Sabtu, April 11, 2009

PAS MANGSA BULI BUDAK-BUDAK ANWAR!!!

Prinsip kesetiaan kepada parti dan keikhlasan berjuang untuk kelangsungan agama dan bangsa Melayu sangat penting untuk meneruskan kejayaan wawasan ketamadunan bangsa Melayu pada alaf baru. Sesungguhnya UMNO masih relevan kepada bangsa Melayu. Cuma pemimpin yang sudah menikmati kekuasaan, kemewahan, kemakmuran dan kekayaan apabila jatuh tersingkir dari UMNO kemudian mencaci dan menconteng arang di muka sendiri.

Itulah pemimpin yang tidak rasional dan tidak lagi relevan. Mereka ini akan bertindak seperti Si Kitul yang akan menjahanamkan bangsa Melayu. Bolehkah orang seperti ini yang bertaburan dalam Parti Keadilan Nasional (Keadilan) boleh dipercayai dalam pilihan raya nanti? Ternyata merekalah yang mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Bolehkah nasib Melayu diperjudikan di tangan Pas sedangkan parti itu dan para pengikutnya sentiasa dalam keadaan kalut dan cepat hilang kewarasan. Pas terlalu mudah dibuli. Tetapi pada masa yang sama mendakwa mereka sebagai penyelamat. Nasib orang Melayu tidak boleh diberi pada parti yang sentiasa tidak sedar atau dalam keadaan sedar dibuli dengan demikian rupa.

Pas telah dibuli tauke balak haram yang telah menyebabkan Kelantan tidak mendapat hasil kewangan untuk memajukan negeri itu. Pada masa yang sama juga, Kerajaan Kelantan masih berhutang dengan Kerajaan Pusat sejumlah RM600 juta. Rakyat menjadi miskin dan Kelantan terus sepi tanpa pembangunan.

Pas telah dibuli oleh Hassan Ali. Semua orang tahu, Hassan Ali telah menjadi Pas sebagai lubuk duit yang baru. Setelah kenyang dapat pelbagai tender semasa Anwar Ibrahim berkuasa, kini Hassan Ali buat duit melalui ceramah Pas. Setiap kutipan yang diperolehi dari ceramah Pas, 50 persen untuk Hassan Ali. Akhirnya, rakyat dirompak, Hassan Ali yang kenyang.

Pas telah dibuli oleh Karpal Singh seorang yang jelas menentang pembentukan negara Islam tapi kini menjadi pujaan penyokong pembangkang. Pernah suatu ketika penyokong pembangkang telah bertakbir menyambut kedatangan Karpal Singh. Begitu mudah mereka memaafkan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh Karpal Singh dulu. Yang untung Karpal Singh dan DAP. Penyokong Melayu mereka bertambah sedangkan sokongan orang Melayu terhadap parti Melayu berpecah-pecah.

Pas telah dibuli oleh Tien Chua dan beberapa orang lagi yang mendapat lampu hijau untuk mencemarkan masjid tempat suci umat Islam. Kalau Pas benar-benar memperjuangkan Islam, mereka takkan mudah membiarkan sebarangan orang menggunakan masjid pentas untuk mereka berpolitik. Lebih menyedihkan orang kafir ini gunakan rumah Allah untuk mengutuk, mencaci pemimpin negara yang juga orang Islam. Ini baru langkah pertama, langkah seterusnya, pemimpin politik kafir ini akan gunakan khutbah Jumaat pula untuk menyampaikan mesej jahat politik mereka. Jelas maruah orang Islam dan Melayu sekali lagi diperlekehkan.

Pas telah dibuli oleh Kamaruddin Jaafar, musang yang telah buncit perutnya di dalam reban UMNO. Kini, KJ cuba menghidupkan kembali saki baki riwayat politiknya. Muslihat KJ mudah dibaca cuma Pas sahaja yang bebal. Melalui pentas politik Pas, KJ cuba untuk menjalankan misi membalas dendamnya terhadap UMNO yang telah merencatkan peluangnya untuk mengaut kekayaan dengan lebih banyak. KJ memang dah kaya, jadi Pas ditunggang hanya untuk menuntut bela (kononnya).

Pas telah dibuli oleh Lim Kit Siang untuk menonjolkan kembali parti anak beranak cap DAP ini. Setelah gagal beberapa kali dalam PROJEK TANJUNGNYA, kebanyakan ahlinya semakin hilang kepercayaan. Namun denyut nada terakhir DAP kembali dipulihkan hasil bantuan Pas yang jelas semakin lazat menjilat ludah-ludahnya yang dahulu. DAP jelas tak akan rugi apa-apa kerana jumlah kerusinya pun tak banyak. Kalau bertambah, ia satu bonus hasil bantuan Pas. Yang penting, Pas telah memberi rangsangan kepada DAP untuk meneruskan agenda anti-Islam dan Melayu-nya.

Pas telah dibuli oleh Wan Azizah untuk menyelamatkan suaminya yang dikatakan telah dizalimi. Dengan lenggoknya, iman pemimpin Pas jelas cair hingga sanggup mempertahankan musuh utamanya dulu dalam setiap ciri ceramahnya. Wan Azizah makin ghairah menunggang Pas walaupun pada masa yang sama Pas bertegas tidak akan membenarkan wanita berpolitik. Akhirnya Pas kehilangan sokongan wanita.

KESIMPULANNYA, PAS TAK LAYAK MEMIMPIN KERAJAAN KERANA PARTI ITU MUDAH DIBULI, DIBELI DAN DIPERBODOHKAN. PERSOALANNYA, MAMPUKAH PAS MEMBELA RAKYAT? Tepuk dada tanya selera. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

torashah berkata...

Salam Taminsari..

Bahaya Melayu terus berpecah...
"Kebimbangan saya ialah orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu majoriti yang sepatutnya menjadi penentu, sudah tidak menjadi penentu."

Itulah keresahan yang dizahirkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara dengan penulis di kediamannya pada Sabtu lalu.

Sebenarnya Muhyiddin bukanlah orang pertama yang melahirkan kebimbangan mengenai kedudukan kuasa politik Melayu sekarang, malah sebelum ini sudah ramai pemimpin UMNO yang berbuat demikian.

Tetapi malangnya orang Melayu masih belum sedar malah orang Melayu yang berada dalam pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan mentertawakan kenyataan sedemikian.

Mereka menganggap kenyataan hanya helah UMNO yang merasakan orang Melayu semakin tidak menyokong parti tersebut. Namun apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau jelas membuktikan bahawa orang Melayu sudah tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa penentu.

Sebaliknya, para pemimpin politik Melayu sama ada pembangkang mahu pun kerajaan terpaksa 'berbaik-baik' dengan pengundi minoriti bukan Melayu demi untuk mendapatkan undi mereka.

Mungkin bagi Pas dan Melayu dalam PKR, mereka gembira dan berasa bangga kerana bukan Melayu semakin menyokong mereka.

Malah ada pemimpin mereka dengan bangga mendabik dada dengan menganggap kejayaan di Bukit Gantang memberikan isyarat kononnya Pas dan pakatan pembangkang selangkah lagi akan menguasai negara.

Justeru atas kepentingan politik juga, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup mengatakan bahawa tidak salah pemimpin bukan Islam membaca ayat-ayat al-Quran.

Semua situasi ini, jelas membuktikan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada sesetengah pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR yang sanggup menghalalkan apa sahaja asalkan bukan Melayu menyokong seterusnya membantu mereka mendapat kuasa.

Akibat daripada kejumudan dan kerakusan pemimpin-pemimpin Melayu seumpama itulah yang menyebabkan kuasa politik Melayu semakin terhakis.

Kita kini berpecah kepada tiga kumpulan atau mungkin empat kumpulan. Perpecahan akibat ideologi politik itu telah memungkinkan kita langsung tidak boleh bersepakat biarpun untuk perkara yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu.

Tetapi ini berbeza dengan bukan Melayu terutamanya masyarakat Cina yang bersedia bersatu jika ada isu berkaitan dengan kepentingan mereka. Akibat daripada kejahilan sesetengah pemimpin Melayu pembangkang yang tidak mahu memikirkan bahaya yang menanti, ia telah membolehkan pengundi bukan Melayu 'naik tocang'.

Mereka merasakan bahawa mereka kini adalah kelompok penentu kepada nasib politik sesuatu parti termasuklah UMNO dan Pas - dua parti yang dianggotai oleh orang Melayu. Calon kedua-dua parti itu tidak akan menang hatta jika ada hanya lima peratus sahaja pengundi Cina atau India di kawasan mereka. Kalau mereka mahukan undi maka pelbagai tuntutan harus dipenuhi dahulu.

Berikutan keadaan terdesak itu, maka berlakulah situasi di mana BN dipermainkan oleh pengundi bukan Melayu apabila tuntutan mereka dipenuhi tetapi undi tetap kepada pembangkang.

Walaupun di dalam BN ada MCA, MIC dan Gerakan tetapi ternyata mereka tidak mampu berbuat apa-apa, malah mereka turut 'terpedaya' dengan lakonan pengundi bukan Melayu itu. Bagaimanapun yang pasti kaum mereka tidak rugi apa-apa, yang rugi adalah UMNO seperti mana berlaku di Bukit Gantang.

Orang Melayu kini hanya boleh melaungkan bahawa mereka masyarakat majoriti di negara ini, justeru segala-galanya harus diutamakan. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak fikir bahawa kuasa politik mereka semakin berkurangan. Mereka yang tidak bersetuju dengan UMNO dan kerajaan, boleh mengecam apa sahaja, bagi mereka membaca fitnah yang disebarkan dalam suara-suara rasmi parti pembangkang adalah lebih penting daripada mengetahui fakta sebenarnya kedudukan Melayu yang dipaparkan oleh akhbar-akhbar arus perdana.

Apa yang paling mengecewakan, akibat daripada semakin lemahnya kuasa politik Melayu, pelbagai pihak semakin berani mencabar kedudukan Melayu dan orang Islam.

Kononnya atas dasar kebebasan dan keterbukaan yang dirasai oleh mereka mulai Oktober 2003, mereka berkata apa sahaja dan orang Melayu tidak berdaya melawan balik.

Jika ada orang Melayu dalam UMNO bersuara mempertahankannya ia digelar macam-macam termasuk 'celaka dan gila' serta sebagainya. Biarpun penghinaan itu adalah ke atas parti induk Melayu yang sebelum ini sudah menaburkan jasa besar dalam memartabatkan orang Melayu, tetapi tidak pemimpin Melayu pembangkang akan membelanya kerana berbeza fahaman politik.

Mungkin ada orang Melayu terutamanya dalam PKR gembira dengan perkembangan sekarang tetapi mereka harus faham bahawa apa yang berlaku amat bahaya kepada masa depan generasi Melayu akan datang.

Ketika ini mereka boleh berbangga kerana berbaik-baik dengan kelompok bukan Melayu yang cauvinis demi kuasa politik tetapi percayalah suatu hari kelak, mereka akan mengetahui betapa bahayanya tindakan mereka.

Justeru seruan Muhyiddin agar orang Melayu kembali bersatu di bawah payung UMNO bukanlah suatu seruan kosong, ia mempunyai maknanya cukup besar.

Ia bukanlah semata-mata kerana kepentingan politik UMNO tetapi demi bangsa Melayu dan umat Islam. UMNO sudah berjaya membuktikan bahawa biarpun ia bekerjasama dengan parti bukan Melayu tetapi parti-parti berkenaan sentiasa patuh dan bekerjasama dengan penuh semangat persahabatan. Malah UMNO amat dihormati oleh mereka.

Tetapi apakah dalam soal ini Pas juga mendapat penghormatan yang sama daripada DAP? Apakah orang Melayu dalam PKR dibenarkan bebas bersuara mengenai soal-soal kepentingan orang Melayu dan Islam?

Bukankah pemimpin utama mereka, Anwar Ibrahim begitu rakus untuk berkuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya asalkan memperolehi kuasa politik?

Oleh itu masanya belum terlambat untuk orang Melayu memikirkan sedalam-dalamnya mengenai ancaman yang sedang menanti mereka. Jangan sampai sokongan yang diberikan kepada sesuatu parti itu kononnya atas semangat kerjasama, akhirnya menyebabkan masa depan orang Melayu tergadai.

Jadikanlah apa yang berlaku di Perak dan Pulau Pinang selepas pilihan raya umum lalu sebagai pengajaran bahawa fenomena yang sama boleh berlaku di negeri-negeri lain, jika orang Melayu terus berpecah belah. Janganlah nanti apabila tiba masanya, akibat daripada permainan politik melampau sesetengah pemimpin Melayu yang tamakkan kuasa, orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri. Menang sorak tetapi kampung tergadai.- UM