Ahad, September 09, 2012

Nasib perjuangan Nasharudin bersama PAS akan ditentukan hari ini?



Hari ini(Ahad) arena politik negara sudah pasti tertumpu kepada nasib Nasharudin Mat Isa yang akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Majlis berkenaan akan bermesyuarat pada sebelah malam manakala pada sebelah pagi Jawatankuasa Pas pusat akan bermesyuarat terlebih dahulu.

Bagaimanapun memandangkan Nasharudin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas bukan Ahli Jawatankuasa Pas pusat atau berada dalam Lajnah Politik maka mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Nasib Nasharudin perlu diserahkan kepada ahli Majlis Syura.

Ini memandangkan kedudukan Majlis Syura lebih tinggi berbanding Jawatankuasa Pas pusat dan Lajnah politik.

Namun begitu ini tidak bermaksud puak-puak Anwarinas yang berada dalam kedua-dua badan berkenaan tidak boleh berbuat apa-apa, mereka hakikatnya sedang giat berusaha di saat-saat akhir untuk memastikan matlamat mereka melihat Nasharudin dipecat menjadi kenyataan.

Difahamkan seorang pemimpin kanan Pas dikatakan akan membawa usul dalam mesyuarat Majlis Syura untuk memecat Nasharudin selepas mendapat desakan daripada 'pihak luar' yang mahu karier politik Nasharudin ditamatkan.

''Pembentangan usul ini akan menjadi ujian terbesar kepada ulama-ulama dalam Majlis Syura sama ada akan menyokong usul berkenaan atau menolak,'' kata satu sumber dalaman parti itu ketika dihubungi.

Sememangnya hari ini adalah ujian terbesar kepada ulama Pas untuk membuktikan ketulenan perjuangan Islam mereka.

Menurut pemimpin Pas berkenaan, apa juga keputusan yang dibuat ke atas Nasharudin ia bukan soal nasib politik seorang ulama tetapi sejauh manakah keberanian dan kewibawaan para ulama dalam Majlis Syura mempertahankan kebenaran.

Para ulama perlu memahami bahawa sejak awal lagi isu Nasharudin ini timbul, puak Anwarinas begitu agresif mahukan beliau dipecat.

Mereka melihat tindakan Nasharudin yang meminta Pas mengkaji semula kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang adalah satu 'pencabulan' kepada kesetiaan mereka dalam hubungan mereka dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Selama ini puak berkenaan begitu yakin bahawa tiada mana-mana ulama yang akan berani berbuat demikian memandangkan melalui penguasaan dalam pemilihan parti yang lalu, suara ulama seolah-olah berjaya ditenggelamkan.

Malahan mereka lega apabila Datuk Dr. Hasan Ali dipecat daripada parti apabila beliau mempertahankan perjuangan Pas dan agama Islam.

Sebab itulah apabila Nasharudin bersuara lantang maka mereka beranggapan masih ada saki baki ulama yang harus dicantas supaya impian mereka untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP tidak tergugat.


Ketika ditanya apakah ulama akan mampu mempertahankan Nasharudin dalam mesyuarat majlis syura tersebut, sumber yang rapat dengan golongan ulama Pas memberitahu, ''Insya-Allah, setakat ini sokongan kepada Nasharudin semakin bertambah, ada antara mereka yang sudah bertemu dengan beliau dan meminta Nasharudin meneruskan perjuangan biar pun apa juga berlaku.''

Menurut sumber tersebut, dalam satu pertemuan yang turut dihadiri oleh ahli Dewan Ulama dan Dewan Pemuda, beberapa pemimpin yang dikategorikan oleh ahli Pas daripada golongan Anwarinas telah membentangkan hujah kenapa Nasharudin perlu dipecat.

''Bagaimanapun pemimpin-pemimpin dari Dewan Ulama dan Dewan Pemuda menyanggah pendapat berkenaan, mereka menyatakan tidak ada apa salahnya apabila Nasharudin sekadar memberi pandangan mengenai kedudukan Pas dalam pakatan.

''Tambahan pula kedua-dua dewan itu sepakat bahawa apa pun berlaku dan tidak kira dengan siapa pun Pas berkawan, matlamat memperjuangkan negara Islam dan hukum hudud tetap perlu dipertahankan.

''Kenyataan tegas itu menyebabkan puak-puak Anwarinas terdiam dan mereka merasakan bahawa laluan untuk memecat Nasharudin tidaklah semudah yang disangkakan,'' kata sumber itu lagi.

Selain itu, penulis diberitahu, berikutan apa yang berlaku kepada Dr. Hasan sebelum ini, penyokong-penyokong pro ulama dalam Pas tidak mahu ia berulang ke atas Nasharudin.

Mereka mahu anggota Majlis Syura mempertahankan Nasharudin habis-habisan kerana bagi mereka jika Nasharudin tersingkir daripada Pas maka ia akan menjadi petanda awal bahawa selepas ini tiada siapa lagi dalam kalangan ulama yang akan dihormati apatah lagi digeruni oleh puak-puak Anwarinas.

''Sebab itulah sikap konsisten Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang mempertahankan Nasharudin dianggap azimat kepada golongan pro ulama.

''Mereka melihat ketegasan itu sebagai amaran kepada puak-puak Anwarinas bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya hendak menyingkirkan mana-mana ulama yang tidak sehaluan dengan mereka,'' kata sumber itu lagi.

Apa pun tumpuan diberikan sekarang ialah apa yang hendak diputuskan oleh Majlis Syura Pas yang pada pandangan Dr. Haron, kenyataan Nasharudin bukan isu besar yang harus menjadi agenda utama mesyuarat berkenaan.

Kenyataan Dr. Haron itu sememangnya tepat kerana sejak awal lagi ramai berpendapat apa salah Nasharudin sehingga beliau perlu diadili di Majlis Syura.

Nasharudin hanya memberi pandangan supaya Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan selepas melihat parti itu lebih banyak rugi daripada untungnya dan berada bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah bukanlah satu dosa atau pelanggaran peraturan parti.

Kalau dua perkara ini dianggap salah maka selepas ini Pas seharusnya membuat ketetapan dengan meminta seluruh ahlinya membuat dua baiah, pertama, tidak boleh menyentuh atau mengkritik apa-apa juga perkara berkaitan hubungan Pas dengan PKR dan DAP.

Tidak kira apa pun yang kedua-dua parti itu lakukan ke atas Pas, pemimpin dan ahli Pas 'diharamkan' mencadangkan supaya parti mereka keluar daripada pakatan.

Baiah kedua ialah berjanji dan berikrar bahawa mereka sama sekali tidak akan dan tidak boleh bekerjasama, bergambar atau berhubung hatta atas semangat Islam sekali pun dengan mana-mana pemimpin-pemimpin UMNO.

Mungkin kedua-dua baiah ini nampak lucu tetapi ia akan menjadi kenyataan dan harus dilakukan oleh Pas jika mereka memutuskan untuk memecat Nasharudin yang seolah-olah melakukan 'dosa besar' apabila menyentuh isu hubungan Pas dalam pakatan dan bergambar bersama pemimpin UMNO.

Sememangnya, kes Nasharudin adalah cabaran kepada golongan ulama dalam Pas kerana keputusan yang bakal mereka lakukan ke atas bekas Timbalan Presiden itu akan menentukan sama ada ulama masih ada kuasa atau sekadar 'penghias organisasi'.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: