Selasa, November 13, 2012

Suara berani Nurul Izzah Anwar 'makan diri'?



Mungkin ramai gempar dan marah dengan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Ini bererti orang Melayu juga mesti bebas untuk keluar daripada Islam dan memeluk apa juga agama yang dipercayainya atau tidak berpegang kepada sebarang kepercayaan agama.

Pandangan ini mungkin dianggap luar biasa kerana secara tradisinya orang Melayu Malaysia semestinya beragama Islam berbanding dengan di Indonesia, dan kenyataan ini menandakan sedang berlakunya perkembangan pluralisme agama secara serius di kalangan umat Islam di negara ini.

Mungkin ramai generasi muda yang sependapat dengan Nurul Izzah tetapi hanya beliau yang berani menyuarakan provokasi terhadap tradisi. Beberapa penjelasan daripadanya akan menyusul kelak berikutan dengan timbulnya kemarahan orang ramai.

Pada hakikatnya paksaan agama tidak akan menyebabkan seseorang itu beriman. Biarpun dipaksakan, dimurtadkan atau disingkirkan daripada masyarakat Islam, tetapi hal ini tidak akan dapat mengubah pendirian hati atau fikiran seseorang, kecuali hanya pada lahir; pada pengucapan atau amalan-amalan yang terpaksa dilakukan mengikut normal.

Hukuman di bawah syariat Islam hanya memberi kesan dari segi untuk mencegah pertukaran agama seseorang Melayu Islam yang akan menjadikannya sebagai deviant dalam masyarakat Islam, tersingkir dan terlihat sebagai seorang yang bersalah dalam masyarakat Islam.

Tidaklah dapat dinafikan penguatkuasaan undang-undang syariah dari semasa ke semasa telah menyebabkan orang Melayu tidak menukarkan agama mereka dengan sewenang-wenang dan menyebabkan agama Islam tetap berkembang dan kuat di negara ini.

Kenyataan Nurul Izzah boleh dianggap sebagai suatu kenyataan yang berani dan dibanggakan oleh orang Islam yang liberal sepertinya yang selama ini mendiamkan diri dan tentunya menaikkan popularitinya di kalangan bukan Islam dan juga pengundinya.

Nurul Izzah walaupun berhijab tetapi telah mendedahkan dan menampilkan dirinya sebagai seorang wanita Islam yang mahu berjuang meruntuhkan tradisi beragama di negara ini. Sehingga ini belum ada seorang wanita Melayu Islam yang seberani dan senekad ini. Penampilan beraninya tentu akan menggalakkan lebih ramai wanita Islam mengikut jejaknya.

Jika Ayah Pin dan Al Arqam dianggap berbahaya, maka penampilan Nurul Izzah seorang pemimpin politik yang berpengaruh memperjuangkan pluralisme agama adalah lebih berkesan lagi, terutama kepada generasi muda Islam kerana dia telah mempunyai rangkaian perhubungan di kalangan mereka.

Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: