Ahad, Februari 02, 2014

Pelan damai Anwar suatu muslihat?


Usaha berdamai dan muafakat adalah usaha baik. Manusia rasional dan matang akan bersetuju dengannya. Syariat Islam juga tidak menghalang usaha ini. Tapi kalau ianya datang daripada Anwar Ibrahim, kewaspadaan harus lebih tinggi.

Kalau isunya berhubung keharmonian agama dan kaum, siapakah yang sekian lama melakukan provokasi mengenai kalimah Allah di Malaysia? Anwar memulakannya atas nama kebebasan beragama dan ianya menyentuh sensitiviti umat Islam.

Dulu Anwar terkenal sebagai pejuang agama, bahasa Melayu dan juga dasar pendidikan negara. Kini bila pluralisme agama berbangkit, Anwar semacam mengiyakannya. Ucapan Anwar di London School of Economics menjadi bukti. Bila Dong Zong membangkitkan isu bahasa, Anwar tidak setegas semasa menjadi Menteri Pendidikan dulu. Bila proses transformasi pendidikan berlaku Anwar tidak memberi sebarang respon.

Lazimnya dalam politik praktis pelawaan untuk berdialog terkandung helah. Ada suasana terdesak yang menyebabkan ianya terjadi. Imej pembangkang sudah tercalar dengan pelbagai isu. Dialog diharap dapat melonjakkan kembali imej ini atas asas mereka ini berjiwa besar untuk melakukan dialog.


Telah sekian lama para blogger pembangkang menimbulkan fitnah untuk menghina individu dan kelompok sehingga menyebabkan sebahagian yang emosional dan mati-mati percaya. Anwar tidak pula mengecam perbuatan mereka ini yang menyebabkan krisis terjadi dan salah faham berlaku.

Anwar pernah terlibat dalam pemerintahan negara. Tetapi bila kritikan terhadap Perlembagaan terjadi, dia tidak menyatakan pendirian. Bila hak istimewa orang Melayu dipertikai, Anwar begitu juga. Bila pandangan mufti dan ulama terhadap isu agama diberi, Anwar tidak memberi respons.

Apa maksud ingin mengadakan dialog nasional kalau isu-isu yang berbangkit berpunca daripada pembangkang? Menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa masuk 40,000 orang Bangladesh adalah suatu helah. Anwar tidak rasa bersalah dengan tuduhan itu.

Dialog harus bermula dengan niat yang jelas. Faham politik boleh berbeza tetapi asas-asas fundamental dalam negara berasaskan Perlembagaan harus didukung dan dihormati. Bila Perkara 3(1) dalam Perlembagaan yang memperuntukkan kedudukan dan kebebasan beragama ianya harus dipertahankan.

Orang lain jadi berani mempertikai asas-asas fundamental ini kerana pembangkang tidak mengambil sikap yang tegas dan jelas. Bila perpecahan di kalangan umat Islam terjadi, kenyataan sensitif di kalangan kelompok evangelis Kristian semakin menjadi-jadi. Anwar tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan perkara pokok seperti beliau dalam ABIM dan kerajaan dulu.

Anwar harus terlebih dulu memperbetulkan sikap dan pendirian dalam banyak isu. Apa yang berlaku pada Anwar tidak seperti Anwar suatu ketika dulu. Ada ketika Anwar menjadi pragmatik kerana muslihat politik dan ada ketika menampilkan kecenderungan yang pelik dan menyebabkan imejnya tercalar.

Anwar berada dalam kepimpinan organisasi sejak awal 70-an. Sejak mengepalai demonstrasi di Universiti Malaya, memimpin ABIM, terlibat dengan kerajaan agak lama, mengepalai demonstrasi jalanan dan mengetuai pembangkang, pendirian Anwar tidak konsisten.

Cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri masih membara. Pilihan raya lalu tidak mengizinkan ianya berlaku. Penulis percaya Anwar tidak akan berdiam diri bermain dengan isu politik dan isu terakhirnya adalah mengajak orang yang dimusuhinya untuk berdialog dan bertanding sebagai DUN Kajang.

Bagi penulis, hasrat Anwar itu suatu muslihat politik. Anwar ingin menunjukkan kepada kerajaan dan dunia bahawa dia mampu mengembalikan keharmonian dan keamanan semula bukannya kerajaan yang ada pada hari ini.

Kerajaan tidak harus terjebak dengan perangkap yang dipasang oleh Anwar. Sekiranya Anwar ikhlas menyelesaikan masalah hubungan kaum dan agama, pakatan pembangkang boleh melakukannya.

Isu kalimah Allah tidak datang dari kerajaan atau pun UMNO. Keberanian kelompok evangelis Kristian mempertikai peruntukan Perlembagaan dan enakmen negeri tentu ada pihak lain di belakangnya. Keberanian setengah pihak mempertikai isu hak asasi manusia sehingga COMANGO kian lantang tentu ada perancangnya. Inilah isu sebenar yang harus diselesaikan oleh Anwar terlebih dulu sebelum dialog boleh terjadi.

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

mohd. natar berkata...

Satu pandangan yang amat tepat. Syabas....

usin berkata...

ingat la bro, kalau fasakh anaknya sendiripun mampu dihebohkan utk kekang sokongan nurul kpd khalid, pelan damai wajib ada muslihat. siapa percaya anwar memang bodoh, walaupun cerdik belajar sampai u.