Khamis, Disember 30, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!


SIAPA YANG AKAN MUFLIS?

TIMBALAN Editor Sinchew Jitpoh, Lim Sue Guan dalam akhbar terbitan 23 Disember 2010 (Khamis) menulis mengenai program 100 Hari Pakatan Rakyat (PR) di muka surat 38 dalam ruangan Opinion Corner.

Beliau mengulas pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap program 100 Hari PR yang dianggap sebagai satu penipuan dan gula-gula untuk pilihan raya.

Mengikut program itu jika PR memerintah, maka gaji guru akan dinaikkan sebanyak RM500 sebulan. Menurut penulis, ini boleh menyebabkan kerajaan muflis. Apa yang penulis bayangkan, amaran yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, jika pihak kerajaan tidak mengurangkan subsidi, maka negara ini akan muflis menjelang tahun 2019.

Menurut penulis, desakan pilihan raya semakin hampir dan apa yang diinginkan oleh rakyat ialah pemikiran yang waras, dan rakyat mahu melihat pentadbir tentang cara apa pula yang boleh menjerumuskan negara ini kepada muflis. Parti pemerintah dan parti pembangkang saling bertelagah memainkan isu ini dan menuding jari di antara satu sama lain. Sepatutnya mereka paparkan angka-angka sebenar, bagaimana boleh stabilkan keadaan itu. Seperti apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau akan membuktikan PR tidak mungkin boleh mengkotakan janji-janji mereka.

PR sepatutnya memberi penjelasan daripada 1.29 juta kakitangan kerajaan, kenapa PR mahu menaikkan gaji kira-kira 400,000 guru sahaja?

Jika gaji itu hanya untuk guru-guru sahaja, setiap bulan akan ada penambahan bayaran sebanyak RM200 juta dan perbelanjaan setahun sebanyak RM2.4 bilion. Jika PR memerintah, dari mana mereka dapat duit itu? Ia sama seperti PR mahu setiap warga tua berumur 60 tahun ke atas mendapat RM1,000 dan angka itu bukannya sedikit.

PR berkata, mereka boleh ambil duit subsidi daripada sumber asli daripada syarikat penjana kuasa swasta sebanyak RM19 bilion yang diberi oleh kerajaan sekarang, wang itu akan dipindahkan untuk subsidi kepada rakyat. Kami nak tanya, jika pecah kontrak, bukankah pihak kerajaan akan kena bayar denda pampasan. Jika hapuskan bayaran tol, adakah kerajaan tidak perlu bayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat tersebut? PR sepatutnya menyatakan pelan sebenar bagaimana pihak kerajaan boleh ambil alih kesemua projek lebuh raya itu.

Negeri-negeri yang diperintah oleh PR, kunci kira-kira Negeri Pulau Pinang mungkin lebih baik daripada Negeri Selangor, setiap tahun defisit sebanyak 10 peratus daripada perbelanjaan di Negeri Selangor. Selepas Khir Toyo memerintah dalam masa dua tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menggunakan bon sebanyak RM210 juta bagi menampung defisit kewangan.

PR perlu tingkatkan pengawalan dalam pengurusan kewangan negeri itu, baru boleh beri keyakinan kepada rakyat. Soalnya, adakah PR dapat mengotakan janji-janji itu.

Berkaitan prestasi BN mengurus kewangan pula, ia perlu melihat cara persiapan jangka masa yang panjang. Idris Jala memberitahu, hutang negara pada tahun lalu sebanyak RM362 bilion, 54 peratus daripada KDNK, pelbagai subsidi yang diberi oleh pihak kerajaan pada tahun lalu sebanyak RM74 bilion, bersamaan setiap keluarga mendapat subsidi sebanyak RM12,900.

Setiap tahun kerajaan memberi subsidi begitu banyak, ada berapa banyak subsidi yang benar-benar masuk ke kocek orang-orang yang sepatut menerimanya? Selain daripada barang-barang keperluan harian yang diberi subsidi, orang-orang miskin, orang-orang kurang upaya, serta latihan kepada mahasiswa, adakah itu semua dapat diagihkan dengan betul?

Jika mahu elak negara ini daripada muflis, kita sepatutnya bendung pembaziran duit negara.

HARAPAN UNTUK TAHUN 2011

AKHBAR Sinchew Jitpoh terbitan 28 Disember 2010 menerusi penulisan Timbalan Editornya, Lim Sue Guan dalam ruangan Opinion Corner di muka surat 32 memaparkan artikel mengenai harapan rakyat untuk tahun 2011.

Artikel itu meminta pembaca memberi jawapan kepada soalan-soalan IQ ini. Pada 2010 banyak berlaku perkara-perkara tertentu. Mungkin anda cuba cari jawapannya, mungkin jawapan yang diberi itu secara kebetulan ataupun berpunca daripada kesilapan manusia sendiri.

Sebenarnya, jawapan yang kita peroleh setiap tahun berulang kali sama sahaja. Dari awal tahun sehingga ke akhir tahun, semuanya berkisar seperti umpama pepatah Cina ‘ambil alasan cuma cabut gigi yang sudah reput sahaja’. Contohnya, isu kemalangan bas ekspres yang mengerikan berlaku sebanyak dua kali dalam tahun ini iaitu pada 10 Oktober di Lebuh raya Utara-Selatan yang meragut 12 nyawa dan mencederakan 45 orang.

