Rabu, Jun 04, 2014

Guan Eng juara 'salah-menyalah'?


Sikap Lim Guan Eng yang meletakkan permainan politik UMNO sebagai antara punca kekalahan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada Sabtu lalu jelas melayakkan Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan itu dinobatkan sebagai juara dalam ‘pertandingan salah-menyalah’.

Sindiran tersebut disuarakan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim susulan sikap Guan Eng yang tanpa usul periksa membuat dakwaan tidak berasas itu, khususnya kepada UMNO.

"Pernahkah kita dengar, Guan Eng tidak menuduh orang UMNO atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kalau DAP kalah? Kalau buka mulut, memang tiada lain. Permainan ‘salah-menyalah’ memang nombor satu beliau.

"Saya tak peduli apa dia nak kata tetapi kalau kita masuk pertandingan, tak kira pertandingan apa, kalah atau menang itu perkara biasa. Kalau sudah kalah, tak usahlah tuduh orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Guan Eng semalam mendakwa kekalahan DAP berpunca daripada tiga faktor iaitu kemerosotan peratusan keluar mengundi, permainan politik UMNO ketika berkempen dan calon mereka, Dyana Sofya Mohd. Daud yang merupakan muka baharu di kawasan itu.


Malah beliau mendakwa, kebanyakan pemilih yang tidak hadir untuk mengundi ialah mereka yang propembangkang dan berada di luar kawasan.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan sikap ego pemimpin pembangkang yang gagal mendengar kemahuan rakyat dikatakan menjadi punca kekalahan DAP.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menang dengan majoriti 238 undi selepas memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya, 19,919 undi.

Tunku Abdul Aziz berkata, kekalahan DAP sebenarnya terletak kepada pemimpinnya yang berterusan mengetengahkan `permainan' politik kebencian dan ini membuatkan pengundi muak dengan strategi tersebut.

"Politik sebegini sudah tiada tempat lagi. DAP sekarang pun sudah berpecah-belah, orang dalam parti sendiri pun sudah rasa benci kerana DAP kini milik Dinasti Lim dan Dinasti Karpal," ujarnya.

Mengulas isu sama, bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat memberitahu, DAP seharusnya menilai kelemahan sendiri berhubung kekalahan di Parlimen Teluk Intan dan bukannya bertindak menyalahkan pihak lain.

"Dalam DAP, pastinya ada ramai orang yang berkaliber. Tetapi, mereka letak orang yang tak faham perjuangan DAP. Seperkara lain, akar umbi sudah muak dan bosan dengan sikap pemerintahan diktator dalam DAP. Kit Siang dan Guan Eng perlu bertanggungjawab dengan kekalahan ini.

"DAP kalah, sebab bapa dan anak terlampau ego. Mereka langsung tak ingat bahawa DAP ini dibina oleh akar umbi. Sekarang akar umbi sudah tunjuk, tak balik mengundi," tambahnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: