Selasa, September 27, 2011

Hudud: Pas dicabar tinggalkan DAP!

Pas dicabar supaya meninggalkan pakatan dengan DAP sekiranya parti pembangkang itu mahu meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Pas sepatutnya tidak perlu tunduk dengan ugutan DAP yang mahu meletakkan jawatan mereka beramai-ramai sekiranya Pas tetap dengan pendirian mahu melaksanakan perkara itu.

"Kenapa Pas perlu takut ugutan DAP jika mereka mahu laksanakan undang-undang hudud. Apa yang jelas kita lihat ialah DAP menentang agenda Pas dan ini bermakna tidak wujud kesepakatan dalam pakatan pembangkang itu sendiri.

"Justeru, jika Pas ini ada prinsip serta maruah, mereka sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang, bukannya tunduk kepada ugutan DAP," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dan menyampaikan sumbangan kepada 128 orang bakal haji kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menegaskan pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletak jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Menurut Guan Eng, penegasan itu dibuat sebagai mengulangi pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang bagaimanapun yakin bahawa Pas tetap akan tunduk kepada ugutan DAP dengan melupakan hasrat mereka untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Mengambil contoh di Selangor, Pas sebenarnya amat bergantung kepada DAP untuk membolehkan parti itu terus menjadi kerajaan negeri pada hari ini.

Ini kerana katanya, bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki Pas sebenarnya tidak cukup untuk parti itu mewujudkan kerajaan pimpinannya sendiri kerana hanya mempunyai lapan kerusi DUN dan bergantung kepada DAP yang mempunyai 13 kerusi dan 14 kerusi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Maka sebab itu saya yakin isu hudud Pas ini hanya gimik politik untuk pilihan raya, begitu juga dengan ugutan DAP yang bersifat retorik semata-mata.

"Pas, DAP dan PKR masing-masing bergantung kepada kerusi yang dimenangi mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri kerana tiga parti pembangkang ini masing-masing tidak mempunyai kerusi majoriti.

"Saya yakin Pas akan tunduk juga kepada ugutan DAP ini. Begitu juga dengan DAP yang bergantung harap kepada Pas untuk membolehkan mereka berkuasa," ujarnya.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: