Sabtu, September 13, 2014

Cara Anwar mohon ampun dianggap biadab?


Ketua Umum (KETUM) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dianggap biadab kerana memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya melalui kenyataan yang disiarkan laman Facebook parti itu.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, Anwar sepatutnya hanya mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas menghadap dan memohon ampun kepada baginda.

Menurut beliau, sebagai orang Melayu, Anwar sewajarnya tahu tentang adab dan protokol bagi memohon ampun kepada raja-raja Melayu termasuk Sultan Selangor.

"Lebih dikesali, dalam kenyataan tersebut, Anwar menjelaskan PKR akan menghadap dan memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin ‘seandainya’ keputusan parti itu mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan amalan sejak 1957 menyebabkan perasaan baginda terguris.

"Tidak timbul persoalan ‘seandainya’ dalam isu ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Selangor Isnin lalu menyatakan secara jelas Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda supaya setiap parti mengemukakan lebih daripada dua nama calon untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar yang baharu," katanya di sini hari ini.


Beliau mengulas permohonan ampun kepada Sultan Sharafuddin yang dibuat oleh Anwar dan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng kelmarin bagi menjawab kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Mohamad Munir berkata, tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja iaitu Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja serta merupakan perbuatan derhaka kepada titah baginda.

Ismail Mina menambah, Anwar sebagai seorang pemimpin parti politik yang berketurunan Melayu dan beragama Islam sepatutnya bersikap lebih sensitif kepada kedudukan Sultan Selangor sebagai tonggak pemerintahan di negeri itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, pendirian DAP yang berdegil mempertahankan keputusan bersama PKR mempersembahkan satu nama sahaja untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor merupakan salah satu daripada siri provokasi yang dilancarkan parti tersebut terhadap institusi diraja.

"Walaupun Guan Eng telah memohon ampun, saya melihat tindakan itu sekadar satu kenyataan politik seperti yang lazim dilakukan pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini," jelasnya.

Ismail Mina berkata, rakyat sendiri boleh menilai keikhlasan Guan Eng dan Anwar dalam memohon ampun kepada Sultan Selangor dengan melihat kepada kaedah yang mereka gunakan untuk berbuat demikian.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: