Jumaat, Disember 17, 2010

MB Khalid marahkan nyamuk, kelambu hendak dibakarnya!






















Apa yang dilihat sekarang adalah kerajaan negeri berusaha menjadikan air sebagai komoditi politik! Selangor yang kini seperti mengeluh kerana terpaksa membelanjakan lebih RM12 juta sebulan sebagai menunaikan janji pilihan raya membekalkan air percuma, mahu menguasai pula industri air di Lembah Klang.

Air percuma bagi 20 merter padu yang bernilai RM11.40 ini pun dijaja keliling kampung sebagai simbol kerajaan berjiwa rakyat. Memang ia bagus, siapa yang tidak mahu benda percuma. Tetapi anehnya, apabila ada pihak mahu menggunakan wang air percuma itu untuk membantu pengguna yang mengalami bil tertunggak, kerajaan negeri menyifatkannya sebagai merampas hak rakyat pula.

Apa salahnya, jika kakitangan Syabas, syarikat konsesi bekalan air bersih Selangor yang merasakan diri mereka mampu, membantu rakyat miskin yang terbeban dengan bil air. Lagi pun bukan semua rakyat Selangor menikmati air percuma itu yang dimulakan sejak 1 Jun 2008. Terdapat ribuan penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal terpaksa berputih mata dengan imbuhan RM11.40 sebulan itu.

Sepatutnya langkah membantu rakyat iaitu golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan disokong. Tetapi itulah kerana kepentingan politik yang tidak memihak kepada mereka, usaha membantu rakyat seperti itu dimusuhi.

MB Khalid dalam kenyataan terbaru beliau mengatakan bahawa kerajaan negeri akan menarik lesen pembekalan air yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ekoran keengganan syarikat itu mematuhi arahan menghentikan program Tabung Budi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya kini menunggu masa yang sesuai untuk mengambil tindakan tersebut melalui mahkamah. Beliau berkata, tempoh selama 14 hari yang diberikan kepada Syabas untuk menghentikan program Tabung Budi telah tamat pada 6 Disember lalu dan pihaknya masih belum mendapat jawapan daripada syarikat itu.

"Kini kita ada sebab boleh tarik lesen Syabas. Kita hanya tunggu masa yang sesuai untuk pergi ke mahkamah.

"Kita akan tunjukkan kepada mahkamah yang Syabas tidak ikut arahan kerajaan negeri.

"Kita tak mahu mereka buat kerja kebajikan. Tugas kebajikan biar kerajaan negeri yang buat," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini petang ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan isu program Tabung Budi yang telah diarah dihentikan dalam tempoh 14 hari oleh kerajaan negeri pada 23 November lalu. Arahan di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997 itu dikeluarkan atas alasan Syabas didapati melanggar syarat perjanjian konsesi air.

Mengikut notis itu, Lesen Pembekalan Air yang diberikan kepada Syabas mengikut Subseksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika Syabas gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Syabas, Siti Rozalina Mohd. Noor ketika dihubungi hari ini memberitahu pihaknya akan memberikan maklum balas mengenai perkara itu semasa program turun padang Tabung Budi di Gombak dekat sini esok.

Pada 26 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan memberitahu, Syabas tidak akan menghentikan program Tabung Budi seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Menurut beliau, sebaik sahaja menerima notis pemberhentian daripada kerajaan negeri bertarikh 23 November lalu, Syabas telah melantik peguam bagi menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang berkemungkinan diambil oleh pentadbiran negeri.

Kata beliau, Syabas bersedia diheret ke mahkamah dan dibicarakan kerana percaya mereka berada di pihak yang benar.

Dilihat kerajaan negeri, dengan segala alasan mengelirukan bukan sahaja memusuhi syarikat konsesi tetapi juga Kerajaan Persekutuan. Kroni, rasuah dan salah guna kuasa yang disimpulkan sebagai merampas hak rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan usaha menguasai industri air Selangor.

Benarkah? Jika bekalan air di bawah penguasaan kerajaan negeri dapat menjamin hak rakyat (dengan tarif yang rendah), mengapa hak itu tidak dipertahankan di Kedah dan Pulau Pinang? Cuba analisis alasan mereka. Yang di Pulau Pinang memperkenalkan surcaj bagi mendidik pengguna berjimat air. Maknanya, tarif dinaikkan supaya pengguna berjimat cermat. Yang di Kedah, untuk membayar hutang kepada Kerajaan Persekutuan.

Tetapi sebaliknya di Selangor, kerajaan enggan berkompromi dengan penstrukturan semula industri air. Mereka tidak peduli hutang yang ditanggung oleh syarikat konsesi. Yang mereka mahu hanyalah untuk menguasai industri air Selangor!

Pemimpin mereka lebih selesa menyalahkan syarikat konsesi dan Kerajaan Pusat. Malah amaran krisis bekalan air pada 2014 yang bakal menjejaskan kehidupan penduduk Lembah Klang diperlekehkan. Kerajaan negeri nampak cukup yakin dengan memberi unjuran krisis itu hanya akan tiba pada 2019 - sembilan tahun lagi.

Penduduk KL dan Selangor yang pernah terbabit dalam kemelut bekalan air kronik 10 tahun dulu seboleh-bolehnya tidak mahu lagi hidup dalam igauan buruk itu sekali lagi. Jadi, janganlah berterusan menjadikan air sebagai alat politik. Cukuplah semasa kempen pilihan raya lalu. Berundinglah dan bertolak-ansur demi kesejahteraan lebih 3 juta penduduk Lembah Klang.

Suara politik
Taminsari

1 ulasan:

Ezad berkata...

makin teruk kerajaan yang 1 ni..

orang nak berbakti pun kena saman??

kata kerajaan berkebajikan.. galakkan la semua pihak buat kebajikan..