Pada 20 Disember pula, sebuah bas persiaran turun dari Cameron Highlands terhumban dan meragut 28 jiwa serta sembilan cedera parah. Bukan sahaja ia berlaku pada tahun lalu, tetapi pada tahun-tahun sebelumnya sehingga puluhan tahun lalu. Ia terus berulang.

Berlakunya bot karam yang mengerikan bukan satu perkara baru. Ia pernah berlaku pada 13 Oktober 2007, pernah berlaku bot terbakar dan tenggelam di perairan Mersing, tujuh maut dan malangnya semua rakyat Singapura.

Peristiwa ngeri bot karam tiga tahun lalu menyebabkan Menteri Besar Johor ketika itu berjanji iaitu Jabatan Laut akan memeriksa dan memantau setiap bot yang keluar dari jeti Mersing untuk memastikan ada ciri-ciri keselamatan. Tetapi pihak penguasa laut menjalankan tugas seperti hangat-hangat tahi ayam, siapa yang boleh beri jaminan bot yang keluar dari jeti itu tidak lebih muatan penumpang dan siapa boleh beri jaminan baju keselamatan yang dibekalkan mencukupi dan mengikut peraturan?

Pihak polis membelasah dan menuduh rakyat jelata termasuk beberapa kes berlaku pada tahun ini. Kes terbaru adalah seorang peniaga Koh Cheng Heng. Pihak polis seleweng kuasa bukan lagi satu isu baru, contohnya isu menembak mati remaja Melayu berusia 14 tahun.

Kes kesilapan yang dilakukan manusia lebih banyak, termasuk kesilapan pegawai perubatan di hospital-hospital kerajaan, dan projek-projek kerajaan. Lebih lucu lagi daripada itu ialah Pengerusi PTPTN, Ismail berkata, pelajar yang tidak memerlukan pinjaman PTPTN boleh memulangkan cek yang telah mereka terima.

Lucunya, pelajar tidak memohon tetapi boleh dapat wang PTPTN sebanyak RM1,500 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman. Tidak turunkan tandatangan pada sebarang kertas kontrak perjanjian ataupun bukti-bukti dokumen yang sah, macam mana PTPTN dapat kejar duit itu kembali?

Dalam perangkaan tahun 2016, hutang yang tidak boleh dilunaskan akan meningkat sebanyak RM45.89 bilion. Adakah negara kita sangat kaya sehingga boleh membazirkan duit sebanyak itu?

Harapan rakyat adalah kita mahukan kemajuan setiap tahun, bukan setiap tahun hadapi penyakit dan masalah yang sama sahaja.

HAPUSKAN SIKAP NAPOLEON KECIL

BERITA yang dipetik dari muka surat C8, Nanyang Siangpao bertarikh 27 Disember 2010 ini menyentuh mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek. Menurutnya, pihak kerajaan sepatutnya beri peruntukan kepada rumah ibadah bukan Islam dan pada masa yang sama hapuskan sikap pegawai-pegawai kerajaan yang bertindak seperti Napoleon Kecil, supaya dapat mencegah pegawai-pegawai kerajaan menyeleweng kuasa, menyebabkan permohonan rumah-rumah ibadah bukan Islam menempuh pelbagai rintangan.

“MCA negeri Johor sedang mengumpul maklumat tentang pemohon-pemohon rumah ibadah yang mengalami pelbagai rintangan semasa memohon, salah satunya ialah permohonan gereja di Kluang dan Johor Baharu. Kita akan berjumpa dengan Menteri Besar Johor untuk mencari penyelesaiannya. Tetapi dalam jangka masa panjang kita harap kakitangan awam boleh bersikap adil kepada semua agama,” katanya.

Pada malam 24 Disember lalu, Soi Lek telah merasmikan sambutan hari Krismas anjuran 11 buah gereja di Batu Pahat, termasuk MCA Cawangan Batu Pahat.

Soi Lek menegaskan, agama sepatutnya membangkitkan nilai-nilai yang ada persamaan, termasuk menggalakkan orang ramai ke jalan yang benar, dengan hati yang mulia membantu orang-orang yang kurang bernasib baik, supaya dapat hidup aman sejahtera, pastikan masyarakat bersatu padu dan stabil, bukan menggunakan agama sebagai alat untuk berpolitik.

“Dalam negara ini, ada sebuah parti yang menggunakan agama sebagai agenda politik mereka, apa yang mereka mahu ialah tubuhkan sebuah negara Islam. Parti itu cuba menggunakan Islam untuk melaksanakan undang-undang mereka, mereka mahu melaksanakan undang-undang Islam dan hukum hudud. Apa yang saya curiga ialah, adakah rakyat bukan beragama Islam terpaksa ikut undang-undang Islam yang mereka laksanakan itu,” tambahnya.

Beliau juga menganggap semua agama walaupun fahamannya berbeza, sepatutnya bekerjasama bagi kesejahteraan dan hidup aman untuk semua rakyat, mengeratkan hubungan antara kaum, menzahirkan satu sikap boleh bertolak ansur terhadap semua agama.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: