Rabu, September 10, 2014

PKR, DAP sepakat, Pas berpecah?


Selain kejutan oleh Pas dengan menyenaraikan salah seorang wakil rakyatnya untuk jawatan itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dilaporkan terpaksa menggugurkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon mutlak.

Sebaliknya laporan menyatakan PKR menyenaraikan tiga nama baru iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, ADUN Ijok, Idris Ahmad dan ADUN Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad. Tidak kiralah siapa pun yang parti itu calonkan ia pasti akan mendapat sokongan kawan karibnya, DAP.

Biarpun semakin jelas kini harapan Anwar Ibrahim untuk melihat isterinya menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuju kehancuran, namun diharapkan kalaulah kalangan wakil rakyat PKR yang dipilih, jangan pula ia menjadi MB kawalan jauh.

Apa pun siapapun wakil rakyat PKR itu, beliau pasti akan disokong penuh DAP tetapi bagaimana dengan Pas? Pemimpin dan ahli Pas perlu mengakui kemelut MB Selangor telah menyebabkan parti itu berantakan. Ketika PKR dan DAP bersepakat, Pas pula berpecah sesama mereka.


Perbalahan dan pertelingkahan antara golongan ulama dan bukan ulama atau lebih terkenal dengan gelaran 'Anwarinas' semakin ketara. Berikut penulis paparkan beberapa faktor yang mendorong berlakunya pertembungan tersebut;

* Terlalu mengutamakan kerjasama dengan PKR-DAP

Di dalam Pas wujudnya satu sentimen yang cukup kuat iaitu Pas harus bersama-sama dalam pakatan pembangkang. Bagi kelompok ini, mereka sudah tidak ada lagi keyakinan kepada kekuatan Pas. Biarpun 'track record' politik Pas jauh lebih baik daripada PKR dan DAP tetapi itu sudah tidak menjadi pertimbangan.

Sebaliknya mereka terlalu 'taksub' dengan pendapat, kalau Pas keluar daripada pakatan pembangkang maka hancurlah masa depan politik parti itu. Tidak kira sama ada Pas dilayan sebagai 'pak turut' kepada PKR atau 'kuda tunggangan' kepada DAP yang pasti mereka mahu Pas terus kekal bekerjasama dengan kedua-dua parti itu.

* Mengagumi kewibawaan Anwar lebih daripada Presiden sendiri

'Penyakit' ini sudah lama wujud iaitu sejak Pas berkawan dengan PKR dan Pas dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ada kelompok dalam Pas terlalu 'berkiblatkan' Anwar dan PKR. Bagi mereka, hanya Anwar sahaja mampu membawa Pas mencapai kejayaan melalui kesepakatan dalam pakatan pembangkang.


Akibat ketaksuban inilah yang menyebabkan sesetengah mereka seolah-olah sudah hilang rasa hormat kepada Abdul Hadi sehingga sebarang pendirian atau keputusan beliau sudah tidak dikira mewakili parti sebaliknya bersifat peribadi.

Mereka bukan lagi mengkritik kepimpinan sendiri di dalam mesyuarat tertutup malah di forum-forum terbuka dan sekali gus menampakkan pendirian politik mereka kadangkala dilihat lebih PKR daripada PKR.

Keadaan ini menggembirakan pemimpin PKR dan DAP kerana mereka tahu di dalam Pas ada kelompok yang boleh digunakan untuk mengurangkan ketegasan Pas apabila berhadapan dengan sesuatu isu.

* Semakin hilangnya rasa hormat kepada golongan ulama.

Cengkaman politik golongan ulama yang semakin longgar dalam Pas memungkinkan, kelompok tertentu semakin menunjukkan taring mereka. Biarpun Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan tetapi ia sekadar satu keputusan sahaja bukannya dipatuhi.

Pelbagai hujah mereka tampilkan untuk memastikan keputusan itu tidak menjadi satu keputusan muktamad Pas. Begitulah yang berlaku dalam perebutan kerusi MB Selangor, apabila kelompok ini bersuara lantang tetap mahukan Wan Azizah, biar pun Pas mempunyai pendirian sendiri dalam soal itu.

* Sentimen bencikan UMNO

Dalam usaha mencari sokongan dalam kalangan ahli dan penyokong Pas, kelompok ini berusaha untuk mengaitkan UMNO. Bagi mereka, langkah itu adalah 'senjata' yang paling ampuh bagi memperkecilkan kewibawaan pemimpin sendiri.

Mereka akan menuduh pemimpin kanan Pas khususnya daripada golongan ulama terlibat bersekongkol dengan UMNO dalam sesuatu perkara termasuklah dalam isu MB Selangor.

Sebenarnya, nama UMNO sengaja dikaitkan bagi menimbulkan kebencian dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas.


Mana-mana pemimpin Pas yang dilihat cuba bekerjasama dengan UMNO waima untuk kepentingan orang Melayu dan umat Islam sekali pun akan dianggap musuh kepada Pas.

Bagi kelompok ini, tidak mengapa kalau terus `dibuli' oleh PKR dan DAP, tidak mengapa kalau terus dipaksa mengikut agenda politik kedua-dua parti tetapi jangan sesekali bekerjasama dengan UMNO. Keadaan itu menampakkan seolah-olah menjalin kesepakatan dengan parti induk orang Melayu tersebut 'satu dosa' yang tidak boleh diampunkan.

Dalam soal ini seorang pemimpin Pas dikatakan mencoretkan pandangan berikut:

"Kini ada usaha bersungguh-sungguh untuk menukar corak kepimpinan Pas yang berkonsepkan kepimpinan ulama dengan dokongan profesional yang mencintai perjuangan kepada konsep kepimpinan yang lebih liberal, lebih mesra sekular serta lebih bersifat realistik dengan keadaan semasa tanpa terikat dengan dasar-dasar Islam.

"Untuk tujuan itu maka diuar-uarkan bahawa Pas di bawah pimpinan Abdul Hadi dan dokongan ulama serta profesional yang cintakan ulama bercita-cita bergabung dengan UMNO dan berusaha menyeret Pas keluar daripada pakatan. "Tujuannya ialah supaya nanti jika dilihat mereka menghentam Abdul Hadi dan ulama, maka itu adalah tindakan yang rasional dan munasabah kerana mereka cintakan Pas dan mahu kekal Pas bersama pakatan pembangkang.''


Itulah antara perkara yang memungkinkan Pas kini bukan lagi berada di ambang perpecahan sesama mereka tetapi sudah berpecah dari segi dalamannya.

Oleh itu tidak perlulah mana-mana pihak dalam Pas cuba menafikan hakikat ini. Sudah jelas tahaluf siyasi yang dibanggakan oleh parti itu selama ini tidak memberikan apa-apa keuntungan besar kepada parti tersebut.

Sebaliknya ia menyebabkan perpecahan sesama mereka akibat ketaksuban sesetengah pemimpin parti tersebut kepada kerjasama berkenaan.

Usahlah lagi bercakap soal adat berjamaah atau setia kepada pemimpin kerana bagi sesetengah pemimpin Pas semua itu sudah tidak penting.

Apa yang lebih utama kepada mereka ialah memastikan Pas tidak meninggalkan pakatan pembangkang dan segala arahan serta kehendak PKR-DAP dipenuhi.

Kesimpulannya, Pas kini bagaikan 'jong' yang berada dalam keadaan terumbang-ambing akibat perpecahan dalaman, jika ia tidak dapat diatasi percayalah Pas akan menjadi ibarat 'Jong pecah Yu kenyang'. Siapakah 'Yu' itu? Semua pemimpin Pas mengetahuinya!

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: