Ahad, Februari 16, 2014

Apabila Pas terus dipermainkan?


Dalam dua tulisannya berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, seorang ulama Pas, Dr. Mohd. Abdul Rahman Kajani mengkritik keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi tersebut.

Melalui tulisan pertamanya, Dr. Mohd. Abdul Rahman mengemukakan persoalan berikut:

* Kenapa rakyat perlu mengorbankan masa dan wang mereka untuk melunaskan maksud PKR ini? Sucikah perjuangan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar?

* Adakah Abdul Khalid terbabit dengan salah laku sebagai Menteri Besar yang menjadi teras perjuangan PKR dan PR (Pakatan Rakyat)?

* Adakah Abdul Khalid gagal menerajui kerajaan negeri Selangor?

* Adakah Abdul Khalid 5 tahun dulu berjaya mengurus Selangor sehingga PR menang besar PRU-13 (Pilihan Raya Umum Ke-13), tetapi gagal lapan bulan terakhir ini selepas PRU-13?

Dr. Mohd. Abdul Rahman turut menjawab persoalan itu dengan berkata, ''Sebenarnya tidak. Abdul Khalid tidak gagal. Tetapi yang gagal ialah sebahagian kepimpinan PKR yang gagal mendapat apa yang mereka mahukan daripada Abdul Khalid.

''Abdul Khalid di mata rakyat telah berjaya mentadbir Selangor. Kerana itu rakyat memberi mandat kali kedua kepada PR untuk mentadbir Selangor. Abdul Khalid dilihat sangat berhati-hati dengan pengurusan kewangan negeri. Ketelusan pentadbiran kewangan beliau tidak dipertikaikan dan gagal digugat oleh UMNO/BN."

Dalam tulisan keduanya bertajuk, ''Projek Kajang bakal meranapkan kejayaan PR.' Dr. Mohd. Abdul Rahman berhujah;''Projek Kajang digerakkan oleh Anwar Ibrahim dengan matlamat menjatuhkan Khalid sebagai MB.

''Walaupun pelbagai alasan dan hujah direka oleh Rafizi Ramli bagi mewajarkan PRK Kajang hakikatnya tetap satu iaitu menurunkan Abdul Khalid daripada jawatan MB Selangor.''

''Rafizi boleh berhujah kononnya "gerak kajang penentu kejayaan menawan Putrajaya" tapi hakikatnya ialah pintu kepada kemusnahan PR dan hancurnya impian PR ke Putrajaya."


Persoalannya, apakah yang dinyatakan oleh Dr. Mohd. Abdul Rahman dikongsi oleh kepimpinan Pas yang sudah pun membuat keputusan untuk membantu PKR dalam PRK tersebut? Kenapa Pas sejak mengadakan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP terus dilihat sekadar 'pak turut' sehingga ia memberikan keberanian luar biasa kepada kedua-dua parti itu untuk membuat percaturan politik?

Hakikatnya ini bukanlah kali pertama Pas tidak dibawa berunding dalam sebarang percaturan politik yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu, sudah acap kali tetapi ia masih belum menyedarkan kepimpinan Pas biar pun ada tekanan dalam parti itu sendiri yang mahu tahaluf siyasi dikaji semula.

Pas terlalu ghairah untuk terus bersama pakatan pembangkang bagi menawan Putrajaya sehinggakan apa sahaja yang dilakukan oleh PKR atau DAP, Pas hanya ikut sahaja. Di manakah jati diri Pas sebagai parti Islam? Sepatutnya kalau Pas benar-benar memperjuangkan Islam mereka hanya akan mengikut rentak politik PKR dan DAP kalau tindakan itu betul.

Tetapi apa yang kita saksikan Pas hanya berperanan sebagai 'pak turut', sebab itulah PKR dan DAP tidak pernah mempedulikan pandangan Pas. Begitulah juga untuk PRK Kajang, PKR yakin Pas bukan sahaja bersetuju dengan tindakan PKR tetapi juga akan mengerahkan jentera dan penyokongnya memastikan kemenangan Anwar.

Biar pun sebelum ini keputusan yang dibuat oleh PKR sama sekali tidak dirunding terlebih dahulu dengan Pas, tetapi Pas akur kononnya atas semangat pakatan pembangkang. Oleh itu adalah satu mimpi kalau kita mengharapkan Pas akan menentang jika Abdul Khalid disingkirkan daripada kerusi Menteri Besar. Sudah terbukti keberanian Pas bertempat, kelantangan Pas terhad.

Kalau dengan BN atau UMNO, Pas paling lantang sehingga di Kedah, majlis selawat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan dihadiri oleh berpuluh-puluh ribu orang diperlekehkan oleh salah seorang pemimpin Pas negeri itu dengan menganggap ia retorik politik, sedangkan Pas sendiri tidak pernah mengadakan majlis seumpama itu.

Tetapi apakah pemimpin-pemimpin Pas mempunyai keberanian untuk menyanggah politik kotor PKR di Kajang? Apakah tindakan PKR itu selaras dengan ajaran Islam apabila amanah rakyat dikhianati dan janji kepada rakyat dimungkiri? Kalau berani sangat kritiklah tindakan Anwar dan PKR? Namun itu tidak berlaku kerana sudah adat kepimpinan Pas hanya berani menentang BN dan UMNO tetapi kecut perut bila berhadapan dengan PKR dan DAP.


Selain itu dalam satu majlis di Kajang, seorang pemimpin Pas bukan sahaja memperlekehkan slogan ketuanan Melayu dan 'Hidup Melayu' tetapi juga mempersoalkan sampai bilakah Melayu hendak menolak meritokrasi dan sampai bila orang Melayu harus berlindung di sebalik keistimewaan.

Begitulah wajah sebahagian pemimpin Pas yang terikut-ikut dengan perangai sesumpah sesetengah pemimpin PKR sehingga sanggup memperlekehkan bangsa sendiri semata-mata untuk memastikan kemenangan PKR di Kajang.

Politik kebencian dan melihat BN khususnya UMNO sebagai 'musuh kamu yang paling nyata' telah menyebabkan Pas semakin terhakis maruahnya bukan sahaja sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tetapi sebuah parti yang suatu ketika dahulu dikagumi oleh kawan dan lawan.

Berikutan keadaan itulah, Pas diperkotak-katikkan oleh PKR, dipermainkan oleh DAP dan kedua-dua parti itu berasa gembira kerana apa pun mereka lakukan Pas akan menyokong dan penyokong mereka akan mengikut arahan kepimpinan untuk terus bersama pakatan pembangkang.

'Kelemahan' Pas ialah apabila Anwar terus mencadangkan impian ke Putrajaya sehinggakan pengikut-pengikut juga menjadi teruja. 'Putrajaya' seolah-olah 'magic word' yang melemahkan Pas untuk menentang apa juga kehendak PKR dan DAP.

Sebab itulah biarpun dari segi moral politiknya, PKR tidak patut membenarkan PRK Kajang diadakan tetapi Pas hanya membantah seketika, kemudian terus akur apabila Anwar menyatakan Kajang penting dalam usaha pakatan pembangkang mengaturkan langkah Ke Putrajaya.

Secara logiknya, apa kena mengena DUN Kajang dengan Putrajaya, kenapakah semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, PKR tidak menyusun sejak awal lagi hendak menjadikan Selangor sebagai perintis ke Putrajaya? Atau kenapa ketika itu Anwar tidak memilih kerusi Parlimen Putrajaya untuk beliau bertanding supaya ia benar-benar dilihat sebagai pembuka jalan?

Fakta ini tidak pernah difikirkan oleh Pas dan mungkin kalau pun terfikir mereka tidak akan mengendahkannya. Oleh itu timbul persoalan bilakah Pas akan sedar bahawa mereka hanya menjadi 'alat' dan 'pak turut' dalam pakatan pembangkang?

Sebab itulah muncul insan-insan seperti Dr. Mohd. Abdul Rahman yang bersedia memberi pandangan dan kritikan kerana mungkin beliau sudah bosan dengan permainan politik PKR, mual dengan sandiwara politik DAP dan muak apabila Pas terus dipermainkan!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: