Selasa, Ogos 11, 2009

Adakah DAP Parti Pelbagai Kaum?

Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?

Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.

Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya.
Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Persepsi

Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu. Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi. Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.

Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi. Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa.

Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum. Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.

Suara Politik
Taminsari

7 ulasan:

Tok Pambu berkata...

Calun PAS dari PR P Pinang akan melalui jalan mudah untuk memenangai PRK di N11 Permatang Pasir.

Undi tetap untuk PAS sudah sedia ada dari kaum cina dan india sebanyak 27.55%, kini calun PAS cuma memerlukan undi kaum melayu sebanyak lebih kurang 30% sahaja pun sudah cukup untuk menang.

Kemenangan sudah pasti kepada PR, sepatutnya untuk menjimatkan wang negara, UMNO tidak perlu bertanding - sudah tentu pasti kalah.

Sekarang, walau dimana sahaja di adakan PRK tentu BN akan kalah.

torashah berkata...

Salam...

Penghinaan DAP terhadap Islam sudah melampau.

DAP begitu celupar, bongkak dan biadap sekali bukan sahaja kepada umat Islam di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

Tidak cukup dengan tindakan seorang Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu yang campur tangan dan mempertikaikan kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras di Seksyen 8 Shah Alam dan tindakan Jeff Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai eskstremis, seorang lagi pemimpin kanan DAP, Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Kebangsaan Parti (DAPSY) yang juga Ahli Parlimen Rasah menggunakan perkataan lucah dan amat jijik sekali ke atas agama Islam.

Dalam pertikaian Siew Fook dengan pendakwah Islam Dr. Mohd. Ridhuan berkaitan soal anak luar nikah, beliau menulis dalam blognya http:sjsandteam.wordpress.com: "Has everything be reduced to your fucking religion."

Agama yang dimaksudkan itu ialah agama Islam. Saya tidak pasti berapa ramai umat Islam di negara ini termasuk pemimpin-pemimpin parti yang beragama Islam sedar akan kenyataan biadap dan bongkak Siew Fook ini.

Mengapa pemimpin-pemimpin DAP menjadikan agama Islam sebagai sasaran mereka? Adakah mereka bertujuan untuk berkonfrantasi dan mahu menguji tahap kesabaran umat Islam?

Apakah tujuan Siew Fook menyerang agama Islam begitu biadap sekali? Adakah beliau sengaja mahu membakar perasaan umat Islam di negara ini?

Adakah ini contoh tatasusila seorang Yang Berhormat dan kalau inilah sikap pemimpin-pemimpin DAP, tidak hairan kalau mereka menjadikan persidangan Parlimen sebagai gelanggang sarkis.

Kebongkakan pemimpin-pemimpin DAP telah sampai ke tahap bahawa mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat. Pihak yang tidak senada dengan mereka dimusuhi dan diserang dengan tuduhan liar menggunakan bahasa yang tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan adat timur.

DAP, khususnya pemimpin-pemimpin kanan mereka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hendaklah meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini dan menarik balik serangan mereka ke atas syariah Islam.

Jika mereka gagal, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah mengambil tindakan undang-undang ke atas kebiadapan Siew Fook yang menyerang agama Islam di dalam blognya.

Jangan sekadar memberi amaran sahaja. Bukan Islam perlu menunjukkan sikap bertoleransi sebagai mana sikap toleransi umat Islam kepada bukan Islam.

Bangunlah umat Islam tanpa mengira perbezaan politik, keturunan dan kaum untuk menggemblengkan tenaga membantah kebiadapan DAP terhadap syariah Islam.

Ingat salah satu wasiat Raja Melayu: "Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan." Pertahankanlah kesucian syariah Islam.

torashah berkata...

Salam...

Jeff Ooi tidak ikhlas selesai kemelut..

Keengganan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memohon maaf atas kenyataan biadab beliau yang menghina Islam, jelas menunjukkan wakil rakyat DAP itu tidak ikhlas menyelesaikan isu tersebut.

Namun, kedegilan Ooi itu sebenarnya boleh dianggap sebagai hikmah bagi para pemimpin Pas untuk memikirkan masa depan parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam daripada terus bersekongkol dengan DAP.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika benar Pas konsisten dalam perjuangan, parti itu tentu tidak akan berdiam diri dengan penghinaan oleh Ooi.

"Saya sekali lagi mengulangi cabaran agar Pas bertindak mengikut keadaan semasa yang memperlihatkan tiadanya semangat setiakawan di kalangan pemimpin DAP untuk menghormati parti itu.

"Sudahlah satu-satunya wakil rakyat Pas tidak mendapat tempat dalam barisan Exco kerajaan Pulau Pinang, kini kenyataan pemimpin DAP pula makin melampau. Maka, Pas perlu sedar mengenai tahap keikhlasan DAP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kedegilan Ooi yang enggan meminta maaf sebaliknya hanya menarik balik kenyataannya itu atas nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ooi dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini mendakwa ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Mohd. Razali Abdullah sebagai ekstremis agama Islam hanya kerana merupakan ahli kepada pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Beliau yang juga Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri, turut mengkritik hebat pihak majlis kerana membenarkan ekstremis agama Islam berada di dalam pentadbiran.

Sementara itu, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin berkata, Ooi seharusnya menjelaskan apa yang diperkatakan sekiranya beliau menafikan membuat penghinaan terhadap Islam.

Menurutnya, Ooi perlu sedar betapa konflik dicetuskan itu bukan saja antara beliau dengan Razali dan JIM malah turut melibatkan seluruh umat Islam di negara ini.

Justeru katanya, beliau perlu menanggung sebarang risiko ekoran tindakan dan percakapannya yang mungkin diterjemahkan masyarakat Islam melalui pembuangan undi pada pilihan raya akan datang.

"Terpulang pada beliau. Secara dasarnya JIM tidak langsung terjejas dengan kenyataannya sebelum ini tetapi perasaan umat Islam harus diambil kira. Jika beliau meminta maaf tetapi tidak ikhlas, tiada gunanya juga.

"Apa pun, saya dimaklumkan cawangan JIM di Pulau Pinang akan berbincang mengenai tindakan-tindakan tertentu yang akan diambil. Apa tindakannya, saya tidak pasti," katanya.

torashah berkata...

DAP hina institusi raja Perak..

Kerajaan negeri mahu Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook, memohon maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan tegas selepas blognya Themightypen.blogspot.com membuat tohmahan dan memburukkan institusi raja di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, artikel disiarkan pada 6 Ogos lalu itu bagaimanapun didapati dipadam hari ini setelah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Kata beliau, artikel tersebut jelas melampaui batas apabila memperkecilkan dan memaki hamun institusi raja termasuk Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah serta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Sebuah parti yang bercakap mengenai demokrasi, keadilan dan sebagainya, membuat komen-komen seolah-olah negeri dan negara ini tidak ada undang-undang.

"Tulisan ini sangat berbahaya dalam hubungan kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di sini semalam.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kebiadapan dan sikap kurang ajar keterlaluan itu menggambarkan Siew Fook tiada ciri-ciri kehidupan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Beliau turut menganggap ahli politik pembangkang itu hilang kewarasan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat kerana orang ramai sudah mula menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai perkara itu.

Justeru, beliau mendesak supaya langkah segera diambil ke atas penulis tersebut selain memberi penjelasan secara terbuka kepada semua pihak yang sedang marah.

"Walaupun ia telah dipadam tetapi kesan daripada apa yang ditulis oleh beliau sudah pun tersebar ke seluruh negara.

"Institusi raja terlalu dekat dengan hati orang Melayu, dan jangan cuba bermain api. Saya beri amaran ini kerana saya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku perkara tidak diingini di negara kita dan juga di Perak," katanya.

Kata Zambry, penulis blog seperti itu tidak patut dibiar 'berkeliaran' di Malaysia kerana kesan daripada tulisan tersebut dikhuatiri mengundang kejadian lebih buruk.

"Ia hanya untuk memenangi kelompok tertentu. Kita akan bertindak terhadap penulis blog ini berdasarkan peraturan dan undang-undang," katanya.

torashah berkata...

Salam...

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan segera terhadap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang menghina Islam seperti yang disiar dalam laman blognya.

Itu antara reaksi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu ketika mengulas tindakan Ahli Parlimen Rasah tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, KDN perlu menyiasat perkara tersebut dan mengenakan tindakan tegas termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Siew Fook.

Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu kerana pemimpin DAP itu telah menimbulkan rasa marah di kalangan umat Islam dengan kenyataannya dalam laman blog berkenaan yang memaki hamun agama Islam.

Katanya, tindakan Siew Fook memaki hamun agama Islam sebagai reaksi kepada kenyataan Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah sebenarnya jelas mencabar undang-undang sedia ada di Malaysia.

"Kalau perlu, dia dikenakan ISA, ia bukan saja kerana menyentuh agama malah juga menggugat keamanan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar mengulas kenyataan Siew Fook berhubung komen Ridhuan yang menentang menghalalkan 'anak luar nikah' mendiang Teoh Beng Hock.

Syed Anuar seterusnya berkata, pihaknya kesal dengan keceluparan DAP yang jelas menghina Islam malah bertindak menyerang Ridhuan secara peribadi.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, sikap Siew Fook yang disifatkan sebagai 'kurang ajar' itu perlu diberi perhatian oleh KDN.

Katanya, kenyataan-kenyataan seumpama itu bukan sahaja memberi gambaran negatif terhadap agama Islam malah mengundang perasaan tidak harmoni dan kacau-bilau.

"Siew Fook perlu segera minta maaf secara terbuka bukan sahaja kepada Ridhuan malah kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Dia telah memburuk-burukkan agama Islam dengan pelbagai tohmahan, gambaran negatif dan provokasi sehingga menconteng arang terhadap seluruh penganut agama Islam di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, sebagai seorang wakil rakyat, Siew Fook perlu menunjukkan contoh terbaik kepada pengikutnya dan bukan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kesat dan memaki hamun.

"Itu adalah tindak tanduk seorang yang tidak berpelajaran, bertamadun dan tidak layak untuk bergelar wakil rakyat," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, Siew Fook perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah mencemar nama baik dan kemuliaan agama Islam yang dianuti penduduk majoriti negara ini.

Katanya, jika tindakan ISA tidak dapat dikenakan ke atas Siew Fook sekalipun, dia tetap tidak boleh lari daripada tindakannya yang telah mencetus keadaan kurang senang di kalangan kaum Melayu dan Islam.

"Jika ISA tidak boleh diambil, kita masih mempunyai beberapa akta seperti Akta Hasutan yang boleh mengheret beliau ke muka pengadilan.

"Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan berlembut memandangkan beberapa tindakan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang ini sudah melampaui batas-batas kesabaran kaum Melayu dan Islam di negara ini," tegasnya.

eXception berkata...

DAP dah hina Islam, tapi PAS masih senyap tanda merestui kata-kata DAP. PAS sudah terpesong dari ajaran Islam. Membenarkan kafir menghina agama sendiri. Tak malukah PAS? Tak rasa berdosa? PAS tak rasa berdosa sbb Nik Aziz shj kononnya boleh menghapuskan dosa orang....

eXception - Bukan Sekadar Blog Picisan

Kang nasir berkata...

Dah namanya je parti biaDAP.

N Ajis je yg berani bersuara sebagai pembela.

utk info lain disini.
http://www.t4tbh.blogspot.com/