Isnin, Jun 16, 2014

MAIS tolak keputusan Peguam Negara, enggan pulangkan Bible kepada BSM?


Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menutup kes rampasan 300 kitab Bible daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lepas.

Selain itu, MAIS juga tidak akan memulangkan kitab Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban yang dirampas daripada BSM.

Pengerusinya Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata mesyuarat khas badan itu semalam, memutuskan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap BSM.

MAIS meyakini wujudnya undang-undang di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, untuk satu pendakwaan dibuat, katanya.

``MAIS dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di Selangor amat peka dengan kegiatan dan usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencemar kesucian Islam dengan menyalahgunakan istilah atau nama-nama tertentu yang berteraskan ajaran Al-Quran bagi memudahkan kegiatan memurtadkan umat Islam.

``Alasan yang diberikan oleh Peguam Negara untuk tidak menuduh pihak yang terlibat juga dilihat boleh mengelirukan akidah umat Islam,'' katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rabu lepas, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

Abdul Gani dalam satu kenyataan berkata naskhah yang dirampas itu bukan merupakan tulisan yang diterbitkan di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada BSM.

Mohamad Adzib berkata, bagaimanapun, MAIS tidak bersetuju dengan arahan kerajaan Selangor itu dan menjelaskan ia adalah di luar bidang kuasa mereka (kerajaan Selangor).

``MAIS mendesak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk merujuk perkara ini ke mahkamah terlebih dahulu bagi mendapatkan perintah pelupusan barang kes sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah,'' katanya.

Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 kitab Bible sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988. - BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: