Selasa, Januari 25, 2011

Hendak berbangga biarlah bertempat!

Syabas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Walaupun dikritik beliau tentu tidak akan marah dan pasti jawapan daripada beliau adalah “depa ada mulut biak pi (biarkan) apa depa nak kata”.

Tetapi warga Singapura tentu tersilap orang untuk dikritik. Mereka kritik negarawan ulung yang telah menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Pencetus idea Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar F1 Sepang, Menara Berkembar, Putrajaya, Cyberjaya, kereta nasional, LIMA Langkawi, Le Tour de Langkawi, hingga menjadikan Malaysia disegani khususnya oleh negara-negara Islam di Asia Barat. Itulah satu-satunya anak Melayu di dunia yang hanya ada di Malaysia.

Benar kata Dr. Mahathir bahawa ada Melayu yang mudah lupa, lebih-lebih lagi Melayu yang tidak tinggal di Malaysia. Mereka lupa bahawa ‘rumah’ yang mereka diami yang pada asalnya mereka punya tetapi akhirnya mereka jadi penyewa.

Tidak dinafikan bahawa memang rakyat Melayu Singapura hidup mewah, tetapi kesenangan dan kemewahan mereka adalah disebabkan pertama, nilai mata wang mereka tinggi. Kedua, mereka mempunyai jiran yang menjual komuniti dengan harga yang murah. Sekiranya nilai mata wang mereka sama dengan ringgit Malaysia, hidup mereka mungkin lebih papa daripada rakyat Malaysia.

Kebanyakan mereka seronok berbelanja di Johor Bahru dan Melaka. Ada juga sehingga ke Padang Besar, Langkawi atau Golok. Tidak ketinggalan ke Batam atau Jakarta. Lebih teruk lagi, mereka lupa yang mereka juga mendapat tempias daripada barangan bersubsidi yang sepatutnya hak rakyat Malaysia sahaja. Nak berbangga biarlah bertempat.

Mereka berani mengutuk Tun tetapi tidak berani mengutuk pemimpin mereka kerana mahkamah akan menunggu. Mereka tidak boleh buat silap dan perlu akur terhadap segala peraturan. Kadang-kala, ada peraturan yang tidak diredai tetapi terpaksa dipendamkan sahaja.

Sepatutnya mereka berbangga masih ada Melayu yang berjaya walaupun bukan warga negara mereka. Jika terdapat apa-apa teguran sepatutnya jadikanlah iktibar atau pembakar semangat untuk maju, bukannya menangkis dengan mengutuk yang akhirnya terpercik ke muka sendiri.

Rakyat Melayu Malaysia perlu bersyukur mempunyai ramai usahawan Melayu yang tidak hanya berniaga di pasar-pasar tetapi menjadi usahawan bertaraf dunia, di samping jawatan tertinggi dalam angkatan tentera dan jabatan kerajaan.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

aimdaim berkata...

Yg kutuk Tun M tu dah tak tau sejarah. Mereka ni yg berusia sekitar 20-30'an. S'pore kan dah ubah sejarah negara dia.
klu tanya asal usul mak bapa @ tok nek sendiri, mmg dia org tak leh jwb. Klu dia ckp mcm tu kat tok nek dia org tentu kena penampar Jepun.
Masih ramai lg rakyat S'pore yg sayangkan bangsa Melayu terutama di Malaysia ini. mereka kata jiran mana yg tak pedulikan jiran, lagi2 bangsa sendiri.

aimdaim