peraturan itu sudah lapuk, beliau sepatutnya mengemukan pandangannya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali sama ada ia perlu digubal atau tidak.

"Kenapa Khalid tidak beritahu kepada Menteri Besar atau Hasan Ali mengenai hal ini. Kenapa beliau nak main politik dengan menuduh dan menunding jari kepada orang lain. Adakah Khalid yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor takut kepada PKR dan DAP," tegasnya.

Sementara itu : Fitnah jatuhkan MB Selangor - MAIS akan saman Khalid

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad yang majlis itu mengadakan perjumpaan untuk menjatuhkan menteri besar Selangor. Sehubungan itu, MAIS akan merujuk kepada peguam untuk menentukan sama ada satu tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Khalid Samad berhubung dakwaan tersebut.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad meminta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjelaskan sama ada mesyuarat majlis itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan beberapa NGO Islam - yang didakwa cuba menjatuhkan menteri besar - bersifat rasmi.

Khalid juga mencabar Pengerusi MAIS Mohd Adzib Isa mendedahkan agenda dan minit mesyuarat, senarai jemputan dan tujuan mesyuarat itu diadakan, sekiranya bersifat rasmi. Khalid Samad turut mendesak Mohd Adzib mendedahkan memorandum yang dihasilkan dalam mesyuarat itu yang didakwa berniat menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebaliknya, tegas Mohd Adzib Isa, perjumpaan dengan 45 NGO Islam pada 5 Ogos lalu bertujuan untuk memberi penerangan dan penjelasan berhubung isu pemeriksaan Geraja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"MAIS tidak menafikan bahawa antara NGO Islam yang hadir pada perjumpaan tersebut terdiri daripada kakitangan kerajaan, tetapi kehadiran mereka bukanlah mewakili jabatan sebaliknya mewakili NGO yang disertainya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: