Isnin, April 13, 2015

Titah Sultan Perak - Tolak pihak langgar sempadan adab dan adat!

Sultan Nazrin muizzuddin Shah ketika bertitah dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-163 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, semalam. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (kanan).

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah rakyat menolak golo­ngan yang melanggar sempadan adab dan adat yang dipelopori individu dan organisasi yang disifatkan sebagai buta huruf terhadap sejarah negara.

Titah baginda, perbuatan mahu mengetepikan adab sehingga memijak adat semakin ketara oleh mereka yang longgar pegangan adat dan kosong fahaman adab­nya.

Ini kerana golongan itu mempunyai pengetahuan cetek tentang tamadun bangsanya, minda budaya pelarian dan minda terapung-apung serta tidak ada akar budaya sehingga melanggar adab dan menyisihkan adat.

Berikut ialah titah ucapan Sultan Nazrin dalam Mesyuarat Dewan Negara Negeri Perak ke-163 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar semalam:

Istiadat pertabalan ini bukan satu pesta untuk bersuka-suka dan berpesta-pesta. Beta amat sensitif akan aspek perbelanjaan dan pada setiap kali disembahkan taklimat, beta memperingatkan ahli-ahli jawatankuasa agar dipastikan elemen bermewah-mewah dan bermegah-megah dihindarkan daripada berlaku.

Istiadat ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperingatkan kembali warga akan sejarah negara bangsanya yang memiliki tamadun dan telah membina tamadun bangsa, berlandaskan adab - bertiangkan adat.


Sebagai sultan yang telah dipilih oleh mesyuarat Dewan ini pada 28 Mei 2014, beta wajib memenuhi tanggungjawab untuk memelihara adab dan adat yang telah diwariskan turun-temurun sejak daripada Sultan Perak yang pertama.

Setiap negara ada adabnya. Adab melibatkan aspek-aspek mo­ral, perilaku, perbuatan baik, kesantunan, kesopanan dan kemanusiaan. Malah, kemajuan sesebuah negara bergantung pada warga yang mengamalkan disiplin tinggi, kesusilaan terpuji, beradab sopan terhadap negara dan menghormati lambang kedaulatan negara.

Setiap warga ada adatnya, ditakrifkan secara umum sebagai satu aturan cara hidup, prinsip pegangan dan kepercayaan yang timbul daripada pemikiran lalu mempengaruhi tingkah laku. Adat adalah hukum norma yang dijunjung oleh kelompok masyarakat.

Dalam bahasa Melayu lama, adat sebenarnya merujuk kepada undang-undang yang merangkumi bidang sosial, politik, ekonomi, malah undang-undang samudera. Hukum adat adalah hukum yang berlandaskan kebiasaan turun-temurun. Kerana adat itu secara konvensyen dianggap sebagai undang-undang, lahir pepatah dalam masyarakat Melayu, yang sedia mati anak daripada mati adat. Pepatah ‘Biar Mati Anak, Asalkan Tidak Mati Adat’ memperlihatkan masyarakat Melayu amat menghormati undang-undang.

Undang-undang sama sekali tidak akan dikompromikan walaupun yang melakukan kesalahan itu adalah anak sendiri. Adat ialah peraturan hidup, adat ialah gagasan kebudayaan. Masyarakat dan anggota masyarakat yang menghormati dan menghargai adat adalah masyarakat dan anggota masyarakat yang hidup bertatacara.

Adat berfungsi membentuk sebuah masyarakat berdisiplin yang maju, dinamik dan progresif. Adat itu mencerminkan jiwa dan keperibadian sesuatu masyarakat - jiwa dan keperibadian sesuatu warga - jiwa dan keperibadian sesuatu bangsa.

Oleh itu, Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV ini adalah istiadat yang dianjurkan dengan tujuan untuk menziarahi semula adab dan adat negeri beraja - rakyat bersultan, agar semangat kenegaraan dan semangat ketatanegaraan dapat difahami, di apresiasi dan dihayati oleh rakyat jelata.

Ia bukan istiadat semata-mata untuk batang tubuh individu seorang Raja, tetapi ia adalah istiadat menabalkan raja yang bertakhta, lambang kedaulatan negara - payung penyatuan warga; sementara Raja Pemerintah pula turut diamanahkan dengan tanggung jawab sebagai pelindung dan pemelihara (protector and custodian) kepada adab, adat dan budaya bangsa.


Raja yang ditabalkan itu adalah pemegang watak utama untuk menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kembali sejarah dan keagu­ngan tamadun bangsanya, yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, mengandungi komponen-komponen kekayaan sejarah, keagungan tamadun, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Ia menjadi amat relevan, bertambah relevan malah semakin relevan ketika masyarakat kini sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya.

Kebelakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab malah memijak adat semakin kelihatan; perbuatan yang dipelopori oleh kalangan yang buta huruf atau illiterate terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, (refugee minded culture); minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya lalu melanggar adab dan menyisihkan adat; mengingatkan Beta kepada pantun Melayu lama:

Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi.

Terlalu mahal - terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina dan tercatat dalam sejarah bangsa untuk boleh dibenarkan dirompak, dirampas, dimusnahkan dan dinyahkan dari bumi bersejarah ini kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi tertentu yang longgar pegangan adatnya dan kosong fahaman adab­nya.


Individu dan organisasi yang cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan orde baharu dan tatacara baharu; berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan budaya yang sangat asing dan bercanggah dengan adat dan adab bangsa yang selama hari ini amat mengutamakan sifat santun dan hormat serta suasana rukun lagi harmoni. Bangsa perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan bu­daya yang semakin melanggar sempadan adab dan adat daripada terus berlaku. Bangsa tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab - papa adat.

Istiadat pertabalan ini adalah peristiwa yang wajib diusahakan secara bersama untuk membina jati diri rakyat daripada diresapi oleh racun-racun yang mahu memusnahkan tamadun bangsa.

Beta mentakrifkan acara-acara yang Beta akan alami sepanjang istiadat pertabalan ini adalah acara-acara yang dapat menyediakan ruang membawa Beta mengenali lebih dekat - lebih rapat majoriti rakyat di negeri Perak Darul Ridzuan, rakyat daripada pelbagai strata sosial dan ekonomi, rakyat dari pelbagai agama, rakyat dari pelbagai kaum dan rakyat daripada pelbagai lapisan usia.

Istiadat pertabalan ini hendaklah dijadikan platform untuk rakyat disatukan dalam semangat kenegerian dan kenegaraan, menerima dan menghormati perbezaan, sama-sama berazam untuk teguh bersatu dalam kepelbagaian, membina negara bangsa yang bertamadun lagi dihormati.

Semoga Allah Subhanahu Wa­ta’ala akan mengurniakan rahmat dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala senantiasa memberikan hidayat, petunjuk dan panduan membolehkan Beta menyempurnakan amanah dengan adil lagi saksama.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: