Khamis, Mei 06, 2010

PAS Punah : Sindrom penafian PAS!

Sindrom penafian seakan-akan sudah sinonim dengan Pas. Ada saja isu-isu yang timbul membabitkan parti politik itu akan segera dinafikan sama ada oleh pemimpin-pemimpin Pas sendiri mahupun oleh akhbar dan media rasmi parti tersebut hatta penulis-penulis blog yang pro kepadanya.

Rentetan beberapa isu di bawah ini menunjukkan bahawa sindrom penafian itu memang wujud di dalam Pas.

Isu 1: Krisis kepimpinan

Krisis yang mula berputik semasa proses pemilihan Muktamar Pas yang lalu bilamana wujudnya ‘dua kem’ yang satunya didokong dan direstui oleh Presiden manakala satu lagi dilihat lebih cenderung kepada Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertembungan antara calon pro-Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Salahudin Ayub dengan ‘anak didik’ kepada Nik Aziz dan Datuk Husam Musa yang menyaksikan calon pro-Presiden itu menang jawatan yang ditandingi, sedikit sebanyak telah memberi gambaran kepada umum bahawa Pas telah diresapi krisis kepimpinan. Sungguhpun begitu, ia segera dinafikan oleh pemimpin Pas yang mengatakan bahawa mereka mengamalkan konsep musyawarah di dalam sebarang tindakan dan kalah atau menang dalam sesuatu proses pemilihan merupakan perkara biasa di dalam amalan demokrasi.

Sindrom penafian pernah digunakan oleh Pas di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Manek Urai yang lalu apabila telah menafikan wujudnya ‘krisis’ antara Nik Aziz dan Nasharuddin walaupun umum melihat seolah-olah Nasharuddin ‘dihalang’ datang dan berkempen semasa PRK tersebut.

Namun pada saat akhir, Nasharuddin dibenarkan datang dan gambarnya bersama Nik Aziz sedang makan bersama disebarkan untuk menyakinkan pengundi di kawasan tersebut bahawa tiada ‘krisis’ antara keduaduanya. Tenyata taktik itu berjaya menguntungkan Pas yang menang tipis dengan majoriti 65 undi sahaja.

Isu 2: Kerajaan Perpaduan

Isu kerajaan perpaduan dipeloporkan sendiri oleh pemimpin Pas menjelang Muktamarnya yang lalu. Umum melihat isu itu menyebabkan berlaku pertembungan idea antara kumpulan yang inginkan kepada kepentingan perpaduan demi Melayu-Islam, manakala di satu pihak lagi berharap ia tidak direalisasikan demi kepentingan parti dan politik yang sempit meskipun pada masa yang sama, Presiden dan Timbalan Presiden UMNO melalui kenyataan yang disiarkan oleh akhbar amat mengalu-alukan, malah ‘menghulur tangan’ demi kerajaan perpaduan yang dilihat mampu memulihkan perpaduan orang Melayu dan Islam serta mengekalkan konsep Ketuanan Melayu.

Apabila berlaku perbezaan pendapat di dalam kepimpinan Pas, maka sindrom penafian ini sekali lagi digunakan dengan menuduh UMNO yang mengutarakan isu kerajaan perpaduan itu untuk kembali mendapat sokongan orang Melayu.

Isu 3: Muktamar Agung Khas

Muktamar Agung Khas (EGM) yang dicadangkan oleh Nik Aziz bagi ‘membersihkan’ pemimpin-pemimpin yang pro kepada isu kerajaan perpaduan seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar, sekiranya tidak dilakukan, ia mungkin akan menyebabkan parti Pas berpecah. EGM pula digunakan untuk mendapat pandangan ahli terutamanya perwakilan bagi mendapat keputusan sama ada menerima atau menolak kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Bagi menutup isu itu, sekali lagi sindrom penafian digunakan. Pendokong Pas mengatakan isu EGM yang ditulis di dalam blog Nik Aziz (http://www.blogtokguru.com) bukan hasil tulisan Nik Aziz sendiri tetapi orang lain yang menulisnya.

Isu 4: Peletakan jawatan Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK

Umum telah mengetahui kemelut dalaman yang melanda Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang pada ketika itu diterajui oleh Abdul Ariffahmi selaku CEO yang juga menantu kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Peletakan jawatan itu dilihat oleh Pas sebagai satu keputusan yang berintegriti seperti mana laporan di dalam Harakahdaily, bertarikh 24 November 2009 bertajuk ‘Keputusan Nik Aziz bukti ketinggian integriti dan moral’ yang memetik kenyataan Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub dalam satu sidang media bersama Nik Aziz. Pas yakin dengan tindakan Nik Aziz mengarahkan peletakan jawatan Ariffahmi itu bukan untuk kepentingan beliau dan keluarga, sebaliknya mengutamakan masa depan dan perjuangan parti dan beliau amat menyanjung tinggi integriti yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu.

Isu 5: Pendedahan Kickdefella

Terkini, isu peruntukan RM4 juta dana yang disalurkan melalui Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) di dalam operasi gerak saraf (OGS) bertujuan memburuk-burukkan dan melemahkan imej mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan pusat. Ia juga ditulis untuk mengekalkan kerajaan Pas di Kelantan oleh penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang juga bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK. Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak.

Dan seperti mana isu-isu terdahulu, Pas telah secara rasmi menafikan parti itu terlibat melalui kenyataan akhbar yang dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali yang mengatakan pucuk pimpinan Pas tidak tahu menahu mengenai kewujudan syarikat perunding media, GMC.

Selanjutnya beliau berkata, Pas tidak ada kena mengena dengan pendedahan oleh Syed Azidi dan bukanlah agenda Pas untuk menjatuhkan individu serta memburukkan pemimpin. Kewujudan GMC hanya diketahui selepas pendedahan oleh Syed Azidi.

Menurut Mustafa, tugas Pas adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan UMNO melalui kaedah demokratik (pilihan raya), bukannya dengan cara menjatuhkan pemimpin tertentu.

Sebaliknya, Syed Azidi mendakwa seperti mana yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 5 Mei 2010 dengan mengatakan penafian Pas mengenai kewujudan GMC adalah untuk melindungi lima individu yang menjadi penyumbang dana sebanyak RM4 juta bagi menjalankan operasi gerak saraf itu. Di dalam akhbar itu juga dinyatakan, beliau yakin Mustafa mengetahui soal GMC kerana beliau pernah merasmikan seminar mengenai media di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur pada 2007 bagi mewakili GMC.

Sehingga kini, siasatan telah dan sedang dilakukan oleh SPRM. Sekiranya pendedahan oleh Syed Azidi itu tidak benar, seharusnya Pas mengambil tindakan mahkamah terhadap penulis blog itu bagi membersihkan imej parti itu.

Apapun, pada hakikatnya, Pas adalah juga sebuah parti politik yang mempunyai matlamat yang sama dengan lain-lain parti politik untuk memenangi pilihan raya dan berusaha membentuk kerajaan.

Daripada sekelumit isu yang dinyatakan di atas, tidak mustahil ia berlaku di dalam sebuah parti politik, tetapi demi survival parti, Pas sering mengamalkan sindrom penafian semata-mata untuk mengaburi rakyat dan berselindung di balik nama Pas itu sendiri. Rakyat seharusnya bijak menilai yang mana kaca dan mana pula permata!-SBUM.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: