Khamis, Jun 05, 2014

Francis Yeoh dibidas : YTL perlu telus, dedah bagaimana dapat tender IPP?


Kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corporation Bhd. (YTL), Tan Sri Dr. Francis Yeoh yang mahu Malaysia bebas daripada halangan kapitalisme kroni dan isu perkauman atau retorik agama disifatkan sebagai kenyataan orang yang bercakap besar.

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang turut melihat desakan itu sebagai angkuh serta seolah-olah tiada kesungguhan kerajaan untuk memerangi amalan rasuah dan kronisme.

Malah ujar beliau, apa yang menjadi masalah adalah terdapat syarikat gergasi yang menjadi 'duri dalam daging' kerana penghalang besar kepada usaha murni kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan integriti.

“Memang ada syarikat gergasi tidak perlu menemui Perdana Menteri untuk melobi sesuatu projek seperti yang beliau (Francis) dakwa. Tetapi apa yang berlaku ialah ada syarikat besar ini merasuah pegawai-pegawai bertanggungjawab membuat keputusan tender.

“Mereka membina empayar di kementerian tertentu dan mewujudkan mafia di dalamnya. Sebab itu YTL tak perlu cakap besar," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Francis yang berkata syarikatnya tidak mengamalkan unsur-unsur negatif sejak dulu dan buktinya 85 peratus daripada perniagaan YTL adalah di luar negara.


Dalam majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia di sini semalam, Francis dilaporkan berkata, Malaysia perlu segera bebas daripada halangan-halangan seperti kapitalisme kroni dan isu perkauman atau retorik agama jika mahu terus bersaing dan masyhur di peringkat global.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Mohd. Puad berkata, YTL mesti bersedia mendedahkan bagaimana syarikat itu mendapat tender penjana tenaga bebas (IPP) sehingga mengaut keuntungan besar jika benar mereka memperoleh projek mega menerusi merit.

Katanya, Kumpulan YTL perlu telus untuk membenarkan kerajaan menyemak semula perjanjian IPP yang dikatakan berat sebelah dan merugikan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, syarikat itu juga didesak mengamalkan cakap serupa bikin terutama dalam isu kaum seperti dibangkitkan Francis.

“Sejauh mana Kumpulan YTL bersikap adil memberi pekerjaan kepada graduan Melayu di syarikat mereka termasuk memberikan kerja-kerja kontrak kepada kontraktor Melayu," katanya.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Francis berhubung isu kapitalisme kroni di negara ini.

Exco Pergerakan itu, Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan Francis adalah sesuatu yang serius membabitkan kredibiliti banyak pihak apabila membandingkan perniagaan Malaysia dengan beberapa luar negara yang disifatkannya tidak bertolak ansur terhadap rasuah.

“Semua kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat berkenaan perlu dikaji semula untuk memastikan tiada amalan kapitalisme kroni. Jika didapati amalan itu berlaku, maka kontrak yang dianugerahkan mesti ditamatkan serta-merta," katanya.

Armand Azha berkata, Kumpulan YTL seharusnya bersyukur kerana merupakan antara penerima konsesi IPP, kontrak dan projek utama daripada kerajaan.-UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

ras abu berkata...

Inilah manusia yang tidak mengenang budi - menggigit tangan yang memberi dia makan.

Kenyataan Francis Yeoh boleh disifatkan memfitnah kerajaan dan perlu dikenakan tindakan PALING KERAS