Sabtu, November 10, 2012

Antara Soi Lek, DAP dan hukum hudud?



Selama ini pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sememangnya memahami hukum hudud adalah isu yang dilihat sering menggugat kerjasama mereka.

Sikap Pas yang sering bercakap soal hukum hudud setiap kali menjelang pilihan raya telah meletakkan DAP dalam keadaan serba salah.

Walaupun DAP memahami Pas tidak ada kekuatan untuk melawan penentangan parti itu terhadap hukum hudud namun mereka tetap resah kerana isu berkenaan boleh mewujudkan persepsi bahawa pakatan pembangkang tidak sepakat.

Bagi pemimpin-pemimpin Pas pula, mereka ingin menunjukkan kepada orang Melayu kononnya mereka tetap memperjuangkan hukum itu. Oleh itu, walaupun mereka menyedari perjuangan berkenaan tidak akan ke mana kerana penentangan DAP namun mereka cuba bersandiwara kononnya pelaksanaan hukum hudud tetap menjadi matlamat perjuangan mereka.

PKR pula sememangnya tidak akan menyebelahi Pas dalam soal hukum hudud namun begitu mereka tetap resah melihat polemik antara Pas dan DAP. Oleh itu, sama ada DAP, PKR mahupun Pas mereka harus mencari helah supaya dapat memalingkan perhatian rakyat terhadap perbezaan pandangan mereka tentang hukum hudud.

'Misi' mereka hampir berjaya apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bercakap mengenai hukum hudud. Pakatan pembangkang cuba menggambarkan beliau menghina Islam.

Berikutan itu wujudlah keberanian luar biasa dalam kalangan pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR apabila mereka membantah kenyataan Soi Lek mengenai hukum hudud versi Pas.

Hakikatnya, kenyataan Soi Lek sudah diputar belitkan dan diberikan gambaran yang salah, Soi Lek tidak pernah menentang hukum hudud sebaliknya beliau sebelum ini sudah berkali-kali meminta DAP menyatakan pendirian mengenai hukum hudud versi Pas.

Tetapi pemimpin-pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR cuba mengalihkan isu mengenai penentangan DAP dengan menunjukkan kononnya MCA juga menentang hukum hudud.

Kalau benar pemimpin-pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR marah dengan kenyataan Soi Lek kenapakah layanan yang sama tidak diberikan terhadap kenyataan pemimpin-pemimpin DAP.


Apakah kerana DAP adalah 'taiko' dalam pakatan pembangkang maka pemimpin-pemimpin Pas khususnya tidak berani berkata apa-apa. Berbanding dengan DAP, MCA jauh lebih terbuka dalam isu hukum hudud, mereka bersedia mendengar penerangan berhubung perkara berkenaan.

Tetapi persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin DAP bersedia berbuat demikian. Selain itu, kita perlu menerima hakikat apa yang berlaku sekarang adalah kerana kesilapan Pas sendiri yang bercakap hukum hudud secara bermusim.

Akibatnya ia mewujudkan persepsi bahawa hukum hudud hanya menjadi alat politik dan bukannya hendak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh Pas.

Apatah lagi sehingga ke hari ini Pas masih belum mampu membuat penjelasan mengenai kekeliruan yang wujud dalam hukum hudud versi mereka.

Justeru tidak payahlah pakatan pembangkang hendak mengheret MCA dalam polemik mereka. Terimalah hakikat bahawa DAP sama sekali tidak boleh menerima hukum hudud versi Pas dan PKR tidak akan menyokong Pas melaksanakan hukum hudud.

Sejarah politik negara sudah membuktikan keikhlasan MCA bersama komponen Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan negara ini termasuk dalam perkembangan Islam.

Selama ini MCA tidak pernah menghalang apa juga perkara berkaitan Islam yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan, oleh itu apabila ada tuduhan Soi Lek dan MCA menghina Islam, jelaslah ia tuduhan bermotifkan politik dan bagi mengalihkan isu terhadap apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Cuba kita bertanya sejak MCA, Gerakan dan MIC berkawan dengan UMNO pernahkah kita mendengar berlaku keadaan di mana bacaan kitab suci al-Quran tidak boleh dipasang melalui pembesar suara di masjid-masjid ketika subuh. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di Pulau Pinang sekarang.

Selain itu berbanding pemimpin-pemimpin MCA tindakan sesetengah pemimpin DAP kadang kala lebih banyak menyinggung perasaan umat Islam. Keadaan itu berlaku kerana MCA jauh lebih berpengalaman dalam bersahabat dengan parti-parti yang mempunyai ramai umat Islam.


Justeru adalah mustahil untuk mana-mana pemimpin MCA melakukan tindakan menghina Islam seperti mana dakwaan pakatan pembangkang terhadap Soi Lek.

Oleh itu adalah diharapkan umat Islam tidak akan terpengaruh dengan dakyah terbaru pembangkang ini yang ternyata semakin ketandusan idea dan modal dalam menghadapi pilihan raya.

Pembangkang terutamanya Pas amat memahami mereka tidak ada jawapan terhadap penentangan DAP terhadap hukum hudud, oleh itu mereka ingin tunjukkan kononnya DAP sudah boleh menerima perjuangan mereka dan sekarang MCA pula yang menentang.

Apa yang paling malang mereka cuba menggambarkan bahawa suara MCA itu suara UMNO demikianlah terdesaknya Pas dalam usaha mereka meraih undi dan sokongan untuk pakatan pembangkang.

Namun begitu jika sesiapa juga yang mengkaji sikap dan tindak tanduk Soi Lek dan MCA selama ini, mereka pasti memahami kedudukan sebenar. Mereka tidak akan terpedaya dengan dakyah pembangkang yang berusaha untuk melakukan apa sahaja bagi menyakinkan rakyat kononnya mereka sepakat.

Jika benar Pas yakin bahawa DAP tidak lagi menentang hukum hudud versi mereka seperti mana dilakukan oleh MCA maka adalah wajar jika Pas mendesak supaya hukum hudud itu dimasukkan ke dalam buku jingga pakatan pembangkang. Melalui cara itu barulah rakyat akan yakin bahawa Pas benar-benar bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum hudud dan DAP pula sudah menerima hukum berkenaan.

Jika Pas tidak berupaya melakukan demikian, tidak payahlah cuba menunjukkan keberanian tidak bertempat terhadap MCA tetapi dalam masa sama tidak ubah hanya menjadi pak turut kepada PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang.

Selain itu tidak payahlah hendak memperbodohkan rakyat khususnya orang Melayu kononnya UMNO menentang hukum hudud.

Seperti mana sudah diperjelaskan berkali-kali tiada mana-mana pun umat Islam yang akan menentang hukum hudud yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Tetapi kita sama sekali tidak akan bersetuju dengan hukum hudud yang dijadikan modal politik dan dilakukan secara berpilih-pilih sehingga mengwujudkan persepsi hukum Islam itu tidak adil. Itulah sebenarnya yang cuba dielakkan oleh UMNO.

Apa pun terserahlah kepada mana-mana pihak untuk melihat isu kenyataan Soi Lek itu dengan kebijaksanaan dan pertimbangan yang waras. Apa yang pasti semua orang tahu siapakah yang benar-benar menentang hukum hudud dulu, kini dan selamanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: