Jumaat, November 02, 2012

Isu Selangor : Jangan sampai peniaga di aset PKNS gulung tikar?



Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada asal penubuhannya pada 1964 adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu dan bumiputera dengan pembinaan Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall Shah Alam dan Wisma Yakin Kuala Lumpur.

Di kesemua pusat perniagaan tersebut peniaga bumiputera secara majoriti mendapat peluang berniaga dalam bidang yang selama ini dikuasai peniaga bukan melayu. Di sini kita boleh melihat orang Melayu berniaga pakaian, makanan, kelengkapan menunaikan haji atau umrah, kuih-muih untuk sambutan hari raya dan kedai buku.

Hari ini ramai penyewa dalam kalangan pejabat seperti pejabat peguam terpaksa berundur setelah wujud desas-desus pihak pengurusan hendak menaikkan sewa di Kompleks PKNS di Shah Alam. Kebanyakannya berpindah di pusat komersial Seksyen 7 yang menawarkan kadar sewa lebih murah.


Mungkin tidak lama lagi Pesuruhjaya Sumpah yang menawarkan khidmat di Kompleks PKNS tersebut terpaksa membuka pejabat di bawah pokok atau terpaksa menaikkan upah menjadi saksi kepada 500 peratus.

Hari ini, kesemua aset berharga milik PKNS tersebut termasuk Menara PKNS Petaling Jaya akan dipindahmilik kepada anak syarikat milik penuhnya, Private Real Estate Company (PREC).

Alasan pihak PKNS mahu meletakkan kesemua aset berkenaan di bawah PREC demi memajukan perniagaan-perniagaan bumiputera dan menaikkan nilai aset komersial tersebut adalah perspektif yang sukar dijustifikasikan.

Hari ini, jika PKNS melihat nasib peniaga Melayu dan perniagaan milik mereka di Suria KLCC sudah pasti tindakan menaikkan nilai komersial aset-aset tersebut tidak terlintas di fikiran mereka. Peniaga Melayu boleh dikira dengan jari di pusat membeli-belah yang gah tersebut, akibat tidak mampu bersaing dengan peniaga asing yang mempunyai rantaian perniagaan yang kukuh.


Ada sebuah restoran yang menyajikan makanan Melayu di Suria KLCC yang menyewa sebanyak RM14,000 pada awalnya kini terpaksa membayar sebanyak RM43,000 sebulan lantaran kenaikan nilai aset komersial tersebut. Akibat kenaikan itu harga makanan perlu dinaikkan juga.

Disebabkan harga makanan tinggi ada baiknya orang Melayu yang gemar makanan tersebut makan di luar pusat beli-belah tersebut. Orang ramai dengan kuasa beli rendah sudah pasti akan makan nasi lemak dengan harga RM2 di luar daripada makan nasi lemak yang sama kualiti dengan harga RM4 di KLCC.

Adakah ini yang pengurusan PKNS inginkan dengan meletakkan PREC untuk menjaga pentadbiran kelima-lima bangunan komersial milik mereka. Jika benar PREC ingin membuat ubahsuai dan menaiktaraf bangunan-bangunan komersial milik mereka dari mana duit untuk menampung kos-kos terbabit. Sudah pasti PREC perlu meminjam daripada institusi kewangan jika ia enggan membuat pinjaman dengan kerajaan negeri Selangor sendiri.


Atau lebih menakutkan, peniaga-peniaga di aset komersial milik PKNS tersebut, kadar sewa tapak perniagaan akan dinaikkan 100 peratus dan dalam keadaan terdesak penyewa-penyewa akan menerima dalam keadaan membantah atau mereka terpaksa keluar dari tempat mereka mencari rezeki sekian lama. Hanya itu cara yang dianggap logik untuk mencari dana memajukan kemudahan-kemudahan di dalam aset-aset komersial milik PKNS tersebut.

Maka, PKNS perlu berfikir di luar kotak dan tidak melihat kemajuan aset tersebut mampu memeriahkan suasana perniagaan di dalamnya. Suria KLCC boleh menawarkan tapak perniagaan yang tinggi sewanya kerana nilai komersialnya naik atas faktor sekitaran yang kondusif membolehkan ia diakses dengan mudah. Sama ada dengan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) dan jalan raya yang baik diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kerja Raya.

Di Selangor, nilai komersial aset PKNS boleh ditingkatkan dengan pembangunan sekeliling dimajukan terlebih dahulu. Kita tidak mahu aset-aset komersial yang canggih hanya indah dipandang tetapi tiada pengunjung kerana tidak ramai yang hadir ke kawasan aset berada akibat sistem pengangkutan tidak diatur dengan sempurna oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi terbabit.


Masalah aset-aset PKNS sebenarnya mampu dikendalikan oleh PKNS sendiri jika mereka boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk peniaga sendiri.

Mewujudkan entiti baru hanya menyebabkan PKNS renggang daripada matlamat asal membantu secara terus orang melayu. Jangan jadi seperti peribahasa, yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Tidak semestinya pusat beli-belah cantik dan lengkap, nilainya akan bertambah dan orang akan berpusu-pusu datang.

Apa yang penting kualiti barang, harga menarik dan layanan yang baik diberikan kepada pengunjung pusat beli-belah. Yang paling utama yang menjualnya mestilah Pak Su Nazri ataupun Mak Su Kiah iaitu orang melayu yang menjadi tanggungjawab asal PKNS. Harap mereka tidak gulung tikar, jual tikar tidak mengapa! Sila klik di sini

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

buncit ituseksi berkata...

Salam 1 Malaysia

saya sudah linkkan blog anda ke blog saya..harap anda juga berbuat demikian