Sabtu, September 15, 2012

Nasha enggan minta maaf kepada Karpal?



Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau tidak akan sesekali memohon maaf kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Malah katanya, beliau juga tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuat sebelum ini berhubung gesaan supaya Pas mengkaji semula kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang serta pelaksanaan hukum hudud yang menimbulkan rasa kurang senang Karpal.

"Saya baca kenyataan beliau dalam sebuah akhbar dan saya juga telah sebutkan sebelum ini, saya bersedia bertemu beliau di mahkamah," katanya seperti disiarkan Buletin Utama, TV3 baru-baru ini.

Nasharudin ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Kaherah, Mesir bagi menghadiri Forum Antarabangsa Ahli Parlimen Islam selama 10 hari.

Kontroversi antara Nasharudin dan Karpal berhubung isu tersebut sebelum ini meletakkan masa depan Ahli Parlimen Bachok itu dalam tanda-tanya apabila dikatakan bakal dikenakan tindakan pada Mesyuarat Dewan Syura Ulama Pas pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Nasharudin terlepas daripada sebarang tindakan iaitu keputusan yang dikatakan mengecewakan kumpulan Anwarinas di dalam Pas.

Mengulas lanjut, kata Nasharudin, beliau akan terus bercakap dan memperjuangkan apa yang menjadi pendirian Pas selama ini meskipun menerima tekanan daripada rakan-rakan di dalam Pas sendiri.

"Pendirian saya kekal bahawa ini bukan agenda peribadi saya atau Pas, tetapi ini merupakan satu tuntutan Islam itu sendiri yang merupakan sebahagian daripada kesempurnaan ajaran syariah.

"Saya tidak menafikan memang terdapat kesukaran dalam pelaksanaan hudud sebagai satu sistem perundangan, tetapi kesukaran pelaksanaan sebagai sistem perundangan itu tidak pula boleh kita nafikan aspek-aspek substantif daripada undang-undang tersebut," katanya.

Menyentuh mengenai spekulasi beliau tidak akan menghadiri Mesyuarat Dewan Syura Ulama Pas itu supaya tindakan lain boleh dikenakan kepadanya, Nasharudin berkata: "Apa yang diputuskan mesyuarat itu adalah satu lagi bukti yang mengiyakan pendirian saya selama ini bahawa saya masih bersama Pas dan masih merupakan ahli Majlis Syura Dewan Ulama Pas dan insya-Allah keputusan itu membuktikan apa yang telah saya sebutkan sebelum daripada ini walaupun terdapat pelbagai spekulasi".

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Mordechai Kuchai berkata...

Kalau Nasha tersenggol atau terlanggar kerusi roda Karpal Singh memang kita pun gesa Nasha minta maaf kerana ugama mengusulkan.

Tapi kalau atas nama membela ugama Nasha perlu minta maaf. Berat tanggungannya kerana Nasha bukan orang biasa. Beliau di satu kedudukan yang beliau boleh mengubahnya sedangkan beliau nampak jelas kebenaran ugama yang menjadi tanggungjawabnya dan setiap muslim.