Khamis, Mac 05, 2009

Ancaman baru Islam di Malaysia !

Dalam kehidupan di dunia ini kita menghadapi banyak kepercayaan agama, ideologi, latarbelakang sosial, etnik dan sebagainya. Di banyak tempat di seluruh dunia ini nilai-nilai pluralisma ini sering mencetus perpecahan, pergaduhan malah peperangan, justeru pluralisma itu ertinya bukan satu, tetapi banyak (plural), sudah tentu mengandungi nilai-nilai yang sama atau berbeza.

Bagi bangsa yang pandai dan matang cara berinteraksi, bangsa atau negara itu akan aman. Demikianlah sebaliknya. Apabila hal kepelbagaian ini dihubungkan dengan agama secara khusus, maka ia bererti bahawa dunia aini memiliki banyak agama dan kepercayaan. Tiap penganut ada persepsinya sendiri. Bagi pejuang pluralisma dan liberalisma ini, syurga bukan untuk umat Islam sahaja, malah terbuka kepada semua penganut agama atas dunia asalkan mereka membuat kebaikan.

SEJARAH dan PUNCA TIMBUL LIBERALISMA dan PLURALISMA

Liberalisma iaitu kebebasan berfikir dan bertindak individu tanpa had adalah satu fahaman yang muncul di Eropah asalnya, dan bukan dari dunia Islam. Fahaman ini menyerap ke dalam masyarakat Islam melalui proses penjajahan dan pembaratan sekitar abad ke 16/17.

Pengasas Liberalisme dan Pluralisme : Hans Kung, pemikir agamawan Catholic Switzerland. President, Foundation for a Global Ethic; Immanuel Kant, ahli falsafah Jerman kurun ke 18. Pengaruhnya meluas di kalangan pemikir moden Eropah yang dikenali sebagai pencetus Enlightenment (pencerahan); John Locke, ahli falsafah British. Penulisannya bertajuk 'Voltaire' & 'Rousseau', berpengaruh di Amerika, yang diterjemahkan dalam 'the American Declaration of Independence'.

Reaksi umat Islam kemudiannya pada abad ke 18/19 terpecah dua kelompok; Pertama, kumpulan yang menolak pengaruh barat dan Kedua, kumpulan yang menerima. Kumpulan tradisionalis yang berpegang kepada asas-asas fundamental Islam, menolak dan menentang.

Kumpulan kedua yang lazimnya mendapat pendidikan Barat atau liberal dan terpegun dengan kemajuan Barat yakin bahawa apa yang datang dari Barat baik belaka, kita diminta meniru dan mendewakan Barat. Hal ini berlaku di seluruh dunia Islam.

Mengapa timbul di Barat?

Masyarakat Eropah mempunyai sejarah hidup dan pemikiran mereka sendiri. Selama 1000 tahun (abad ke 5-ke 15) mereka dicengkam kuat oleh agama Kristian Katholik, Kristian kontrol kepercayaan, ilmu, dasar dalam dan luar negeri. Kristian Katholik yang berpegang kepada dasar bahawa mereka adalah wakil Tuhan di bumi, memaksa semua lapisan masyarakat agar patuh kepada kuasa agama dan gereja.

Hak asasi gereja ialah meletakkan dasar-dasar kehidupan, pentadbiran, ekonomi hinggalah kepada akhlak dan kehidupan individu. Kumpulan bangsawan, ahli perniagaan, ilmuan dan orang awam dikongkong dan tugasnya ialah patuh dan turut ketentuan gereja.
Kitab Injil tidak boleh dibaca, apalagi untuk mentafsir. Perempuan adalah najis, tidak boleh baca atau pegang Bible. Akhirnya semua kumpulan masyarakat bangun memberontak.

Dari dalam Kristian sendiri timbul protes yang serius dan akhirnya lahir Mazhab Protestan. Injil perlu ditafsir semula. Tafsiran lama tidak boleh dipakai lagi. Intelektual pun bangun menulis buku-buku menentang fatwa-fatwa gereja. Nicolai Copenicus, Kepler, Brehe dan Galileo Galilee adalah antara tokoh yang mengkritik otonomi dan tafsiran-tafsiran Gereja Khatolik.

Sehubungan dengan penglibatan intelek mengkritik agama, kumpulan-kumpulan feudal, kemudian kapitalis, kumpulan sosioalis-marxis juga muncul dengan teori dan gerakan yang menentang otonomi Gereja Katholik. Karl Marx menganggap agama adalah candu-masyarakat! Ahli-ahli fakir moden Eropah mempersoal agama dan kriteria kebenaran.Akibat dari gerakan itu, agama dibenci. Kitab agama dikatakan perlu di nilai semula. Kebenaran itu relatif. Semua orang bebas mentafsir agama, atau Tuhan!

Eropah akan terus berada dalam kemunduran jika masih kuat berpegang pada agama. Maka pada akhirnya, akibat banyak penjuru berlaku penentang dan pemberontakan, para penentang ditangkap, dibunuh atau disiksa. Buku-buku yang mengkritik otonomi dan fatwa gereja dibakar.

Buku-buku yang didatangkan dari Timur Tengah hasil tulisan tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Rusyd diperintah supaya dibakar. Sebarang wacana ilmu yang mengkritik Kristian diharamkan.Penentangan besar diambil oleh kumpulan cendekiawan. Mereka mula mengkritik agama Kristian dari segenap penjuru. Kitab Injil, yang asalnya juga banyak diubah, dikritik lagi dan lebih mendasar. Kitab Injil sudah jadi macam buku sastera yang dikritik oleh semua peminat. Kandungannya tidak lagi relevan.

Mazhab protestat terus mendapat sokongan. Akhirnya timbul Renaissance. Agama dan Tuhan sudah kehilangan kuasa dan daulat. Kebenaran boleh didapati dari manusia sendiri berasaskan akal rasional atau pengalaman dan bukan teks-teks agama. Ahli falsafah Barat yang memimpin tentangan dan fikiran bebas ini antaranya Rene Descartes (1592-1650), John Locke (1632-1704), Immanuel Kant (1724-1804), David Hume (1711-1776), Auguste Comte (1798-1857), Jeremy Bentham (1748-1832), John S.Mill (1806-1873), Frederich Nietzsche (1844-1900) dan ramai lagi.

Terdapat tiga jenis fikiran-fikiran asas yang diperjuang oleh pemikir-pemikir ini;
Pertama, Tuhan itu tidak wujud atau diragui kewujudannya; Kedua, ala mini wujud secara mekanistik, iaitu hukum alam bukan hukum Tuhan; Ketiga, akal manusia mampu memahami semua masalah manusia, fenomena alam dan lain-lain. Di sini, otoriti agama ditolak.

Berkaitan dengan agama secara khusus, pemikir Barat W.C Smith memperkenalkan slogan "Universal Theologi of Religion". Idea ini menarik pemikir-pemikir Eropah yang lain dalam kerangka dan semangat menolak otoriti agama. Muncul John Hick dan Hans Kung tokoh pemikir Barat sekular dan terus memperpularkan gagasan ini. Gagasan ini memperjuangkan bahawa semua agama boleh diterima dan benar, sebab tujuannya adalah satu, hanya jalannya sahaja berlainan.

Maka popularlah pluralisme'. Tuhan cipta banyak agama menurut mereka untuk kepentingan berbagai bangsa di pelbagai masa dan wilayah. Semua ajaran betul belaka dan semua orang boleh sampai pada Tuhan dengan mengikut jalan mana pun. Oleh itu semua agama di dunia ini menyeru pada Tuhan dan benar belaka. Siapa pun tidak boleh dakwa agama mereka sahaja yang benar dan betul!. Apabila berlaku interaksi Islam-Barat melalui penjajahan dan pembaratan, gagasan liberalisma ini turut sama masuk dan ia subur berkembang dibawah payung sekularisma. Keadaan ini berjalan hingga kini di serata dunia Islam.

IDEA-IDEA UTAMA LIBERALISMA-PLURALISMA (LP)

Di sini diperturunkan sebahagian idea-idea LP ini.

Mengkritik teks Al-Quran.

Antara tokoh utama di sini ialah Nasr Hamid Abu Zaid (Mesir). Beliau bertugas di Universiti Leiden, Belanda. Beliau dihukum murtad oleh Universiti al-Azhar. Beliau kritik Al-Quran dalam bukunya "Mafhum Al-Nas -Dirasat fi'ulum Al-Quran" (kefahaman mengenai Teks - Satu kajian mengenai Al-Quran).

Nasr Hamid ini setuju dengan Frederich Schlie Marcher (1768-1834) yang pernah memberi teori bahawa Al-Quran yang diturunkan melalui Malaikat Jibril a.s. kepada seorang Muhammad yang (sifatnya) manusiawi. Muhammad sebagai penerima pertama adalah penyampaian Teks hal ehwal manusia. Al Qur'an itu bukan Teks Ilahi dalam bentuk asli, tapi telah disaring menurut pemikiran Muhammad. Jadi Al-Quran itu bukan asli seperti yang selamanya kita faham. Apa yang kita pelajari adalah Malaikat membaca ayat-ayat wahyu dan Rasulullah SAW menurutnya dan kemudian dihafal serta dikumpul oleh para sahabat.

Bagi para pemikir LP ini, metod di atas adalah method lama dan salah.
Umpamanya professor pemikiran Islam di Universiti Sorbone, Perancis iaitu Prof. Muhammed Arkoun membawa pendekatan "Makna Teks". Professor Mohammed Arkoun berasal dari Algeria. Menjadi tenaga pengajar di New Sorbonne University of Paris.

Pernah berkhidmat sebagai Fellow di Wissenschaftskolleg, Berlin (1986-1990); Tenaga pengajar di the Institute for Advanced Studies in Princeton, New Jersey, U.S.A (1992-1993); Visiting professor di University of California, Los Angeles (1969), Princeton University (1985), Temple University, the University of Louvain-la-Neuve, Wallonia, Belgium, (1977-1979), the Pontifical Institute of Arabic Studies di Rome dan the University of Amsterdam (1991-1993). Sekarang beliau Professor Emeritus, La Sorbonne sebagai Senior Research Fellow dan member of the Board of Governors of The Institute of Ismaili Studies (IIS).

Beliau juga dikenali antara pelopor Islam Liberal. Perkara ini ada ditulis oleh beliau dalam beberapa buah bukunya seperti "The Unthought in Comtemporary Thought" (2002) dan "Min al-Ijtihad ila Naqd al-Aql al-Islami" (1992). Menurutnya kajian kritis terhadap Al-Quran adalah bentuk ijtihad, (sama seperti pemikir Barat bersifat kritis terhadap Bible).

Arkoun berpendapat wahyu perlu dilihat dalam kontek umum. Ia juga termasuk kitab-kitab agama lain seperti kitab agama Hindu, Buddha, Injil Perjanjian Lama dan Baru.
Ini bermakna kebenaran agama dimiliki semua.Teori mereka ini memberi maksud (i) Muhammad itu pengarang Al-Quran (ii) Syariat juga dicipta oleh Muhammad (iii) Al-Quran tidak suci lagi (iv) semua kitab-kitab tafsir di dunia Islam tidak boleh dipakai lagi (v) Al-Quran perlu ditafsir semula. (seperti laungan terhadap Bible)

IDEA THEOLOGI PLURALIS

Idea ini, seperti yang telah disebutkan di atas, menganggap semua agama adalah sama, sama benarnya dan semua membawa kepada Tuhan hanya jalannya sahaja yang berlainan.
Nama Tuhan boleh berbeza menurut bahasa-bahasa bangsa manusia. Kitab suci pun
boleh berlainan bahasa. Islam mempunyai syariat dan Tariqat. Syariat adalah hukum-hukum lahiriyah, sedangkan tariqat adalah perjalanan hamba menuju Tuhannya dengan cara menyucikan batin dan bersih dari sifat-sifat tercela.

Ini ada dalam semua agama. Persamaan ini akan membentuk hidup yang harmoni, asalkan jangan ego mengatakan akidah atau agamanya sahaja benar, yang lain batil. John Hick pendukung kuat liberalisme mengatakan semua orang boleh masuk syurga tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama. Tuhan boleh dikenali dengan apa sahaja identiti oleh semua penganut agama.

Brahma dan Allah kata mereka adalah Tuhan yang sama, Cuma dilihat dan diucap dengan cara berlainan antara Hindu dan Islam. Tertera dalam Al-Quran. Apakah sifat Brahma, Tuhan dalam Shinto dan lain-lain itu sama dengan sifat-sifat Allah SWT dalam Al-Quran? Apa yang kita faham Allah SWT mempunyai sifat-sifat yang tersendiri seperti Penolakan Syariat Islam. Abdullah al-Naim, seorang penulis berasal dari Sudan telah menulis buku "Toward an Islamic Reformation" (1989).

Abdullah mahu merombak cara berfikir umat Islam terhadap syariat. Syariat hanyalah ciptaan manusia. Ia tidak suci. Perlaksanaan hukum Islam hanya memberi impak counter-productive. Hukum-hukum Islam melanggar Hak Asasi Manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Abdullah terpengaruh kuat dengan orientalis Barat yang bencikan Islam iaitu antaranya Goldziher, Schacht dan Coulsan yang lama menyebut bahawa syariat Islam adalah ciptaan fuqaha selama 300 tahun. Abdullah juga turut bersetuju dan menyebut hal berkenaan.

Kumpulan Islam liberal menggunakan idea ini untuk menolak hukum Islam. Oleh itu Negara Islam pun tidak ada. Mereka sebenarnya gagal membezakan antara Syariat dan Fiqh, Qat'iyyat dan Ijtihadiyat, Thabat dan Mutangaiyirat dan sebagai dalam sistem Ilmu-ilmu Islam. Konsep Ijtihad dalam Islam membuka ruang untuk umat Islam menyusun keputusan baru menurut masalah-masalah semasa.Golongan Liberal ini tidak berminat berpegang kepada hadis nabi. Mereka mempertikaikan kesahihan hadis dan menolak otoritinya.

Di Malaysia kumpulan ini telah menolak hadis. Hadis menurut mereka hanyalah rakaman sejarah masa lalu. Ia boleh dibaca jika perlu. Sedangkan dalam Islam, Allah SWT telah memerintahkan hambanya taat kepada Tuhan melalui patuh kepada Al-Quran, turut dan patuh kepada Rasulullah SAW sebagai Nabi dan juga Rasul. Ijmak para ulamak juga telah diinstitusikan.

Kumpulan liberal ini menolak ijmak. Malah menurut mereka ijmak-ijmak itu adalah ijmak Pak Arab! Kebebasan berijtihad dan penolakan Otoriti Agama. Gologan Liberal ini menolak otoriti agama. Mereka menekankan kebebasan memberi dan menentukan fikiran. Apa pun permasalahan agama, semua orang berhak memberi pendapat. Semua orang boleh berijtihad. Otoriti agama hanya diada-adakan. Oleh itu ulamak pun tidak perlu.

Mereka merujuk kepada analisa-analisa orientalis-kristian, sebab mereka lebih pandai dan lebih kritis. Sedangkan dalam apa ilmu pun ada pakarnya. Dalam agama ada ulamak dan cendiakawan-cendiakawan Islam. Mereka bukan monopoli hal-hal Islam, tetapi ahli atau pakar.

LIBERALISMA-PLURALISMA DI ALAM MELAYU
Indonesia


Di Indonesia, gerakan Islam liberal ini sudah meluas. Ia diperjuang oleh para sarjana yang mendapat pendidikan Islam dan Institusi Pengajian Islam iaitu Institusi Agama Islam Negeri(IAIN), Universitas Islam Negeri (UIN), Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN), dan Sekolah Tinggi Agama Islam Swasta (STAIS). Mereka ini kebanyakan mendapat pendidikan tinggi agama Islam dalam Negara, Mesir, Ameriak dan Canada.

Bermula dengan Prof. Dr Harun Nasution, diikuti pula oleh Prof. Dr. Nurcholis Madjid yang pernah melancarkan gagasan sekularisasi untuk kemajuan umat, maka sekarang ini, sarjana-sarjana yang lebih junior memperjuangkan gagasan Islam liberal ini. Dari Liberalisme dan Pluralisme akhirnya mempelopori Islam Liberal. Terdapat ramai cendiakawan yang berlatarbelakang agama, mendukung Liberal-Plural ini.

Antaranya: Budhy Munawar Rachman, Alwi Shibab, Luthfi Assyaukanie (editor Jaringan Islam Liberal), Taufik Adnan Amal, Ahmad Baso, Khoirul Muqtafa, Munawar Rahman, Mahrus el-Mawa, Hamami Zada, Ala'i Nadjid(P), Umi Khusnul Khotimah(P), Sri Mulyati (P), Siti Musda Mulia (P), Marzuki Wahid, Abd A'la, Abd Rahman Wahid, Azyumadi Azra, Jalaluddin Rahmat, Nasamuddin Umar dan Ade Armanda.

Alwi Shibab (bekas Menteri Agama) menyatakan bahawa pluralisma agama sangat penting. Ia boleh pupuk hidup rukun damai. Alwi mengatakan syariat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu tidak menghapus syariat-syariat sebelumnya. Dakwanya Al-Quran itu mendukung pluralisma. Islam tidak hanya diperuntukkan kepada muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka yang percaya pada Tuhan sepanjang sejarah umat manusia.

Ini disebabkan oleh makna istilah ISLAM itu ialah berserah diri dan ini berlaku dalam semua agama. Jadi siapa sahaja yang menyerah diri pada Tuhan, bagaimana pun caranya, ia adalah Islam. Bukanlah orang Islam sahaja. Di Barat hal ini sudah lama terjadi. Idea ini pernah dikembangkan oleh Frithjof Schuon dan Syed Hosein Nasr. Mereka merujuk idea kesatuan seperti ini ditahap tinggi (The Transcendent Unity Of Religions) dan penekanan kepada agama Ibrahimiyyah.

Di Indonesia hal ini diaktifkan. Alwi terus menggunakan Al-Quran untuk mengukuhkan dakwaan beliau. Ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 al-Maidah dijadikan alasan mengukuhkan teori mereka.

Ayat ini bermaksud begini:

"Sesungguhnya orang yang beriman, orang-Yahudi, Sabi'in dan orang Nashara, barangsiapa yang beriman kepada Allah, hari kemudian, dan beramal soleh, maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati" (al-Maidah:69)
Pendapat Alwi Shihab dalam hal ini ada ditulis dalam bukunya Islam Inklusif: Prinsip lain yang digariskan oleh Al-Quran adalah pengakuan eksistensi beragama dan dengan begitu, layak memperolehi pahala dari Tuhan. Lagi-lagi prinsip ini memperkokoh idea mengenai pluralisma keagamaan dan menolak eksklusivisme.

Dalam pergertian lain, eksklusivisme keagamaan tidak sesuai dengan semangat Al-Quran, sebab Al-Quran tidak membeza-bezakan antara satu komunitas agama dengan lainnya. Prinsip ini digariskan oleh dua ayat Al-Quran,sebuah eksposisi yang jarang sekali terjadi sebuah ayat Al-Quran tampil dua kali dan hampir mirip kata per kata, yang mengatakan:

"Sesungguhnya mereka telah beriman, Yahudi, Kristian dan kaum Sabiin. Mereka yang percaya pada Tuhan dan hari akhirat dan berbuat kebaikan, akan menerima pahala dari Tuhan mereka. Mereka tidak akan rugi dan tidak akan berdukacita". (al-Baqarah : 62, al-Maidah : 69)

Prof Dr. Nurcholis Madjid.

Terdesak kepada masalah hubungan antara kaum dan agama yang menyesakkan di Indonesia, Nurcholis Madjid merujuk Al-Quran bagi mendapat jalan penyelesaian. Beliau telah merujuk kepada (surah al-Ankabut 29;46), al-Maidah 44,45,46,47,48,66 seterusnya al-Nahl 16;28 bagi mengesahkan bahawa memang Allah SWT cipta kepelbagaian dan semuanya, katanya (muslimuh), menggunakan pelbagai cara dan kaedah menuju Tuhan.
Dia amat yakin terhadap ketulinan kitab Taurat dan Injil hari ini Tulin/asli seperti yang benar-benar terjadi sewaktu diturunkan dahulu?

Kelihatan Nurcholis terlalu konfiden yang dua kitab itu serta suruhan-suruhannya itu asli dn tulin betul!. Soalnya apakah kita memiliki rekod catatan sebenar kitab-kitab sebelum Al-Quran itu? Akhirnya menurut beliau "Oleh kerana itu, mari kita sambut hari esok dengan kepala tegak, bibir tersenyum sambil menyapa tanah air yang kita cintai bersama-sama dengan lambaian kasih sejati.

Kita tunjukkan kepada dunia bahawa bangsa beradap, bangsa yang berperikemanusiaan dan berperikeadilan. Lupakan permusuhan dan pertikaian yang menganjal di dada. Hapuskan dendam dan kebencian yang tersimpan di hati. Tegakkan perdamaian abadi dalam kekudusannya". (Pendahuluan untuk buku Pluratitas AGAMA : Kerukunan dalam keagamaan. 2001. Jakarta. Kompas. 1-8) Editor : Nur Ahmad.Mengapa hal-hal yang menggugat aqidah ini bertapak di institusi pengajian Islam di Indonesia?

Hartono Ahmad Jaiz dalam bukunya Ada Pemurtadan di IAIN (2005) ada menyebut bahawa... "mengesakan Allah SWT, metodnya sudah ada tinggal mengikuti Rasulullah SAW. Pendidikan Islam hakikatnya adalah mengajak kepada Tauhid itu sendiri tidak diajarkan. Hanya ilmu kalam, yang itu termasuk dalam sejarah pemikiran Islam. Pada hal Tauhid inilah landasan paling utama. Bila landasannya ini salah, maka rosaklah agamanya".(xxxi)

Al-Quran sendiri pun diajar metod baru untuk tafsirnya. Cara baru itu disebut "hermeneutika" iaitu metod yang digunakan untuk tafsir Bible oleh pemikir Kristian. Metod ini diajar di Universitas Islam Negeri Jakarta dan IAIN Yogyakarta. Jika metod mengkritik Bible sudah diajar kepada Mahasiswa di IAIN, sudah tentu bertambah luaslah kritikan terhadap Al-Quran dan Rasulullah SAW, dan bertambah luaslah sikap ragu-ragu (skeptis) terhadap Al-Quran.

Al-Quran bukan lagi kalam Allah sebaliknya teks dari Muhammad SAW. Perkara-perkara pelik diamal di Indonesia.Prof Dr Nurcholis Majid, Prof di IAIN Jakarta, pengasas Yayasan Paramadina Jakarta, telah kahwinkan anaknya (perempuan), Nadia dengan lelaki Yahudi di Amerika pada 30 September 2001, tidak dengan Islam, tetapi akad universal iaitu anak manusia dan anak manusia.

Dr. Kautsar Azhari Noer, pensyarah IAIN Jakarta (kini UIN) menikahkan Ahmad Nurcholish (muslim) iaitu anggota pengurus YISC (Youth Islamic Study Club) Masjid al-Azhar, kebayoran Baru Jakarta dengan wanita kunghuchu Ang Mei Yong pada Ahad 8 Jun 2003.

Dr Zainun Kamal pensyarah UIN Jakarta telah menikahkan wanita muslimah Suri Anggteni Alias Fithri dengan lelaki Kristian Alfin Siagan di Hotel Kristal Pondok Indah Jakarta Selatan. Pengantin diberkati pendeta Kristian. Ijab qabul cara Islam. Dr. Zainun sendiri membimbing mereka.

Munawir Sjadzali, bekas menteri agama (1983-1993) memperjuang penyamaan bahagian waris harta antara lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita perlu sama banyak. Sedangkan Al-Quran jelas memperuntukan 1/3 untuk perempuan dan 2/3
untuk lelaki justeru tanggungjawab lelaki adalah diri sendiri dan tanggungannya.
Al-Quran menyebut (al-Nisa:11)

"Allah mensyariatkan bagimu tentang pembahagian pusaka anak-anakmu, iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua anak peremuan". (Al-Nisa:11).
Munawir mahu mengubahnya. Dr. Siti Masdah Mulia, pensyarah UIA Jakarta menyuarakan agar poligami diharamkan sebaliknya menghalalkan nikah berbeza agama.

Malaysia

Di Malaysia, apabila institusi-institusi agama, pihak berkuasa dan rakyat terbanyak masih kukuh pegangan agama, kumpulan minoriti ini tidak berani membuat pengisytiharan terbuka. Kerajaan sendiri mengambil berat dalam soal ini. Ada idea-idea yang menggambarkan mereka ada umpamanya Al-Quran mesti diolah semula. Tafsir Al-Quran banyak ditafsir oleh lelaki.

Perempuan perlu tafsir Al-Quran menurut cara berfikir wanita, poligami tidak lagi relevan, lelaki "superior" dalam keluarga juga sudah out-of-date. Hukum Faraid perlu penafsiran baru, sebab hukum itu lebih memihak kepada kepentingan lelaki. Mereka itu menggunakan medium tulisan khasnya dalam bahasa Inggeris untuk mengembangkan idea mereka.

Fokus mereka ialah golongan elit berpendidikan tinggi dan mahir berbahasa Inggeris mereka ini mempunyai jaringan dengan gerakan-gerakan luar negara. Mereka juga mengkritik Islam dengan membandingkan dengan gagasan hak asasi manusia.
Perlembagaan Negara pun dikritik khasnya hal-hal yang menyentuh Islam. Kumpulan Sister in Islam adalah pendukung kuat gerakan ini.

LIBERALISMA-PEMODENAN dan Warisan Mazhab Silam

Ada yang mendakwa liberalisme ini adalah juga pemodenan dalam Islam. Ini amatlah salah. Pemodenan fikiran Islam yang digerakkan oleh Muhd Abduh, Rashid Rida, Iqbal dan lain-lainnya bukan mahu menyoal keteoritian Al-Quran, Rasulullah SAW, Rukun Islam dan Rukun Iman. Mereka mahu aplikasi Islam dalam tuntutan dunia semasa supaya umat Islam maju tetapi bertolak dari gagasan Islam. Demikian mazhab Islam dahulu seperti jabariah Khawarij dan sebagainya.

Mereka juga mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan hadith tetapi tidak bertindak mengkritik otoriti Al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad SAW, hukum-hakam faraid dan sebagainya. Kumpulan Liberalisma ini sangat radikal. Mereka mahu menolak Al-Quran, Syariah, menyamakan akidah Islam dengan lain-lain agama, menentang superioriti lelaki ke atas wanita, menolak ketentuan faraid dalam Al-Quran dan lain-lain lagi. Gerakan kumpulan ini wajib dihapuskan.

APAKAH BAHAYANYA PADA ISLAM & MUSLIM

Konsep dan falsafah hidup manusia yang benar ditukar. Eksistensialisma etheis Barat yang dipopularkan oleh Jean-Paul-Sartre (1905-1980) menobatkan manusia begitu tinggi.
Menurut J.P.S tujuan dan objektif hidup manusia ditentukan oleh manusia sendiri bukan kitab-kitab agama. Tuhan tiada apa-apa peranan dalam kehidupan manusia. Manusia mempunyai kebebasan penuh untuk berbuat apa sahaja atas dunia ini.

Kebenaran itu subjektif dan relatif. Baik-buruk sesuatu itu manusia yang tentukan. Keputusan-keputusan yang baik adalah keputusan yang dibuat tanpa tekanan agama dan budaya. Maka tidak heranlah kepada masyarakat Barat kini budaya seks bebas, pornografi, homoseksual, bersekedudukan tanpa ikatan kahwin dan lain-lain dianggap sah dan boleh diamalkan.

Penghinaan Terhadap Al-Quran.

Al-Quran bukan lagi koleksi wahyu yang perlu diterima. Ia sudah jatuh tarafnya menjadi seperti buku-buku sastera yang boleh dikritik, diterima atau ditolak. Ia juga boleh dipijak dan diperlakukan sesuka hati seperti buku-buku teks sekolah.
Liberalisma mahu membuang syariah.

Mereka berpendapat syariat Islam banyak bertentangan dengan piagam hak asasi manusia dan tuntutan zaman moden. Oleh sebab ia tidak sesuai, maka ia perlu dirobah. Hukuman bagi penzina, pencuri dan lain tidak jelas dalam Al-Quran. Fuqaha juga membuat peraturan. Maka ia perlu ditukar. Tetapi Islam membuka pintu Ijtihad. Empat mazhab yang ada jelas unsur progresif yang diamalkan. Fiqh tidak jumud.

Tetapi mereka mahu ijtihad cara mereka bukan cara yang telah diinstitusikan dalam sejarah Islam. Aliran pemikiran Islam liberal adalah bertentangan dengan prinsip aqidah Islam. Pemikiran Islam liberal boleh menjadikan seorang Muslim menjadi murtad, kufur, syirik dan fasiq. Pokoknya ia berlawanan dengan doktrin Ahli sunnah Wa al-Jamaah.

Adalah jelas bahawa gerakan pemikiran Islam liberal telah mulai berhasil menimbulkan keraguan akidah dan seterusnya memecah-belahkan umat Islam seperti yang kini sedang berlaku di Indonesia sehingga Majlis Ulama Islam (MUI) di Indonesia telah mengeluarkan fatwa bahawa pemikiran Islam liberal itu adalah HARAM pada 25 Julai yang lalu.

Kehadiran Muslimin liberalis yang kini menjadi "celebrities" di dunia telah memberi peluang dan ruang untuk musuh-musuh Islam seperti Zionis,Buddha, Bahai, Sikh dan lain-lain menyusup masuk secara lansung dan tidak langsung bagi merialisasikan cita-cita jahat mereka untuk melemahkan status agama Islam dan masyarakatnya supaya terus terpinggir dari arus perdana masyarakat.

Golongan Muslim liberalis kini mendapat dokongan moral dan material dari pelbagai individu terutamanya dari dunia Barat. Ini dapat dilihat dari persidangan, seminar, bengkel yang dianjurkan di dunia Islam.

Di Malaysia, pada tahun 2003 telah diadakan satu persidangan antarabangsa mengenai Islam dan cabaran modeniti yang dinamakan KALIF. Dalam seminar tersebut telah dihadirkan ramai tokoh-tokoh liberal Muslim dengan tujuan untuk mempengaruhi inteligensia Muslim di Malaysia supaya bersikap kritis terhadap warisan Islam. (Al- turath al-Islami)

Atas nama "moderat Islam/Muslim", kehadiran Muslim liberal telah menyebabkan doktrin Islam yang syumul dalam world viewnya sebagai "ad-din" sedang diturunkan statusnya untuk menjadi agama sivil atau agama peribadi semata-mata. Konsep "moderat" tidak lagi diukur dengan skala Al-Quran dan al-Sunnah yang hakiki seperti konsep kaitannya dengan keadilan (ummatan wasatan).

Pada masa ini beberapa konsep dan institusi asas Islam serta pemeluknya seperti jihad, syariat, dakwah, madrasah dan sebagainya sedang dicairkan dengan Islam dalam bijaksana Barat seperti Islam Amerika. Justeru, terlalu banyak "think-tank" Barat yang mengakui tentang Islam seperti projek Rand Corporation, SIM di Leiden, Belanda, Insitut Brooke, Washington. D.C dan yang lain-lain.

Mutakhir ini masyarakat bukan Muslim di Malaysia dan di lain-lain tempat semakin berani melontarkan fikiran mereka mengenai agama Islam termasuklah mempersoalkan kewibawaan Majlis Fatwa Kebangsaan dan otoriti ulama.

Gagasan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama-Agama(IRC) adalah satu usaha nekad pimpinan bukan Islam untuk mencari jalan melemahkan status Islam dan umat di Malaysia ketika umat Islam kuat mengukuhkan diri mereka dengan identiti Islam bagi menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang semakin menyemarak.

Di Malaysia, beberapa NGO, antaranya, Sister In Islam, adalah antara pendukung Islam liberal yang kuat mempromosikan isu kesetaraan kaum jenis lelaki dan perempuan. Ia mendapat dokongan moral dari beberapa figure politik nasional dan media massa serta begitu akrab jaringannya beberapa agensi di dunia Barat. (Dr. Muhammad Nur Manuty. 2005. Kertas kerja: "IDEA-IDEA ISLAM LIBERAL" yang dibentang di wacana bulanan YPU dengan kerjasama Y3K (Kelantan) di PJ pada 2 Sept 2005).

Nota: Memetik kertas kerja Prof. Madya Dr. Idris bin Zakaria, bertajuk ANCAMAN DAN TENTANGAN TERHADAP ISLAM dan MUSLIM; TUMPUAN KES: Liberalisma / Pluralisma.(Sebuah catatan ringkas) Prof", di seminar Ancaman Akidah di ILP, Seberang Perai Selatan, pada 23 Sept. 2006. Kertas kerja ini diterbitkan semula oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Suara Politik
Taminsari

8 ulasan:

Tai berkata...

Taminsari, suatu artikal yang penuh berinformasi.

Ali Abdullah berkata...

PAS beriya-iya hendakkan hak samarata sesama kaum. Mereka menyanjung penuh perjuangan DAP sehingga menghina kaum sendiri dengan menuduh UMNO sebagai pengamal perkauman di negara kita. Jika istilah hak samarata yang diperjuangkan oleh gabungan Pakatan Rakyat itu merangkumi semua aspek daripada status taraf hak warganegara apakah PAS juga sedar bahawa DAP sebenarnya memperjuangkan hak samarata dalam agama? Apakah mereka tidak melihat perkara ini? Malang sungguh para guru yang begitu komited hendak menjatuhkan musuh tradisi tanpa melihat kepada kesan dan akibat daripada perbuatan mereka itu. Sememangnya islam itu pasti terancam apabila golongan cerdik pandainya sudah terlalu mementingkan politik daripada mempertahankannya.

Tanpa Nama berkata...

paskum. saya nak petik artikel anda mengenai ancaman baru islam di Malaysia untuk blog saya. untuk pelajar sarjana 2009. bolehkan? Kami sedang belajar dan ia ada kaitan.

USD berkata...

Salam, gereja kempen petition online guna kalimah Allah! - Tuan, ini pun ancaman juga.
Tp apa nak kata, Tok Guru dan PAS pun kata boleh, PKR lagilah boleh!

Taminsari berkata...

Assalamualaiku dan Salam sejahtera...

Terima kasih Sdr.Sedingin Salju.

Apai Ngelai : Lama tak dengan ulasan dari Apai. Saya pun tak tahu mengapa Pas begitu berdendam dengan UMNO? Padahal UMNO juga berjuang demi Ugama, Bangsa dan Negara. Bila menyebut tentang ugama, orang UMNO dan Pas bersembahyang mengikut kiblat yang sama, nawaitu yang sama ,sujud pada Tuhan ( Allah SWT ) yang sama, tetapi mengapa mereka masih begitu berdendam dengan UMNO. Mengambil orang kafir ( yg memang bencikan Islam )sebagai teman sebantal, sedangkan kawan yang "halal" ditinggalkan. Adakah Pas dapat menegakkan Islam jika berkawan dengan kafir DAP dan sesetengah kafir dalam PKR yang kuat menentang Islam ( IFC ) sehinggakan Husam Musa berkata semasa kewujudan Pakatan Rakyat yang Islam hanyalah Idealisme bagi Pas. Kalau setakat Islam sebagai idealisme, bagaimana pula dengan UMNO yang dianggap KAFIR oleh Pas kerana berkawan dengan MCA & MIC? Tidak kah UMNO begitu konsisten menegakkan syiar Islam dari sejak merdeka sehinggalah sekarang.

Ambil contoh Tabung Haji. Apa tujuan tabung haji diwujudkan? Bukankah untuk kemudahan umat Islam Malaysia mengerjakan haji ke Mekah sehingga Tabung Haji diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai badan pengurusan haji yang paling efisyen. Banyak kemudahan dan kelonggaran yang telah diberikan kepada jemaah haji Malaysia sehinggakan mereka dikecualikan dari pemeriksaan visa jika turun di Madinah?

Ini tidak masuk lagi Universiti Islam Antarabangsa,Bank Islam dan sistem perbankkan Islam yang sudah menjadi ikutan bagi bank-bank konvensional serta lain-lain lagi.

Jadi apa sebenarnya yang Pas mahukan? Nak dirikan negara Islam sudah tak berdaya lagi kerana ditekan oleh DAP. Tok Guru Nik Aziz pernah berkata dalam Islam tidak ada keistimewaan kaum, bermakna Pas juga menolak hak-hak keistimewaan Melayu dan disebabkan oleh itu kafir-kafir didalam PR mengambil kesempatan ini untuk mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu.

Ustaz Hadi pula menyokong Gagasan Malaysia yang konsepnya sama dengan Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh DAP yang menuntut hak samarata antara semua kaum di Malaysia. Apa yang Apai katakan adalah betul. Jika istilah hak samarata yang diperjuangkan oleh gabungan Pakatan Rakyat itu merangkumi semua aspek daripada status taraf hak warganegara apakah PAS juga sedar bahawa DAP sebenarnya memperjuangkan hak samarata dalam agama?

Tetapi apakan daya, beginilah jadinya apabila ugama dijadikan mangsa untuk kepentingan politik. Saudara sesama Islam ditentang, diherdik sehinggakan Raja-raja Melayu juga di hina. Kuasa adalah lebih penting dari segala-galanya sehingga sanggup melupakan tujuan asal pembentukan Pas iaitu perjuangan untuk menegakkan negara Islam cara Pas? Kita diberikan akal yang waras untuk berfikir bagi menentukan yang mana baik dan yang mana buruk. Terserahlah kepada diri kita sendiri untuk menentukan hala tuju kehidupan kita dan anak-anak kita. Wallahuallam.

Buat Arifomar : Jika saudara rasa artikel ini boleh membantu sebagai rujukan untuk tesis saudara, sila gunakan. Tak ada masalah bagi saya.

Buat ustazSAID : Saya dah dapat agak perkara ini akan berlaku. Sesungguhnya mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai hajat mereka. Dewan Ulama Pas, Tok Guru Nik Aziz dan Anwar dah bagi "lampu hijau", maka semakin naiklah lagi tochang mereka. Alhamdulillah KDN sudah menarik semula kebenaran membenarkan bahasa Malaysia dan kalimah Allah digunakan oleh pihak gereja. Mudah-mudahan pengharaman ini dapat dikekalkan sampai bila-bila. InsyaAllah.

