Selasa, Oktober 05, 2010

Isu Air: Keperluan rakyat atau komoditi politik?

Berapa liter air yang kita perlukan sehari? Idealnya mengikut ukuran di Asia Tenggara ialah 80 liter termasuk 3 liter untuk diminum bagi mengekalkan kelangsungan kualiti hidup yang ada sekarang.

Tetapi hakikatnya secara purata rakyat Malaysia menggunakan 226 liter air sehari. Berbanding rakyat Singapura yang kita tahu sangat sensitif dengan penggunaan air menggunakan 155 liter manakala Thailand 90 liter sehari.

Ini antara dapatan daripada kaji selidik Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang dilakukan sejak 2007.

Ada banyak alasan mengapa rakyat Malaysia menggunakan air sebanyak itu. Jika cuaca dijadikan faktor, apa bezanya dengan Singapura dan Thailand?

Jika rakyat Malaysia pembersih, apa kurangnya rakyat di dua negara jiran itu. Alasan paling hampir ialah kita mewah air. Air bersih senang diperolehi dan harganya pula murah.

Dan menurut kajian itu juga, rakyat Malaysia didapati sukar untuk mengubah tabiat membazir air. Menyiram pokok pun dengan air dirawat. Air bilasan pakaian dibuang begitu sahaja.

Bagaimana untuk mengubah tabiat membazir air ini? Kita pun tidak lagi peduli dengan kempen kesedaran berjimat air. Mesej-mesej yang terus berkumandang ibarat menuang air ke daun keladi.

Entah berapa kali Lembah Klang diancam kemarau dengan loji serta empangan air hampir kontang. Ramai tak mengambil iktibar apabila air terpaksa dicatu dan beratur panjang bagi mendapatkan bekalan yang dihantar melalui lori tangki. Kesedaran berjimat air tak ubah seperti fenomena El Nino yang datang dan pergi.

Apa yang diutamakan - menjadikan air sebagai komoditi politik!

Selangor yang kini seperti mengeluh kerana terpaksa membelanjakan lebih RM12 juta sebulan sebagai menunaikan janji pilihan raya membekalkan air percuma, mahu menguasai pula industri air di Lembah Klang.

Air percuma bagi 20 merter padu yang bernilai RM11.40 ini pun dijaja keliling kampung sebagai simbol kerajaan berjiwa rakyat. Memang ia bagus, siapa yang tidak mahu benda percuma.

Tetapi anehnya, apabila ada pihak mahu menggunakan wang air percuma itu untuk membantu pengguna yang mengalami bil tertunggak, kerajaan negeri menyifatkannya sebagai merampas hak rakyat pula.

Apa salahnya, jika kakitangan Syabas, syarikat konsesi bekalan air bersih Selangor yang merasakan diri mereka mampu, membantu rakyat miskin yang terbeban dengan bil air.

Lagi pun bukan semua rakyat Selangor menikmati air percuma itu yang dimulakan sejak 1 Jun 2008. Terdapat ribuan penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal terpaksa berputih mata dengan imbuhan RM11.40 sebulan itu.

Sepatutnya langkah membantu rakyat iaitu golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan disokong. Tetapi itulah kerana kepentingan politik yang tidak memihak kepada mereka, usaha membantu rakyat seperti itu dimusuhi.

Kerajaan negeri, dengan segala alasan mengelirukan bukan sahaja memusuhi syarikat konsesi tetapi juga Kerajaan Persekutuan. Kroni, rasuah dan salah guna kuasa yang disimpulkan sebagai merampas hak rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan usaha menguasai industri air Selangor.

Benarkah? Jika bekalan air di bawah penguasaan kerajaan negeri dapat menjamin hak rakyat (dengan tarif yang rendah), mengapa hak itu tidak dipertahankan di Kedah dan Pulau Pinang?

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperkenalkan surcaj pemuliharaan air (WCS) mulai 1 November ini. Kadar barunya ialah 24 sen satu meter padu bagi air yang digunakan melebihi daripada peruntukan 35 meter padu sebulan.

Di Kedah, Jabatan Bekalan Air Kedah yang diswastakan oleh kerajaan Pas di bawah Syarikat Bekalan Air Kedah (SADA) telah menaikkan tarif sebanyak 27 peratus.

Alasan kerajaan negeri Pulau Pinang ialah menggalakkan penggunaan sumber air secara bijak dan mengekang pembaziran kerana hanya pengguna yang menggunakan air berlebihan sahaja terlibat.

Alasan Kedah pula ialah bagi membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Pusat sebanyak RM1.7 bilion yang dibuat sejak beberapa tahun lalu, selain bagi menampung kos rawatan air yang meningkat.

Cuba analisis alasan mereka. Yang di Pulau Pinang memperkenalkan surcaj bagi mendidik pengguna berjimat air. Maknanya, tarif dinaikkan supaya pengguna berjimat cermat. Yang di Kedah, untuk membayar hutang kepada Kerajaan Persekutuan.

Tetapi sebaliknya rakan pakatan pembangkang di Selangor enggan berkompromi dengan penstrukturan semula industri air. Mereka tidak peduli hutang yang ditanggung oleh syarikat konsesi.

Pemimpin mereka lebih selesa menyalahkan syarikat konsesi dan Kerajaan Pusat. Malah amaran krisis bekalan air pada 2014 yang bakal menjejaskan kehidupan penduduk Lembah Klang diperlekehkan. Kerajaan negeri nampak cukup yakin dengan memberi unjuran krisis itu hanya akan tiba pada 2019 - sembilan tahun lagi.

Sekadar bertanya soalan, apa agaknya tindakan kerajaan negeri Selangor jika pembekal air di negeri itu adalah milik kerajaan negeri seperti PBAPP dan SADA? Mungkin sahaja tarif air akan dinaikkan dengan alasan 'mendidik rakyat berjimat cermat dan membayar hutang'.

Memang kita semua tidak suka dengan sebarang kenaikan terutama semasa kos hidup yang belum stabil. Tetapi kita juga berdepan dengan realiti untuk membayar kos bagi memastikan kehidupan masa depan yang lebih baik dan berkualiti.

Jadi, janganlah berterusan menjadikan air sebagai alat politik. Cukuplah semasa kempen pilihan raya lalu. Berundinglah dan bertolak-ansur demi kesejahteraan lebih 3 juta penduduk Lembah Klang.

Yang juga penting, kerajaan negeri harus mengambil inisiatif berkesan untuk mendidik pengguna supaya mengubah tabiat membazir air. Selangor tidak selama-lamanya akan dianugerahkan dengan sumber air yang mewah. Jangan jadi seperti pasir, tersilap unjuran! - UM

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Unknown berkata...

Salam, masalahnya perkara air yang nak diusahakan, TAK MASYUKKKKKK POKET PEMIMPIN.

wasabi berkata...

Kerajaan Persekutuan menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) untuk bekalan air di Lembah Klang, masih tidak dapat diselesaikan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, ini kerana pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat itu sepatutnya bermula Ogos lepas.

“Pembinaan sepatutnya bermula pada Ogos, namun sebelum ini saya berkata bahawa kami mahu Selangor selesa dengan keadaan.

"Namun sebaliknya, kami juga berunding dengan penasihat undang-undang mengenai pilihan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri kementerian itu di Suruhanjaya Tenaga, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status projek Langat 2 yang sepatutnya bermula Ogos lepas.

Pada 5 Ogos lepas, Chin memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada kerajaan negeri Selangor untuk memberi persetujuan terhadap pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk bekalan di Lembah Klang.