Isnin, Februari 10, 2014

Murugiah pertikai Waythamoorthy?


Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga memaksa beliau meletak jawatan dipertikaikan.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, tindakan tersebut sengaja mahu mengaburi mata masyarakat India yang masih tertanya-tanya peranan beliau sejak dilantik menyertai Kabinet.

"Saya tidak faham, ketika saya di Jabatan Perdana Menteri dengan portfolio sama, banyak perkara telah saya laksanakan dalam tempoh beberapa tahun. Mengapa Waythamoorthy tidak boleh?

"Mengapa salahkan Perdana Menteri? Waythamoorthy sendiri tidak banyak berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN). Beliau langsung tidak turun padang, malah kewujudan beliau dalam Jabatan Perdana Menteri selalu dipersoalkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Waythamoorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), dilaporkan akan meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Ahli Dewan Negara berkuatkuasa Isnin ini.


Waythamoorthy mendakwa, Hindraf telah menunggu selama lapan bulan bagi Perdana Menteri membuat keputusan berhubung perjanjian persefahaman antara pertubuhan itu dengan kerajaan agar satu penyelesaian boleh dilaksanakan ekoran masalah sosioekonomi yang membelenggu kaum India di Malaysia.

Murugiah percaya tindakan itu diambil setelah Waythamoorthy ditekan oleh kumpulan tertentu.

"Waythamoorthy sebenarnya sudah lupa, beliau kini adalah Timbalan Menteri serta Senator dan bukan hanya pemimpin Hindraf. Banyak perbezaan antara pemimpin NGO dan ahli politik. Jika hendak letak jawatan, letak sahaja tapi jangan menyalahkan orang lain," tegasnya.

Tambah Murugiah, Najib telah banyak memberi peruntukan dan telah menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kaum India berbanding mana-mana Perdana Menteri terdahulu.

Sementara itu, Bendahari Agung MIC, Datuk S. Murugesan mengalu-alukan peletakan jawatan Waythamoorthy kerana menganggapnya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kaum India.

"MIC juga mahu bekerjasama dengan beliau selama ini tetapi Waythamoorthy tidak mahu 'berjabat tangan' dengan kita. Sekiranya ikhlas mahu melakukan perubahan, mengapa kita tidak bersatu sahaja.

"Kita tidak akan sesekali kerugian kerana MIC dan BN akan terus melakukan yang terbaik untuk masyarakat India, sama ada beliau ada atau tidak, kita tidak nampak sebarang perbezaan," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: