Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Mac 11, 2010
'Semboyan Halilintar ke Putrajaya' untuk siapa?
TERNYATA, impian pembangkang untuk menawan Putrajaya tidak pernah terpadam dalam agenda politik mereka. Walaupun sepatutnya selepas dua tahun memerintah di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta menguasai 78 kerusi di Parlimen, pembangkang menilai kemampuan mereka bagi memperbaiki kelemahan, namun itu tidak berlaku.
Sebaliknya, pada minggu lalu mereka melancarkan apa yang dipanggil 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya'. Ia adalah satu program yang dicetuskan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencapai impian mereka untuk menawan Putrajaya.
Mereka meletakkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebagai sasaran bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekali gus memenuhi mimpi mereka yang terbengkalai sebelum ini.
Sesungguhnya tiada siapa pun boleh memastikan sama ada impian pembangkang itu akan menjadi kenyataan atau tidak kerana segala-galanya terletak kepada rakyat menentukannya. Tetapi apa yang pasti jelaslah kini dengan pelancaran program itu yang bermula di Negeri Sembilan, matlamat pakatan pembangkang sejak selepas pilihan raya umum 2008 tidak berubah iaitu untuk merebut tampuk kekuasaan negara.
Pembangkang di bawah kepimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu kemarukkan kuasa untuk memerintah negara ini. Sebab itulah biarpun rakyat sudah membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke- 12 dengan terus memberikan mandat kepada BN walaupun tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen, pembangkang tetap berusaha untuk menumbangkan BN.
Ia termasuklah melalui impian 16 September yang dicetuskan oleh Anwar. Ketika itu tidaklah pula mana-mana pemimpin pembangkang menimbulkan soal sama ada ia demokrasi atau tidak. Tidak pula ada pemimpin pembangkang yang meminta kalau berlaku Ahli Parlimen yang melompat parti, jangan datang ke sidang Parlimen. Kita juga tidak mendengar gesaan supaya Ahli Parlimen berkenaan perlu mengosongkan kerusinya. Malah kita sudah tentu tidak mendengar ada gerakan mengumpul tanda tangan dilakukan kalau Ahli Parlimen melompat parti.
Ketika itu semua pemimpin pembangkang begitu ghairah menyokong apa yang hendak dilakukan oleh Anwar. Malah ada yang sudah bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berkira-kira siapa yang akan menganggotai Kabinet.
Tambahan pula dari semasa ke semasa menjelang bulan September, Anwar terus dengan retorik politik yang bukan sahaja berjaya meletakkan kerajaan dalam keresahan malah mewujudkan harapan yang cukup tinggi kepada sekutunya dalam pembangkang bahawa mereka akan ke Putrajaya pada bulan berkenaan.
Tetapi akhirnya, impian Anwar hanya menjadi mimpi yang tak sudah. Pembangkang kekal menjadi pembangkang manakala BN terus memerintah.
Apa yang berlaku ialah pembangkang kehilangan kuasa di Perak apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR dan DAP mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat bebas. Masa itu bergegarlah seluruh negara dengan tuduhan bahawa tindakan berkenaan tidak demokratik, pilihan raya perlu diadakan dan wakil rakyat berkenaan mengkhianati amanah rakyat.
Situasi yang sama juga berlaku apabila tiga Ahli Parlimen PKR keluar parti dan seorang dipecat. Pemimpin pembangkang sengaja melupakan impian 16 September kerana dalam apa hal pun, kalau mereka buat tak apa tetapi kalau orang lain buat tak boleh.
Mereka sentiasa menganggap merekalah pilihan terbaik rakyat, tiada cacat cela, bakal sebuah kerajaan yang terbaik di dunia dan paling sempurna. Justeru mereka meletakkan sasaran PRU13 untuk memerintah Malaysia melalui program 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya'.
Tanpa mahu mengkaji kenapa rakyat memprotes BN pada pilihan raya umum lalu, pembangkang begitu kemarukkan kuasa. Mereka begitu yakin bahawa senario sokongan rakyat kepada mereka masih berterusan.
Tetapi mereka terlupa bahawa hakikatnya, gerakan mereka semakin lemah. Bukan sahaja dengan tindakan pemimpin atau ahli keluar parti, malah lakonan dan sandiwara pemimpin-pemimpin utamanya semakin diketahui oleh rakyat.
Begitu juga masalah tidak sefahaman antara PKR, DAP dan Pas dalam memerintah. Bagaimana mungkin mereka akan terus berpura-pura untuk memerintah bersama, kalau masing-masing berbeza ideologi dan perjuangan kecuali ada parti yang sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya demi kuasa semata-mata.
Oleh itu program 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya' dilakukan bukanlah semata-mata untuk memperjuangkan nasib rakyat tetapi sekadar memenuhi impian politik merebut kekuasaan yang begitu mendalam di kalangan sesetengah pemimpin pembangkang. Selagi Putrajaya tidak dapat ditawan, selagi itulah pemimpin yang bercita-cita tinggi berkenaan, tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang.
Apa yang anehnya, dalam keadaan bahtera pembangkang semakin terumbang-ambing, program berkenaan dilancarkan. Ini jelas menampakkan bahawa pembangkang benar-benar mengamalkan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah dalaman yang sedang mereka hadapi.
Mereka tidak mahu orang terlalu menumpukan perhatian kepada masalah tersebut, maka muncullah 'Semboyan Halilintar'. Sebenarnya yang menjadi 'semboyan' sekarang ialah hiruk-pikuk akibat tindakan Ahli Parlimen PKR keluar parti sehingga mencetuskan 'Halilintar' yang 'menyambar' bahtera pembangkang yang sebelum ini sememangnya sudah dilihat penuh kepincangan.
Perkembangan terbaru ini, seharusnya memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa inilah wajah sebenar pembangkang di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
Jika dulu sebelum Anwar menjadi pemimpin pakatan berkenaan, tiada agenda begitu besar diletakkan oleh DAP dan Pas. Ia disebabkan oleh kedua-dua parti itu tidak mempunyai kekuatan apatah lagi pengaruh bagi membolehkan rakyat menyokong mereka.
Segala-galanya mereka bergantung kepada Anwar. Tidak kiralah sehebat manapun Lim Kit Sing dan Karpal Singh atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kesemua mereka berharap Anwar akan terus menjadi pemimpin utama pembangkang.
Sebab itulah walaupun PKR sudah kehilangan kerusi majoriti di kalangan pembangkang, Anwar tetap disuruh kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Ia kerana DAP dan Pas tidak memiliki pemimpin yang berupaya menyatukan kesemua parti pembangkang, apatah lagi menjadi pemimpin utama negara.
Namun begitu, DAP dan Pas juga perlu ingat bahawa Anwar tidaklah sehebat mana. Hari demi hari segala kepincangan yang Anwar lakukan dalam mentadbir PKR semakin terbongkar melalui pendedahan bekas-bekas pemimpin dan Ahli Parlimen parti itu. Mungkin DAP dan Pas akan terus memberikan sokongan kepada Anwar tetapi bagaimana dengan rakyat? Mereka sudah tahu menilai siapa lebih sesuai menjadi pemimpin dan parti mana paling layak terus memerintah negara.
Oleh itu, janganlah DAP dan Pas terus ghairah dengan 'nafsu kemaruk kuasa' yang cuba dicetuskan oleh PKR melalui 'Semboyan Halilintar'. Adalah lebih baik jika DAP mengkaji kelemahan pemerintahan mereka di Pulau Pinang manakala Pas pula bermuhasabah adakah tindakan mereka terus menyokong apa yang dilakukan oleh pembangkang benar atau tidak.
Janganlah nanti oleh kerana terlalu ghairah mengejar kekuasaan melalui agenda 'Semboyan Halilintar Ke Putrajaya,' 'guruh dan petir' meragut apa yang dikendong oleh DAP dan Pas.- UM
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan