Khamis, November 24, 2011

Sultan Selangor Tegur Aziz Bari!

















Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita berhubung kenyataan Prof Dr Abdul Aziz Bari, yang mengatakan akaun Majlis Agama Islam (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak diaudit.

Baginda bertitah kenyataan pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah tidak tepat.

Tuanku turut menasihatkan Aziz agar tidak membuat sebarang kenyataan kerana ia mengundang kekeliruan dan keresahan di kalangan rakyat terhadap integriti MAIS dan Lembaga Zakat Selangor.

Titah baginda, Aziz perlu mendapatkan fakta yang tepat dan betul sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Beta sangat dukacita apabila dimaklumkan terdapat satu laporan yang menyatakan bahawa Prof Aziz ada membuat kenyataan bahawa akaun MAIS dan LZS tidak diaudit dan bebas daripada diaudit.

“Kenyataan beliau ini adalah tidak tepat kerana Beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan akaun LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit oleh Jabatan Audit negara pada tahun-tahun akan datang.

Integriti MAIS

“Beta harap Prof Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul,” titah baginda.

Baginda menyampaikan titah berkenaan ketika merasmikan Wisma Audit Negeri Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) lain.

Aziz dalam laporan media 11 November lalu dilaporkan berkata, Sultan Selangor telah melampaui kuasa dengan menitahkan Adun untuk meluluskan rang undang-undang tanpa dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu.

Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Selangor semua Adun meluluskan pindaan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 yang membolehkan MAIS mengelak dari diaudit oleh jawatankuasa audit awam.

Aziz yang juga seorang pakar perlembagaan berkata, perlembagaan tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Sultan.

Beliau merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan – Perkara 3 (2) dan Seksyen 1 (2) (d) Jadual Kelapan – dengan jelas menyatakan bahawa walaupun Sultan mempunyai kuasa budi bicara dalam hal Ehwal Islam dan Agama Melayu, namun ia tidak menyentuh aspek perundangan.

MAIS bidas laporan

Sementara itu, Selasa lalu MAIS menjelaskan dakwaan bahawa laporan kewangan tahunan tidak perlu diaudit adalah tidak tepat.

Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata laporan kewangan tahunan MAIS disatukan telah disediakan dan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara setiap tahun dan MAIS dari 1997 hingga 2010 telah mendapat pengiktirafan sijil bersih melalui Sijil Ketua Audit Negara.

Beliau merujuk kepada laporan berita FMT berkenaan pindaan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011.

Pada 10 November, FMT melaporkan bahawa pindaan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 membolehkan MAIS mengelak dari diaudit oleh jawatankuasa audit awam. - AIDC

Suara politik
Taminsari

Tiada ulasan: