Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, November 09, 2012
Menilai sikap pembangkang berpolitik?
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa suhu politik negara semakin meningkat berikutan bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin terasa, biar pun tidak diketahui bila ia akan diadakan.
Tetapi apa yang pasti kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin rancak melaksanakan program bagi meningkat taraf hidup rakyat dan sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu.
Dalam masa yang sama, pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas terus berada bagaikan 'cacing kepanasan.'
Satu demi satu pelaksanaan program oleh BN diburuk-burukkan kerana pembangkang memahami ia adalah ancaman yang boleh menghakis usaha mempengaruhi rakyat menyebelahi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun persoalan yang harus difikirkan oleh rakyat apakah pakatan pembangkang ini kelompok yang layak diberi peluang memerintah negara? Berikut penulis paparkan beberapa fakta mengenai telatah pembangkang yang dari semasa ke semasa berdasarkan pandangan beberapa penganalisis politik tanah air semakin jelas menunjukkan mereka hanya mahu berpolitik sahaja.
Menanam politik kebencian
Pendedahan mengenai gelagat beberapa pemimpin pembangkang ketika menghadiri istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara telah menjadi bukti bahawa pembangkang semakin tidak matang berpolitik.
Mempersenda dan mengejek pemimpin-pemimpin kerajaan sememangnya sudah menjadi makanan politik pembangkang.
Sebelum ini, pemimpin-pemimpin juga telah menanam politik kebencian di kalangan rakyat dengan memburuk-burukkan apa juga usaha kerajaan dan memfitnah pemimpin-pemimpin BN termasuk ahli keluarga mereka.
Pembangkang semakin tidak matang berpolitik, sebab itulah di mana-mana sahaja sama ada di atas pentas ceramah, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri mahupun dalam Istana Negara - perangai mereka tidak ubah seperti berada di kedai kopi, bercakap ikut sedap mulut dan memperlekeh pemimpin negara sesuka hati.
Soalnya, apakah pemimpin seumpama ini layak dipilih menerajui negeri atau negara?
Membuat janji kosong
Pembangkang hakikatnya semakin rimas dan tertekan apabila kepimpinan Najib terus melaksanakan satu demi satu janji yang telah dibuat kepada rakyat. Bukan sahaja daripada segi membantu taraf hidup rakyat, malahan dalam pentadbiran negara pun, kerajaan BN melakukan transformasi dengan menunaikan janji-janji yang dibuat termasuklah yang terbaharu pembentangan rang-rang undang-undang bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Semua itu membimbangkan pembangkang kerana dalam masa yang sama mereka menyedari terlalu banyak janji yang masih belum mereka tunaikan di negeri-negeri di bawah penguasaan mereka sama ada di Selangor, Kedah mahupun Pulau Pinang.
Sebagai contoh, di Selangor kita perlu bertanya kerajaan PKR yang mentadbir bersama DAP dan Pas, apakah mereka sudah menunaikan antara janji-janji berikut yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu.
1. Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
2. Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
3. Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan anak prasekolah.
4. Memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti.
Ini belum lagi mengambil kira janji-janji manis yang berlambak-lambak tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang di Kedah dan Pulau Pinang dan sekarang kita melihat menjelang pilihan raya umum, pembangkang berjanji lagi.
Pada masa ini sasaran mereka ialah golongan muda, justeru mereka berjanji akan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kalau diberikan peluang memerintah. Mereka juga berjanji untuk menurunkan harga minyak dan sudah pasti mereka juga berjanji menghapuskan tol.
Semua ini adalah nyanyian lagu lama oleh pembangkang bagi meraih undi.
Menolak kebenaran
Satu lagi gelagat pembangkang yang turut memualkan kita ialah sikap menolak kebenaran dan tidak mahu mengakui kelemahan serta kepincangan yang mereka miliki. Apabila sesuatu isu melibatkan pemimpin-pemimpin BN mereka akan menjajanya ke seluruh negara, soal benar atau salah itu perkara kedua yang penting ialah memburuk-burukkan pemimpin BN sebanyak mungkin.
Tetapi apa yang anehnya, apabila sesuatu isu melibatkan pemimpin-pemimpin mereka mulalah pembangkang mengeluarkan pelbagai hujah untuk menunjukkan mereka berada di pihak yang benar.
Biar pun ada sesetengah isu sudah diketengahkan dengan bukti namun pemimpin pembangkang tetap tidak mahu menerimanya, mereka akan mempertahankan antara satu sama lain, sedangkan ada antara mereka adalah terdiri alim ulama yang seharusnya amat memahami bahawa kebenaran perlu ditegakkan dalam keadaan apa sekali pun.
Namun oleh kerana kepentingan politik lebih diutamakan maka kepincangan dan salah laku oleh pemimpin mereka akan cuba dilindungi dan dipertahankan. Mereka lebih gemar menuding jari menyalahkan BN dan media arus perdana serta menganggap semua itu hanyalah fitnah dan konspirasi politik.
Oleh kerana mereka berkawan dan bersekutu dengan alim ulama yang ada dalam Pas maka pemimpin-pemimpin PKR dan DAP tidak pernah khuatir kerana pasti ada di kalangan alim ulama itu akan tampil membela mereka.
Kufur nikmat
Allah SWT telah mentakdirkan pembangkang meraih kemenangan agak besar dalam pilihan raya umum 2008. Mereka berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menawan Kedah, Perak (selama 11 bulan), Selangor dan Pulau Pinang, manakala Kelantan pula terus berada dalam genggaman Pas.
Semua itu berlaku kerana perjalanan pilihan raya yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berjalan secara telus, bersih dan adil. Tetapi pembangkang seolah-olah tidak mensyukuri nikmat ini. Berikutan kebimbangan mereka terhadap sokongan rakyat yang semakin kembali kepada BN maka isu proses pengundian dalam pilihan raya kembali dibangkitkan.
Walaupun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) telah menerima kesemua cadangan pembangkang namun mereka masih belum berpuas hati. Keadaan itu berlaku bukan kerana tuntutan mereka tidak dipenuhi tetapi mereka bimbang tidak mempunyai alasan jika tewas dalam pilihan raya.
Menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan SPR adalah taktik politik paling jijik kerana selama ini sudah terbukti suruhanjaya itu telah mengendalikan pilihan raya dengan telus dan adil.
Kalau SPR tidak bersikap sedemikian sudah pasti pakatan pembangkang tidak akan mampu meraih sebarang kerusi dalam pilihan raya, apatah lagi mencatatkan kemenangan seperti 2008.
Kesimpulannya, berdasarkan apa yang dibentangkan adalah jelas, Malaysia boleh dianggap bernasib malang kerana memiliki sekelompok pakatan pembangkang yang hanya mahu berpolitik sepanjang masa dan hanya bijak memutar belit fakta, menabur janji kosong, menolak kebenaran dan kufur nikmat.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan