Ahad, April 26, 2009

Awas - Wabak Baru BABI Kembali Mengganas!

Pengawasan di semua pintu masuk negara akan diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan sejenis wabak baru dikenali sebagai selesema babi yang telah meragut 68 nyawa di Mexico dan mencetuskan suasana cemas di negara itu.

Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.

Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.

“Selesema babi telah merebak di Mexico dan pengawasan di semua pintu masuk negara ini perlu diperketatkan segera.

“Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan sentiasa memantau penyakit berjangkit, kita sentiasa mendahului situasi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai wabak selesema babi yang berpunca daripada virus yang tidak pernah dilihat para penyelidik sebelum ini kerana ia mengandungi kombinasi virus babi, burung dan manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Tiong Lai berkata, beliau belum menerima laporan terkini wabak tersebut daripada Bahagian Kawalan Penyakit dan hanya mengetahuinya melalui laporan media pagi ini.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk melaporkan perkembangan terkini mengenai wabak berbahaya itu kepada masyarakat.

p/s : Bagaimana dengan projek MEGA Ladang Ternak BABI di Sepang? Masih mahu meneruskannya? VIRUS WABAK BARU INI MEREBAK MELALUI BADAN MANUSIA..fikir-fikirkanlah!!!!

Sumber Bernama
Taminsari

3 ulasan:

Taminsari berkata...

MEXICO CITY 25 April – Seramai 68 orang maut akibat penyakit selesema, dengan 20 daripada kematian itu disahkan berpunca daripada sejenis wabak baru selesema babi, lapor Setiausaha Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 1,004 yang lain pula sakit dipercayai akibat penyakit yang sama.

Sebanyak 13 daripada 20 kematian tersebut berlaku di Mexico City, empat di San Luis Potosi, dua di Baja California berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) dan satu di selatan Oaxaca.

Penularan wabak baru itu mencetuskan kebimbangan kerajaan Mexico dan pihak berkuasa semalam telah mengarahkan penutupan sekolah, muzium, perpustakaan dan teater, bagi membendung penyebarannya.

Virus baru yang merisaukan itu, yang mengandungi kombinasi virus babi, burung dan manusia yang belum pernah dilihat penyelidik-penyelidik sebelum ini, turut mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang sakit di Texas dan California, walaupun masih belum ada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

‘‘Kami sangat sangat bimbang. Kita sedang berdepan dengan satu virus baru dan ia tersebar daripada manusia kepada manusia,’’ kata jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Thomas Abraham.

Penyebaran virus selesema babi itu menimbulkan suasana cemas di Mexico apabila orang ramai mula mengenakan topeng muka dan pihak berkuasa mengarahkan penutupan tempat-tempat tumpuan umum secara meluas.

Orang ramai diminta tidak datang ke hospital melainkan benar-benar memerlukan rawatan kerana premis itu menjadi ‘pusat’ penyebaran wabak. Selain itu, orang rami juga diminta berhenti seketika daripada bersalam tangan atau mencium pipi. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City, setiap penumpang disoal bagi menghalang sesiapa yang mempunyai petanda demam daripada menaiki pesawat.

Presiden Felipe Calderon berkata, kerajaannya hanya mengetahui tentang bahaya virus itu kelmarin, dengan bantuan makmal antarabangsa.

‘‘Kita akan lakukan apa yang perlu, kita juga faham betapa seriusnya perkara ini,’’ katanya selepas mengadakan pertemuan dengan barisan Kabinetnya sebagai respons kepada penyebaran wabak itu.

Dalam pada itu, sekumpulan panel pakar WHO sedang bersidang bagi menimbangkan sama ada untuk mengumumkan amaran berjaga-jaga wabak atau mengeluarkan larangan perjalanan.

‘‘Ia mungkin sudah terlalu lambat untuk mengekang wabak itu daripada merebak,’’ kata seorang pakar, Dr. Michael Osterholm dari University of Minnesota. – AP

torashah berkata...

Apakah ini wabak pemusnah umat manusia?

Tuesday, 28 April 2009 13:14
ATLANTA - Tatkala laporan mengenai meletusnya wabak selesema babi di seluruh dunia, satu soalan yang tidak boleh dielakkan ialah apakah ini wabak yang akan memusnahkan umat manusia?

Apakah ini epedimik selesema global yang telah lama dijangka dan dibimbangi oleh pakar-pakar kesihatan awam? Apakah ini virus pemusnah yang akan membunuh jutaan manusia di seluruh dunia seperti pandemik yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968?

Jawapan pendek ialah masih terlalu awal untuk mengesahkannya.

"Apa yang menjadikan keadaan sekarang agak sulit ialah kita mungkin berada di antara krisis kesihatan yang paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.

''Atau satu permulaan kepada pandemik influenza yang sangat dahsyat,'' kata Michael Osterholm, seorang pakar mengenai wabak selesema global yang terkenal dari Universiti Minnesota.

"Kita tidak tahu menahu pada masa ini di manakah kita berada. Inilah masalahnya,'' ujar beliau.

Pegawai-pegawai kesihatan mahu mengambil setiap langkah untuk menghalang wabak ini daripada membunuh berjuta-juta orang. Menelaah influenza dikatakan satu bentuk ramalan kerana kerajaan Amerika Syarikat (AS) pernah meramal salah pada 1976 mengenai pandemik selesema babi yang tidak wujud pun.

Kes pada 1976, bermula dengan tentera-tentera AS di Fort Dix, New Jersey yang didapati jatuh sakit akibat satu bentuk selesema babi yang luar biasa.

Pegawai-pegawai persekutuan memberikan suntikan vaksin kepada 49 juta rakyat Amerika tetapi pandemik itu tidak berlaku.

Sehingga ke hari ini, pegawai kesihatan tidak tahu mengapa dan bagaimana virus 1976 itu berhenti dengan sendirinya.

''Pengajaran pertama ialah sesiapa sahaja yang cuba membuat telahan mengenai influenza sering tidak menjadi,'' kata Dr. Richard Wenzel, bekas presiden Persatuan Antarabangsa Mengenai Penyakit Berjangkit.

Namun para pegawai kesihatan telah diminta membuat ramalan apabila panik muka memuncak pada hujung minggu lalu.

Pusat merebaknya wabak tersebut ialah Mexico, di mana virus itu dikatakan menjadi punca kepada kematian 86 orang daripada anggaran 1,400 kes di seluruh negara itu sejak 13 April.

Sekolah-sekolah ditutup, upacara di gereja dibatalkan dan Presiden Mexico, Felipe Calderon memperkenalkan kuasa-kuasa khas untuk melaksanakan perintah kuarantin terhadap mereka yang dijangkiti virus tersebut.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, pakar-pakar menumpukan perhatian kepada satu bentuk selesema burung yang pertama kali meletus di Asia yang telah membunuh lebih 250 orang di seluruh dunia sejak 2003.

Pegawai kesihatan di seluruh dunia telah mengambil langkah-langkah persediaan bagi menghadapi kemungkinan ia menjadi wabak global tetapi sehingga kini virus itu belum mempunyai keupayaan untuk berjangkit dengan mudah dari seorang manusia ke seorang manusia yang lain. - AP

ceparpuk berkata...

elok malaysia mengikut langkah kerajaan mesir, menghapuskan semua babi-babi yang ada. sejak dulu sampai skrg kita ptt terima yang babi ni lebih byk mendatangkan kemudaratan dr kebaikan, insaflah kepada mereka yg menternak, meluluskan lesen ternak babi dan pemakan babi..