Khamis, Januari 27, 2011

MB Khalid perlu letak jawatan demi maruah!

Mungkin ramai daripada kita yang masih ingat episod "patik mohon sembah derhaka" yang dipohon bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2009.

Tanpa sedikit pun perasaan hormat, beliau memohon untuk 'derhaka' lantaran Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memberi perkenan agar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.

Tindakan Mohammad Nizar itu menyebabkan institusi kesultanan Melayu terutama di Perak diperlekehkan sehingga terdapat di kalangan pengikut pembangkang sanggup mengepung dan berbaring di atas jalan raya semata-mata untuk menghalang kenderaan yang membawa rombongan diraja.

Walaupun kejadian itu telah berlaku dua tahun lalu, ia nampaknya telah dilakonkan semula di Selangor yang juga diperintah pembangkang.

Kali ini, ia berpunca kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bersetuju apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan perkenan supaya Datuk Mohammed Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Jika di Perak, Mohammad Nizar menyatakan secara terbuka untuk sembah derhaka, di Selangor lain pula yang dilakukan, apabila secara halus kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, kelmarin.

Walaupun Abdul Khalid memberi alasan pindaan itu bertujuan mengembalikan kuasa untuk pelantikan tiga pegawai tertinggi kerajaan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar, ia sebenarnya mempunyai tujuan lain yang tersembunyi.

Seperti yang didedahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang juga pakar perlembagaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim baru-baru ini, bahawa ia sebenarnya bermotifkan politik yang bertujuan mengikat Sultan Selangor. Pihak yang benar-benar berkuasa sebenarnya ialah Menteri Besar.

''Jika pindaan ini diteruskan, Sultan Selangor akan terikat ketat kerana perkataan 'hendaklah' pada ayat yang dicadangkan dalam peruntukan pindaan itu akan mengongkong sultan daripada membuat pertimbangan secara bersendirian," katanya.

Kata Rais, Sultan Selangor hanya ada peluang sekali sahaja untuk mengembalikan senarai nama SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang kepada pihak suruhanjaya perkhidmatan negeri andainya baginda tidak berkenan kepada seseorang calon.

Persoalan yang bermain di kalangan banyak pihak adalah, kenapa Sidang DUN itu yang digelar oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai 'sidang derhaka' terus diadakan, sedangkan kerajaan negeri sebenarnya telah tahu sejak dari awal lagi bahawa pindaan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Kenapa kerajaan PKR Selangor yang diterajui Abdul Khalid sanggup bertindak sesuka hati sedangkan perbuatan itu hanya membuang masa wakil rakyat dan menyebabkan wang terpaksa dibelanjakan termasuk membayar elaun Yang Berhormat dan kakitangan kerajaan yang bertugas.

Pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali yang diminta mengulas isu itu berpendapat, tujuan utama kerajaan PKR Selangor mengadakan Sidang DUN itu adalah semata-mata untuk mendapatkan publisiti.

''Saya difahamkan kira-kira 100,000 orang telah menyaksikan sidang ini termasuk melalui Internet dan ini telah memberi publisiti kepada kerajaan negeri dan membolehkan semua pihak tahu pendirian mereka," ujarnya.

Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Kampus Dungun, Terengganu itu menambah, jika dilihat dari segi kos pula, ia adalah satu pembaziran dan tidak wajar diadakan kerana pindaan itu memang tidak boleh dibuat kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Menurut Che Hamdan, pendekatan secara berhemah sepatut digunakan oleh kerajaan PKR Selangor bagi mengatasi kemelut berkenaan dan mereka wajar mencontohi pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

''Ketika Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjadi Menteri Besar, isu-isu tidak berpuas hati dengan pelantikan pegawai tertentu juga timbul, tetapi ia telah berjaya di selesaikan secara berhemah.

''Bagi saya tindakan membuat kecoh ini akan menjejaskan tumpuan semua pihak kepada perkara-perkara penting lain yang perlu diutamakan untuk kesejahteraan rakyat,'' ujar beliau.

Dalam sesi pengundian secara belah bahagian kira-kira pukul 6.15 petang Isnin lalu, pindaan itu hanya disokong oleh 34 penyokong kerajaan manakala 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepakat menolak pindaan tersebut.

Kerajaan negeri gagal mendapat empat lagi undi bagi meraih majoriti dua pertiga iaitu 38 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

Walaupun gagal untuk membuat pindaan itu, Abdul Khalid nampaknya tetap tidak mahu beralah apabila menyatakan beliau akan membangkitkan semula isu itu selepas pilihan raya umum akan datang, apabila pembangkang dapat meraih lebih banyak kerusi.

Menteri Besar Selangor itu turut mendedahkan hasratnya untuk membawa isu pindaan berkenaan ke mahkamah bagi semakan kehakiman.

Sikap Abdul Khalid itu adalah tidak wajar memandangkan beliau seorang Menteri Besar. Jawatan yang disandangnya adalah sama taraf dengan bendahara pada zaman kesultanan Melayu.

Pada zaman dahulu, bendahara ialah orang kedua selepas sultan. Beliau diibaratkan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar serta penasihat sultan. Bendahara juga ketua hakim dan ketua seluruh pentadbiran.

Abdul Khalid mungkin boleh menghimbau kembali sejarah lampau berkenaan kisah Raja Muhammad, anak Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah yang telah membunuh Tun Besar, anak Bendahara Melaka yang kelima, Tun Perak.

Tun Besar dibunuh kerana bola raga yang disepaknya telah tersasar mengenai Raja Muhammad sehingga menjatuhkan tanjak yang dipakai baginda.

Apabila kesemua anak buah bendahara bersiap sedia menuntut bela, Tun Perak yang pernah memegang jawatan sebagai penghulu di Klang, Selangor memarahi mereka dengan katanya, pantang hamba Melayu menderhaka.

Selain itu, Menteri Besar Selangor juga mungkin boleh mengambil iktibar daripada kisah pada zaman pemerintahan Sultan Perak, Sultan Iskandar Dzulkarnain pada abad ke-18 apabila Orang Kaya Bendahara Perak, Megat Abu Kassim telah meletakkan jawatan bersama pembesar kanannya secara terhormat.

Tindakan itu dilakukan kerana tidak mahu menderhaka kepada sultan setelah berlaku salah faham antara baginda dengan kerajaan pimpinan Megat Abu Kassim.

Justeru, sudah sampai masanya untuk Abdul Khalid mengikut nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam supaya beliau melepaskan jawatan Menteri Besar setelah kerajaan PKR Selangor gagal meminda Undang-Undang Tubuh negeri itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, usul untuk membuat pindaan itu bukan sahaja tidak sepatutnya dibawa ke sidang DUN bahkan menimbulkan suasana kurang selesa masyarakat kerana terlalu banyak perkara yang dipolitikkan oleh pakatan pembangkang.

Jangan terus biarkan Selangor kacau-bilau dengan pelbagai isu politik, kerana akhirnya yang akan rugi hanyalah rakyat jelata.

Oleh : Nizam Yatim

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: