Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan “dimarahi” disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.
Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai “peminta sedekah”. “Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini.
Tengku Razaleigh berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.
Katanya Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai. Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara.
Umno-BN terjejas jika lawan arus dalam isu royalti
Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan kedudukan Umno-BN akan terjejas pada pilihan raya umum ke-13 jika rakyat Kelantan terus dinafikan hak dapatkan royalti. “Susahlah sikit kalau tidak bersama dengan apa yang menjadi harapan rakyat. Orang panggil menentang arus. “Apapun kena tengok pada pilihan raya nanti, sebab saya bukan tok nujum,” kata beliau.
Hampir dua bulan lalu Tengku Razaleigh menyampaikan ceramah yang sama di Kota Baru dengan menegaskan Kelantan berhak menerima wang royalti lima peratus. Dalam pertemuan singkat itu beliau sekali lagi mempersoalkan kredibiliti kerajaan Umno yang terus mempertikaikan hak Kelantan dalam isu royalti dengan menganggap sebagai berfikiran sempit.
“Saya rasa sempit sangat pemikiran kita, kalau Umno pun kenapa tak mahu bagi kepada rakyat Kelantan? Apa kerana PAS menang, tak mahu bagi? “Kalau begitu silap, minyak ini hak rakyat seluruhnya. Soal politik soal lain. Ini soal kehidupan, soal kemajuan rakyat bersama. “Masalah orang (rakyat) hendak kepada Umno atau PAS itu hak dia (rakyat) masing-masing.
“Duk bercakap 1 Malaysia… 1 Malaysia… tapi macam mana 1 Malaysia kalau sebelah sini ‘rebeh’ (tidak diberi keadilan),” katanya. Menjawab usaha NGO yang bertindak akan menyerahkan memorandum bersabit isu tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu ini, Tengku Razaleigh menyifatkan ia satu tindakan yang baik. “Baguslah kalau hendak bawa memorandum kepada Agong supaya Agong lebih maklum. “Tambahan dulu rakyat Terengganu dapat royalti tapi dinafikan selepas ia diperintah PAS,” katanya.
Semalam Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengumumkan dua memorandum melibatkan Kelantan dan Terengganu berkaitan tuntutan royalti akan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena keberangkatan baginda ke Terengganu Sabtu ini. Bulan ini genap 10 tahun Terengganu dinafikan hak royalti oleh kerajaan pusat.
Sementara itu : Musa Hitam - Wang ihsan atau royalti biar kerajaan negeri uruskan!
Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.
Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.
Musa berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat. “Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat. “Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.
Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.
Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru akhir Januari lalu. Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999. Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.
Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin mno. “Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.
“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya. Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.
“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya. Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak. Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat.
Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya. Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.
Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini. Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan. Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.
Pelik tapi benar : Apakah kedua-dua bekas pemimpin kerajaan ini lupa akan sejarah! Adakah Ku Li lupa dengan apa yang beliau katakan pada tahun 2000? Rakyat tidak akan lupa akan apa yang telah dikatakan oleh Musa Hitam semasa Tun Mahathir keluar dari UMNO tahun lepas, " terkeluarlah duri dari daging UMNO " seolah-olah Musa Hitam masih berdendam dengan Tun Mahathir! Wallahuallam.
Suara Politik
Taminsari
6 ulasan:
Assalaamu 'alaikum Belantan & yang melayari blog ini,
1 Kalau apa yg Musa Hitam dan Ku Li buat pada masa lepas dijadikan sandaran pandangan mereka ditolak sekarang, nyatalah perilaku yang sedang ditujukan kepada Kelantan sekarang - dalam isu royalti/wang ehsan petroleum ini - pun tegak di atas asas yang sama - dendam & dek dorongan sifat membenci pada tahap kronik. [Dalam psikologi manusia yang tertindas, terancam dan desperate memang ada sifat begini, iaitu sifat sadis - naluri untuk tindak balas secara kejam kerana berasa dirinya tidak selamat]
2 Bagaimana sifat begini - apatah lagi jika ada pada diri seorang penguasa Muslim - akan dapat melahirkan pentadbir/ penguasa yang bertaqwa serta adil? Dia akan sentiasa bias atas alasan yang tidak munsabah.
3 Sifat sebegini - jika melekat pada diri ketua kumpulan/parti, sementara yang lain akur, tidak mahu menegur [memuhasabahi]nya - pasti dia menjadi liabiliti kepada seluruh parti/kumpulannya. Maka, tunggu sahajalah ketentuan yang Allah telah janjikan akibat melakukan kezaliman & ketidakadilan - KEMUSNAHAN : bagi dia, dan bagi parti/kumpulan keseluruhannya.
4 Kerana itu, memada-madalah ketika Anda menyukai supaya tidak mendatangkan fitnah, dan memada-
mada jugalah ketika Anda membenci, supaya tidak menzalimi.
Wallahu a'lam.
dua bekas pemimpin kerajaan ini sebenarnya ingin menonjol diri yang semakin dilupakan.... jasa kepada negara tak seberapa.... sudah2 lah cakap tak serupa bikin pun ... renung2kan kata2 kamu dulu wahai musa n ku li....
Cuba kita tanya balik kenapa baru sekarang Tengku Razaleigh mempersoalkan perkara ini sedangkan dahulu beliau sendiri yang menyatakan Kelantan tidak layak menerima wang royalti petronas..kenapa sewaktu dia menerajui semangat 46 dan berkongsi memerintah kelantan dahulu pun dia tidak pernah membangkitkan isu ini..
Hakikat sebenarnya tengku Razaleigh membicarakan perkara ini adalah untuk cuba mempopularkan dirinya sahaja yang sedang hanyut ..so pabila dia rasa berpeluang untu menonjolkan diri setelah PAS memainkan isu ni dia cuma menyelitkan dirinya itu sahaja..beliau ini umpama sabut yang telah hanyut dibawa arus sungai kelaut tetapi PAS pulak melihat sabut ini berguna so cepat2 mereka menyaut sabut ini daripada terus hanyut....
Musa vs Ku Li , satu masa dulu pernah mengegarkan politik Malaysia . Cuma takdir tuhan saja yg tidak membenarkan keduanya menjadi Perdana Menteri ! Tentu ada sebabnya . Sama juga macam Anwar . Oleh itu setiap komen mereka-mereka ini tak payahlah kita ambil perhatian sangat kerana terlalu berkepentingan diri sendiri.
Cuba bayangkan apa jadi kepada negara Malaysia ini jika salah seorang dari mereka menjadi PM ? Allah lebih mengatahui .
Syarikat minyak nasional, Petronas menafikan dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa pihaknya telah menemui lapangan minyak yang besar dan kemungkinan terbesar di dunia.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat syarikat itu, pihaknya tidak membuat sebarang penemuan seumpama itu.
''Sebarang kenyataan yang menyebut mengenai penemuan sedemikian adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tengku Razaleigh ketika menjadi panel pada forum Royalti Minyak: Hak Perlembagaan? anjuran Majlis Peguam hari ini mendakwa, syarikat itu telah menemui satu lapangan minyak yang sangat besar, kemungkinan yang terbesar di dunia.
Bekas Pengerusi Petronas itu yang enggan mendedahkan butiran lanjut dan pihak yang memberi maklumat kepadanya berkata, beliau diberitahu bahawa tiada pengumuman dibuat mengenai penemuan lapangan minyak yang sangat besar itu.
''Saya diberitahu terdapat penemuan besar yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak.
''Saya juga diberitahu ia merupakan lapangan minyak atau telaga minyak terbesar (bukan hanya) di sini tetapi juga di tempat-tempat lain di dunia. Saya tidak boleh dedah (lokasi)... saya tidak boleh beritahu anda," katanya.
Petronas yang ditubuhkan pada 1974 kini menjalankan aktiviti cari gali di 31 negara dan paling terbaru, konsortium yang disertai syarikat itu terpilih untuk memajukan dua blok medan minyak terbesar Venezuela dan menerokai medan minyak di Iraq yang diberi nama Majnoon.
Syarikat itu menyumbang kira-kira RM75 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan iaitu bersamaan 42 peratus pendapatan tahunan Malaysia.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, penemuan telaga minyak terbaru itu adalah sesuatu yang bagus untuk masa depan syarikat berkenaan.
''Saya harap Petronas akan diuruskan dengan baik. Jangan ada sebarang ketirisan, agar wang dapat kembali kepada rakyat,'' katanya.
Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, beliau gembira kerana walaupun syarikat itu terpaksa membelanja wang yang banyak bagi membina Menara Berkembar Petronas dan Putrajaya, ia masih meraih keuntungan, masih mempunyai wang dan mempunyai baki rizab.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Razaleigh berkata, beliau terlibat mengasaskan Petronas pada 1974 setelah menerima arahan daripada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Menurutnya, penubuhan Petronas bertujuan memastikan hasil petroleum digunakan bagi membantu penduduk miskin di seluruh negara termasuk di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang ketika itu tidak mempunyai minyak.
''Keputusan yang dibuat adalah bertepatan kerana pada ketika itu kita tidak mempunyai syarikat petroleum tempatan sebaliknya aktiviti cari gali minyak negara dilakukan oleh syarikat asing," ujarnya.
Sokongan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam terhadap pembayaran royalti minyak atau wang ihsan kepada negeri melihatkan komitmennya memastikan kemelut isu tersebut ditamat segera.
Naib Presiden Pas, pendirian Musa itu selaras dengan Akta 144, Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri menguruskannya dan bukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
“Saya bimbang pengurusan wang ihsan yang seharusnya digunakan untuk pembangunan rakyat itu akan terdedah kepada penyelewengan,” katanya semalam.
Beliau mengulas kenyataan Musa yang berpendirian pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada Kerajaan Ngeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.
Menurutnya, pendirian Musa berhubung isu itu juga sealiran dengan Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.
Salahuddin ketika ditanya, sama ada Musa juga akan mengalami nasib yang sama dikritik parti seperti Tengku Razaleigh ekoran kenyataanya itu, beliau tidak menafikannya, namun, yakin Tan Sri berwibawa dan mampu mengatasinya.
“Beliau kini sebagai negarawan negara, tidak lagi melibatkan diri dalam politik. Hal ini tidak akan memberi kesan kepadanya,” katanya.
Kerajaan Kelantan tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada Kerajaan Pusat.
Namun, Kerajaan Pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.
Sebaliknya Kerajaan Pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan yang pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.
Untuk tujuan itu Kerajaan Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan.
Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.
Catat Ulasan