Selasa, Mac 16, 2010

Khalid Ibrahim, Menteri Besar Yang Di Tolak Oleh Ahli PKR Kawasan Sendiri!

MB Selangor, Abdul Khalid Ibrahim tidak dapat diterima sebahagian besar ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kuala Selangor kerana beliau adalah calon 'payung terjun' yang dibawa masuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke cabang itu.

Bekas Setiausaha Perhubungan PKR Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, sehubungan itu tidak hairanlah sekiranya 50 ahli PKR Kuala Selangor dilaporkan bertindak meninggalkan mesyuarat agung tahunan cabang itu semalam.

Beliau berkata, sebaliknya orang yang selama ini menjadi tulang belakang dan dihormati oleh ahli dan pimpinan PKR di cabang itu ialah timbalan Khalid Ibrahim, Arshad Abu Bakar. "Khalid Ibrahim daripada awal lagi tidak diterima oleh ahli PKR cabang Kuala Selangor sejak menjawat tugas itu dua tahun lalu kerana beliau telah membawa masuk orang luar dalam kepimpinan PKR Kuala Selangor.

"Sehubungan itu, pada mesyuarat semalam beliau sebenarnya mahu mana-mana ahli yang sering menyuarakan pendapat, mengkritik kepimpinannya tidak hadir kerana beliau dilihat takut akan kehilangan kuasa," katanya di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 50 ahli PKR Kuala Selangor bertindak meninggalkan mesyuarat agung tahunan cabang itu kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat tersebut.Mereka keluar beramai-ramai ketika sesi soal jawab dengan ahli jawatankuasa (AJK) yang diketuai Khalid Ibrahim sedang berjalan.

Antara perkara yang tidak memuaskan hati mereka ialah cara ahli-ahli dipanggil datang ke mesyuarat agung dan isi kandungan minit mesyuarat yang diedarkan kepada semua yang hadir kerana didakwa tidak mengikut tertib dan melanggar perlembagaan parti.

Mengulas lanjut, Nazmi berkata, cabang PKR Kuala Selangor yang diketuai Khalid Ibrahim kini dalam keadaan cacamarba dan huru-hara kerana hanya tinggal ketua dan timbalannya sahaja ekoran perletakan jawatan 13 AJK bahagian tersebut 20 Januari lalu.

Menurutnya, sehubungan itu, difahamkan Khalid Ibrahim telah melantik Abdul Rahman Talib seorang guru pencen berusia 69 tahun dari Kajang sebagai Setiausaha Cabang. "Begitulah sikap Khalid Ibrahim yang tidak mahu memberi kepercayaan kepada pemimpin tempatan anak jati Kuala Selangor memegang jawatan penting.

"Inilah kegagalan kepimpinan yang dimiliki oleh Khalid Ibrahim. Bagaimanakah beliau mampu mentadbir sebuah kerajaan negeri dengan berkesan sekiranya 'rumah' sendiri tidak dijaga dan diuruskan dengan baik," katanya. Malah katanya, dalam struktur di peringkat negeri iaitu Perhubungan PKR Selangor juga Khalid Ibrahim menghadapi masalah dengan ramai ketua-ketua cabang yang semakin menyampah dengan kepimpinan Menteri Besar itu.

Menurutnya, dengan keadaan cabang PKR Kuala Selangor yang kini sudah terumbang-ambing ke arah untuk 'dikuburkan', maka kredibiliti kepimpinan Khalid Ibrahim dalam parti sudah berjaya dicemarkan. "Tidak mustahil ada usaha-usaha dalaman yang mahu mentalkinkan nyawa politik Khalid Ibrahim," katanya.

Dari sumber-sumber yang boleh dipercayai :

Empat Ahli Parlimen Selangor akan letak jawatan?

Krisis kepimpinan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim dijangka terus berlarutan apabila empat Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu didakwa akan meletak jawatan. Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Sd. Johari Md. Yasin juga mendakwa, selain empat ahli Parlimen itu, terdapat juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan meletakkan jawatan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti ahli Parlimen dan ADUN terbabit kerana perkara tersebut sedang diperhalusi oleh pihak terlibat sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat. ''Melalui pertemuan dengan rakan-rakan yang masih berada di dalam PKR mereka telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan dengan kepimpinan Abdul Khalid.

''Namun, perkara itu akan diperhalusi oleh mereka terlebih dahulu sebelum mengumumkan tindakan berkenaan," katanya disini hari ini. Beliau mengulas mengenai corak kepimpinan Abdul Khalid ekoran tindakan kira-kira 50 ahli PKR Kuala Selangor bertindak meninggalkan mesyuarat agung tahunan cabang itu kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat tersebut semalam.

Mengulas lanjut Sd. Johari berkata, di peringkat PKR Cabang Kuala Selangor, Abdul Khalid dianggap sebagai pemimpin yang tidak mengenang jasa pemimpin lain di bahagian tersebut. ''Begitu juga di peringkat negeri iaitu Perhubungan PKR Selangor, Abdul Khalid dilihat gagal ekoran hala tuju parti itu yang sudah berubah dan menyimpang daripada perjuangan asalnya.

''Kegagalan itu bukan sahaja kegagalan Abdul Khalid tetapi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ternyata tidak sehaluan dengan sebahagian ahli parti. ''Itulah yang menyebabkan ramai ahli parti itu tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan PKR terutamanya Selangor," katanya. Sama-samalah kita tunggu dan lihat? Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: