Rabu, Mac 03, 2010

PAS ' Cium Mulut ' Dengan Kafir Harbi !

Tidak ada lagi dalil atau tanda-tanda yang nyata bahawa PAS sebenar-benarnya sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Jika ada orang yang mengaku mereka hanyalah pemimpin parti itu sendiri dan penyokong taksub mereka yang telah membutakan segala-galanya.

Tindak-tanduk PAS kini memperlihatkan bahawa para pemimpin parti yang mendakwa berdoktrin agama itu amat berpegang kuat kepada falsafah politik matlamat menghalalkan cara. Semua orang tahu bahawa slogan politik PAS ialah ‘ mendaulatkan pemerintahan Islam ’ di Malaysia.

Umum juga sedar bahawa slogan itu tidak akan menjadi kenyataan, selagi komposisi rakyat negara ini masih berbilang agama dan kaum dengan nisbah sekarang, iaitu orang Melayu yang beragama Islam hanya merupakan penduduk majoriti besar di beberapa negeri.

Berdasarkan komposisi penduduk ini, para pemimpin PAS amat menyedari bahawa orang-orang bukan Islam tidak akan mengundi mereka untuk membolehkan parti itu memerintah. Justeru, PAS bersetuju untuk membentuk satu pakatan dengan lain-lain parti pembangkang termasuk DAP dan PKR bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum.

Amat menarik dan lucu betapa sebuah parti Melayu yang mahu melaksanakan hukum hudud boleh menjalin kerjasama dengan sebuah parti dukungan orang Cina yang melaungkan Malaysian Malaysia ( hak yang sama bagi semua kaum di Malaysia ). Lebih menarik lagi ramai di kalangan pemimpin kanan parti itu mengeluarkan kenyataan yang begitu keras dan memperlihatkan bahawa dari kaca mata Islam, DAP adalah golongan yang boleh ditakrifkan sebagai kafir harbi.

Dari segi syarak, orang-orang bukan Islam ditakrifkan dalam dua kategori iaitu kafir harbi yang memusuhi Islam dan kafir zimmi yang tidak memusuhi Islam. Orang Islam dibolehkan bekerjasama dengan kafir zimmi, tetapi dilarang berbaik-baik dengan kafir harbi. Tetapi PAS sekarang bukan sahaja berbaik-baik malah bersekongkol dengan DAP, iaitu golongan yang mempunyai pendirian keras terhadap Islam berbanding lain-lain parti dukungan bukan Islam di Malaysia termasuk anggota-anggota komponen BN.

Demi menjayakan pakatannya dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, PAS tergamak pula mengorbankan slogan politiknya untuk mendaulatkan pemerintahan Islam. Slogan itu digugurkan daripada manifesto pilihan raya barisan alternatif.

Apabila perkembangan itu mula digusari oleh sebilangan ahlinya kerana dilihat sebagai lebih merugikan daripada menguntungkan, maka tampil Ustaz Hadi Awang untuk mempertahankan bahawa matlamat parti itu tetap tidak berubah. Ini mendorong DAP menyuarakan kemarahan dengan menggesa supaya PAS mengambil tindakan displin ke atas Hadi. PAS semakin kelam kabut dan serba salah. Kejadian itu menunjukkan betapa Pas kini terdapat lubuk-lubuk keramat yang terpaksa disembunyikan dari pengetahuan umum.

Apa yang jelas bahawa PAS kini sudah bertukar menjadi seperti sesumpah, reptilia yang boleh berubah warna mengikut persekitarannya. Atas landasan matlamat menghalalkan cara, PAS sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya. Dalam mengatur strategi politiknya, PAS melihat peluang dari isu Anwar Ibrahim untuk meniupkan kebencian terhadap kerajaan. Dalam masa yang sama, PAS berusaha mendapatkan sokongan bukan Islam melalui muafakat dengan DAP.

PAS juga berterusan memaki hamun dan menggunakan fitnah sebagai modal meraih sokongan. Lihat betapa murahnya para pemimpin PAS menjaja isu Anwar diracuni, padahal dakwaan itu tidak betul.

Tukang-tukang kempen PAS dari rumah ke rumah pula menjanjikan syurga kepada pengundi seolah-olah mereka memegang kunci taman Allah itu. Inikah cara orang Islam berpolitik? Islam adalah cara hidup orang beriman. Matlamatnya ialah kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pelaksanaannya mestilah tidak bercanggah sedikit pun dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah saw. Matlamat yang halal mestilah diburu dengan cara yang juga halal.

PAS hanya menampakkan kemuliaan pada slogan politiknya, tetapi segala tindak tanduknya tidak membuktikan bahawa ia sebuah parti Islam. Perihal PAS kini sudah menjadi sesumpah memperjelaskan segalanya. Kejap dia berwarna hijau, sekejap warna merah, sekejap warna kelabu tahi anjing. Yang pasti sejak kebelakangan ini, sesumpah itu sering bewarna kelabu tahi anjing.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: