Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Sabtu, Februari 01, 2014
Pas jangan jadi Lebai Malang?
Anwar Ibrahim dan PKR ternyata berjaya mencetuskan tembok perbezaan dalam kalangan pemimpin Pas.
Tidak mengambil kira contoh-contoh terdahulu yang banyak, kontroversi peletakan jawatan Adun PKR Kajang, Lee Chin Cheh yang baharu beberapa hari ini sahaja sudah cukup untuk membahagikan Pas kepada dua blok.
Blok yang berasa parti itu dikhianati oleh Anwar dan PKR diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus; Ahli Parlimen Temerloh yang juga bekas Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan.
Bagi kumpulan ini, tindakan PKR yang dimulakan dengan peletakan jawatan tanpa sebab yang wajar oleh Chin Cheh dan disusuli pula dengan sidang media mengumumkan Anwar akan bertanding pada PRK kerusi Dun berkenaan tidak seharusnya berlaku.
Ia bukan sahaja berkait dengan tindakan mengetepikan Pas yang tidak diajak berbincang sebelum keputusan mengenai perkara itu dibuat.
Malahan ini dianggap penghinaan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju Khalid dilantik ke jawatan Menteri Besar Selangor selepas PRU13.
Khairuddin menuntut kerusi MB dikembalikan kepada Pas yang lebih berhak.
Selain itu, perbuatan mengosongkan kerusi tanpa sebab yang munasabah sekali gus memerlukan suatu pilihan raya kecil diadakan dengan kos jutaan ringgit jelas adalah pembaziran wang rakyat, apa yang sering dijadikan modal oleh PR untuk menyerang Kerajaan BN.
Semua itu dilakukan dengan hanya satu kepentingan iaitu untuk mendudukkan Anwar di kerusi Menteri Besar Selangor selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dirasmikan sebagai korban politik.
Ya, Anwar malah Khalid sendiri menafikan.
Tetapi apa lagi yang boleh diharapkan pada penafian Anwar kerana sehari sebelum Khalid mengumumkan Penasihat PKR itu diputuskan sebagai calon PRK Dun Kajang, Anwar sendiri menafikan beliau akan bertanding pada pilihan raya itu.
Itu belum lagi dikira sekian banyak dustanya sebelum ini daripada cerita arsenik, 16 September, 40 ribu pengundi warga Bangladesh dan bermacam-macam lagi.
Apa yang berulang-ulang pun kemudian dinafikan, inikan pula yang tidak sampai pun 24 jam!
Ironinya, Pas sudah terbahagi dua. Pada hari sidang media pengumuman Anwar sebagai calon itu pun, dua Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa mengatakan mereka tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu sedangkan sidang media tersebut dihadiri oleh seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.
Tergesa-gesa
Ini jelas menunjukkan bahawa tiadanya kesepakatan dalam suatu gabungan yang dinamakan Pakatan!
Dan lagi, senario ini menunjukkan keputusan dan tindakan yang diambil berhubung pengosongan kerusi Dun Kajang, juga Anwar sebagai calon PRK dibuat dalam keadaan yang sangat tergesa-gesa.
Kita cenderung untuk percaya keputusan itu dibuat dalam dua atau tiga perbincangan yang berbeza yang kedua-duanya juga melibatkan empat mata secara berasingan, Anwar dengan Azmin Ali dan satu lagi, Anwar dengan Khalid.
Isunya adalah untuk menurunkan Khalid dari kerusi Menteri Besar Selangor yang yang selama beliau berada di situ sejak lima tahun lalu, bermacam-macam konflik melibatkan beliau dengan kem Azmin telah dilaporkan secara terbuka.
Ini antara lain dikaitkan dengan stail pengurusan korporat Khalid yang dikatakan cukup teliti dengan aliran keluar masuk wang negeri. Selain itu, pentadbirannya juga dikatakan kurang mesra dengan kontraktor daripada kalangan penyokong parti yang dikatakan mengharap habuan daripada kuasa pemerintahaan Kerajaan Pakatan untuk mendapat projek.
Manakala di pihak yang menentang pula, Khalid didakwa membawa masalah kepada PKR dan juga Pakatan kerana sering membuat keputusan sendiri dengan tidak merujuk kepada konsensus parti dalam pentadbirannya termasuk dalam isu projek Langat 2.
Meneropong ke dalam rumah tangga PKR, Khalid dikatakan proksi Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Selangor.
Itulah sebab Faekah Hussin, bekas Setiausaha Politik Wan Azizah dihantar untuk menjadi Setiausaha Politik Khalid sebelum dilantik ke jawatannya sekarang. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Incorp).
Ini sekali gus memperlihatkan bahawa konflik Khalid dengan Azmin, juga boleh dianggap konflik Azmin dengan Wan Azizah.
Maka, itulah juga dikatakan puncanya Anwar terpaksa campur tangan secara langsung hingga menurunkan darjat keinginannya daripada menjadi Perdana Menteri hanya kepada Menteri Besar Selangor meskipun ada yang memperolok-olokkan penyertaannya dalam PKR Dun Kajang disebabkan gaji Menteri Besar Selangor lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri.
Persoalannya, apakah Anwar bersungguh-sungguh mahu jadi MB Selangor ataupun ini hanya helah untuk menurunkan Khalid?
Anak jati
Meskipun tidak disebut dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bahawa jawatan menteri besar hanya untuk anak jati negeri itu namun seperti juga negeri beraja yang lain, pelantikan menteri besar adalah bawah bidang kuasa Sultan Selangor, sekurang-kurangnya perlu mendapat perkenan baginda dan baginda juga mempunyai budi bicara untuk melantik mana-mana Adun yang diyakini mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
Ini selaras dengan Perkara 53 dan Perkara 55 (2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Dalam kata lain, keputusan muktamad untuk melantik menteri besar adalah pada Sultan Selangor dan kecenderungan baginda difahamkan adalah pada anak Selangor.
Anwar bukan anak Selangor walaupun sudah menukar alamatnya ke Country Heights, Kajang.
Dengan ini, kita boleh menjangka bahawa sekalipun Anwar menang kerusi Dun Kajang pada PRK ini, beliau belum pasti akan mendapat laluan mudah untuk ke Bukit Megawati. Sebagai ahli politik berpengalaman malah pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, apakah Anwar tidak boleh membaca sifir pentadbiran yang semudah ini?
Mungkin tidak!
Justeru bagi pemerhati, inilah apa yang disifatkan sebagai strategi atau taktik politik yang disebut Azmin tempoh hari.
Sebagaimana yang difahamkan bahawa Khalid bersetuju untuk undur dari kerusi menteri besar hanya jika bukan Azmin yang dinamakan sebagai penggantinya, Anwar adalah orang yang paling tepat untuk diletak bagi tujuan pengaburan sementara itu.
Dan apabila berlaku konflik pelantikan dengan pihak istana sebagaimana yang djangka, Azmin akan dinamakan sebagai pilihan kedua.
Apa mungkin impian Azmin akan mampu dicapai dengan strategi ini?
Dalam keadaan ini, pemerhati melihat Pas tidak akan kehilangan peluang jika pemimpinnya bersikap lebih tegas.
Ketegasan yang ditunjukkan oleh blok Dr Khairuddin, Nasrudin dan Mohd Sany adalah yang terbaik untuk parti itu mempertahankan hak mereka yang mempunyai 15 anggota di Dun Selangor berbanding PKR yang pada masa ini hanya 13 kerusi.
Sehubungan itu, langkah Pas Selangor menamakan calonnya bagi jawatan menteri besar jika berlaku kekosongan (konflik) dilihat sebagai tindakan yang tepat sekali gus menunjukkan keraguan mereka bahawa isu itu akan berakhir tenang selepas PRK ini.
Pas Selangor menamakan pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad yang juga anggota Exco sebagai calon utama selain dua lagi calon, Mohd Yunus Hairi dan Adun Paya Jaras yang juga Setiausaha Perhubungan, Khairuddin Othman.
Namun perkembangan terkini yang ditunjukkan menerusi kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali bahawa perbuatan mempertikaikan tindakan Anwar dan PKR bukan daripada Pas Pusat dan hanya keputusan pucuk pimpinan tertinggi bersama Majlis Pimpinan PR yang sah lagi rasmi, dilihat sebagai tindakan menolak pandangan akar umbi terutama pimpinan Pas Selangor sendiri.
Apakah Pas akan menolak peluang yang terbuka luas ini sekali lagi sedangkan parti itu adalah yang paling stabil dalam Pakatan, termasuk di Selangor.
Iskandar juga antara anggota Exco yang paling senior dan dihormati dalam pentadbiran negeri.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan