Rabu, November 07, 2012

Nampaknya Dr. Chua Soi Lek lebih memahami dari ahli Pas sendiri?



Kesediaan Dr. Chua Soi Lek berbincang dengan Ustaz Fathul Bari Mat Jahya mengenai isu hudud adalah suatu hal yang menarik untuk dianalisis. Ustaz Fathul Bari pada hemat penulis ialah seorang ilmuwan muda yang memiliki kecekalan melakukan dakwah dan kerja-kerja intelektual walaupun beliau diremeh oleh Dr. Asri Zainal Abidin, 'Tok Guru' yang mendorongnya masuk politik suatu ketika dulu dan diremeh oleh orang Pas juga.

Hukum hudud adalah satu bahagian daripada hukuman Islam yang terkanun dalam al-Quran. Bila orang Islam beriman dengan al-Quran bermakna mereka tidak menolak hudud.

Apabila kritik MCA terhadap hudud berasaskan Enakmen Hudud Pas Kelantan dan Terengganu ia juga banyak dikritik orang orang Islam yang lain pun. Mengkritik 'hudud Pas' bukan bermakna mengkritik Islam dan al- Quran. Pas ialah sebuah parti politik tetapi bukannya Islam itu sendiri. Terdapat kelemahan dalam Enakmen hudud Pas itu sendiri.


Pas sebagai sebuah parti politik tentu ada kelemahan sama ada dari segi kepimpinan dan perjuangan. Islam adalah suatu agama yang syumul dan bukan saja milik Pas tetapi milik semua pihak yang yakin terhadap kesyumulan Islam.

Oleh itu hudud dari segi konsep dan strategi pelaksanaannya adalah milik umat Islam. Enakmen itu harus dibincangkan secara menyeluruh tidak saja dari sudut konsepnya, maqasid syariahnya, strategi pelaksanaannya dan kebijaksanaan dalam melaksanakan dalam realiti masyarakat majmuk.

Ternyata sejak sekian lama isu hudud menjadi isu politik Pas untuk mendapat undi dan pengaruh. Ia diperjuangkan oleh Pas sekian lama tapi sayangnya bila Karpal Singh dan DAP menentang konsep negara Islam dan hudud, Pas boleh berdiam diri. Tidak segarang seperti dulunya. Sedangkan perjuangan ke arah negara Islam dan hudud adalah perjuangan hidup mati Pas.

Bila Buku Jingga tidak memasukkan Negara Islam dan hudud Pas, Pas rela menjadikan perjuangannya dalam Negara Berkebajikan. Anwar Ibrahim sendiri walaupun pernah berada dalam tarbiyah ABIM tidak berusaha supaya Negara Islam dan hudud dijadikan bahagian penting dalam pakatan pembangkang.


Kalau begitu ke mana hala tuju perjuangan Pas sebenarnya? Takdirnya kalau dapat menguasai Putrajaya, mahukah Anwar melaksanakan perjuangan negara Islam atau hudud yang ditentang oleh DAP.

Kalau jawapannya tidak, apa maksud Pas terus berada dalam Pakatan. Apakah ia kerana kerusi dan kuasa atau kerana Islam dan kebenaran.

Dr. Soi Lek telah sekian lama berada dalam kerajaan dan tentu faham mengenai peruntukan dalam Perlembagaan dan enakmen yang berkaitan dengan Islam. Serahkan kepada kerajaan dan orang yang ahli dalam bidangnya mencari kebijaksanaan supaya manfaatnya tidak saja kepada orang Islam tetapi saja kepada bukan Islam.

Sistem kewangan Islam yang patuh syariah disertai baik oleh orang bukan Islam kerana ia menghasilkan keuntungan dan stabiliti. Produk halal dalam makanan pemakanan yang diusahakan oleh orang bukan Islam berasaskan patuh syariah boleh menyebabkan perniagaan mereka untung kerana sebahagian besar pelanggannya ialah orang Islam.

Sekian lama orang Melayu dan Islam memberikan undi kepada calon-calon MCA, Gerakan dan MIC kerana pakatan ini membawa kestabilan bagi Malaysia.


Jangan jadikan hudud Islam sebagai agenda untuk meyakinkan orang Cina dan India supaya mengundi Barisan Nasional. Negara Islam dan hudud bagi Pas, DAP dan PKR hanya suatu permainan.

Bagi Pas, hukum hudud sebagai daya tarik untuk mendapatkan undi orang Islam. Bagi DAP menentang negara Islam dan hudud menjadi daya tarik untuk sesetengah orang Cina. Bagi PKR dan Anwar Ibrahim meski Pas dan DAP berbeza dari segi dasar dan hala tuju perjuangan tetapi yang penting kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan dan Anwar Ibrahim dapat jadi Perdana Menteri. Ibarat tidur satu selimut mimpi lain-lain.

Oleh itu langkah Dr. Soi Lek harus diikuti dengan dialog yang lebih telus bersama ilmuwan dan profesional Islam supaya pemahaman tentang hukum hakam dan maksud negara Islam akan dapat difahami dengan baik.

Dr. Soi Lek tentu faham bahawa Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam suatu ketika dulu terutama dalam bidang sains dan teknologi. Hatta Nabi Muhammad SAW (sesetengah mengatakan ia athar) pernah menganjurkan supaya tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: