Ahad, Februari 02, 2014

Khalid Ibrahim Akui Anwar Perkuda Selangor?


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan negerinya diperalatkan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-cita beliau menduduki kerusi di pejabat perdana menteri di Perdana Putra, Putrajaya dan bukan mensasarkan jawatan yang disandangnya.

“Sebenarnya Anwar melihat melangkaui jawatan MB. Di penghujung cerita, matlamat ialah peringkat Persekutuan dengan menjadikan Selangor sebagai batu loncatan,” katanya pada Khamis.

Sehubungan itu, kata Khalid, beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal perubahan menteri besar, termasuk spekulasi Anwar mahu mengambil alih jawatan yang sedang disandang beliau itu buat masa ini, tetapi ingin menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang dahulu.

Dalam pemikiran beliau sekarang kombinasi pengalaman korporat yang dimilikinya dan pengalaman mentadbir kerajaan yang ada pada Anwar akan memberikan “head-start” (permulaan yang baik) untuk mencabar Putrajaya.

Khalid juga menegaskan buat masa ini beliau tidak merancang untuk meletakkan jawatan.

“Apa sahaja yang hadir selepas pilihan raya ini nanti, kita akan bincangkan di peringkat Pakatan.” katanya dalam wawancara yang dikendalikan wartawan BFM dan The Edge yang disiarkan media rasmi kerajaan negeri Selangorkini.

Wawancara berkenaan dibuat di tengah-tengah kemelut konfrantasi beliau dengan ketua PKR Selangor Azmin Ali serta ura-ura rancangan untuk menggantikan beliau sebagai menteri besar semakin kuat ekoran perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kajang, Lee Chin Cheh.


Ditanya sama ada beliau mempunyai sokongan untuk terus mengetuai kerajaan Selangor daripada PAS dan DAP, Khalid dengan yakin mengiyakannya

“Ya, saya mempunyai sokongan buat masa ini. Parti (PKR) pula terpaksa pasrahlah,” jawap beliau sambil ketawa.

Dalam wawancara itu juga, Khalid turut menyentuh mengenai kejayaan pentadbiran pakatan pembangkang membina rizab negeri yang kukuh.

“Sekarang kita bukan sahaja boleh bercakap mengenai idea tetapi juga mempunyai wang untuk menterjemah idea itu kepada bentuk fizikal.

“Takkan kita mahu berharap dan bercakap sahaja? Bagi saya, politik harus lebih daripada sekadar retorik, kerana retorik tidak boleh mengenyangkan perut.

“Pertama, dapatkan dahulu duit yang perlu. Kemudian barulah fikir nak makan apa,” kata Khalid yang mendakwa pengumpulan rizab itu perlu dilakukan kerana kerajaan Persekutuan tidak akan meminjamkan dana yang diperlukan Selangor.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

usin berkata...

kata2 penuh simbolik. aku antara pengkritik tegar khalid ibrahim aka khalid gagap. walaupun pada pandangan umum khalid gagap ini lemah, jangan disangka air tenang tiada buaya. ni memang 'stail' buaya khalid gagap. tenang dan bertenang, tunggu mangsa leka. aku tak rasa apa yang keluar dari mulut khalid itu betul-betul dari hati yang luhur, kecuali membiarkan puak-puak anwar dalam pkr terus gembira kerana perancangan demi perancangan berjalan lancar. sampai ketikanya nanti bila mangsa alpa, puak-puak anwar akan serah leher untuk disembelih. aku tidak bermaksud memberi amaran kepada kumpulan tamak haloba team anwar/azmin akan skil khalid, tetapi kena beringat bahawa perancangan gila kamu semua akan sampai masanya dimusnahkan oleh Maha Kuasa melalui proksi kamu sendiri. jangan lupa kita semua adalah sekadar makhluk.