Salam perjuangan

torashah berkata...

Salam Tamin

Bolehkah orang Islam jadi liberal?

Oleh : Wan Saiful Wan Jan

Saya sering ditanya oleh rakan-rakan dua soalan: "Bolehkah orang Islam jadi liberal?" dan "Bagaimana mungkin seorang ahli PAS menyokong fahaman liberal? Bukankah Islam itu sudah lengkap?"

Kedua-dua soalan ini menunjukan betapa ramai yang terkeliru dengan maksud perkataan ‘liberal’.

Tidak mudah untuk menghurai kekeliruan mengenai fahaman liberalisme. Namun, dalam artikel pendek ini, saya akan cuba menjelaskan erti liberalisme yang saya fahami dan kenapa saya tidak nampak percanggahan antara akidah Islam dan juga fahaman liberal.

Sebelum itu, saya perlu membuat satu penjelasan yang penting. Perkataan ‘liberal’ kerapkali disalahgunakan hinggakan penggunaannya kadangkala lari daripada maksud sebenarnya.

Di Amerika Syarikat, perkataan liberal telah dicuri oleh mereka yang menyokong campur tangan kerajaan dalam hal-ehwal peribadi rakyat (contohnya Parti Demokrat).

Di Malaysia pula, jika disebut sahaja perkataan ‘liberal’, maka biasanya yang datang dalam fikiran ialah ‘Islam liberal’.

Saya tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok ini. Saya seorang yang berpegang dengan falsafah liberalisme klasik, atau di Amerika, biasanya ia dipanggil falsafah libertarianisme.

Untuk mengelak lebih banyak salah faham, maka saya akan menggunakan perkataan libertarian dalam artikel ini.

Kedaulatan undang-undang

Liberalisme klasik atau libertarianisme bukan satu falsafah baru. Prinsip asas libertarianisme ialah keyakinan terhadap adanya satu “peraturan tertinggi” dan prinsip ini boleh dikesan dalam falsafah lama Yahudi dan Greek purba.

Prinsip ini bermaksud semua manusia, daripada pemerintah kepada yang diperintah, tertakluk kepada sebuah peraturan yang sama.

Kedatangan Islam pula telah mengukuhkan keyakinan terhadap prinsip “peraturan tertinggi” yang diteroka sejak sebelum zaman Nabi Musa lagi.

Malahan Islam dengan jelas mengajar bahawa mereka yang berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk memaksa rakyat mengikut telunjuk mereka. Pemerintah juga tertakluk kepada undang-undang.

Libertarianisme tidak menyeru kepada pemansuhan atau pengabaian terhadap peraturan dan undang-undang. Sebaliknya, libertarianisme adalah satu panggilan agar semua manusia mematuhi undang-undang yang sama tanpa pengecualian kerana wujudnya kedaulatan undang-undang.

Konsep ini adalah perlindungan terbaik daripada kediktatoran dan totalitarianisme. Jika tidak wujud kedaulatan undang-undang, maka yang berdaulat adalah manusia.

Perampasan kedaulatan undang-undang oleh segelintir manusia yang memerintah akan membolehkan mereka memaksa rakyat hidup mengikut telunjuk mereka.

Sekiranya prinsip asas libertarianisme ini tidak dihiraukan, maka akan wujudlah totalitarianisme seperti di negara-negara komunis dan fasis yang pastinya tidak Islamik.

Kerajaan terhad

Pemerintah mempunyai kuasa untuk memaksa masyarakat bawahan tunduk kepada mereka dengan menggunakan akta-akta parlimen, peraturan, undang-undang, tentera, polis dan sebagainya.

Pendek kata, wujud ketidaksamarataan kuasa antara rakyat dengan pemerintah.

Untuk memastikan pemerintah tidak menyalahgunakan kuasa mereka, maka kuasa kerajaan perlu dihadkan. Tanpa had yang jelas, kerajaan berkuasa penuh untuk meluluskan undang-undang dan akta-akta yang mengongkong kehidupan manusia, seterusnya melahirkan satu sistem yang tidak ubah seperti kediktatoran.

Prinsip kerajaan terhad ini juga satu prinsip yang penting dalam libertarianisme.

Kuasa kerajaan terhasil daripada amanah yang diberikan oleh rakyat. Tetapi kerajaan boleh menjadi terlalu berkuasa sehingga ia mencengkam dan membahayakan rakyat itu sendiri terutamanya apabila kerajaan meluluskan peraturan-peraturan yang memaksa rakyat taat dan patuh kepada mereka.

Untuk menghadkan kuasa kerajaan dan menghalang mereka daripada menjadi diktator, maka negara-negara biasanya mempunyai perlembagaan yang memperincikan dan memperjelaskan sempadan antara hak kerajaan dan hak rakyat.

Sebagai seorang Muslim, saya menentang sepenuhnya konsep kediktatoran dan pemusatan kuasa. Islam tidak mempunyai kuasa pentadbiran berpusat dan dengan itu Islam mempertanggungjawabkan penganutnya untuk memilih cara hidup yang terbaik, dan menganjurkan agar penganutnya menuntut ilmu agar mereka boleh membuat keputusan yang tepat.

Inilah sebabnya saya juga yakin bahawa pemerintah mestilah memperkuasakan rakyat untuk membuat keputusan yang terbaik dan tidak memaksa rakyat patuh kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pemerintah sahaja.

Individu merdeka

Apabila kuasa sesebuah kerajaan dihadkan, maka setiap individu rakyat menjadi merdeka untuk memilih apa yang terbaik dalam kehidupan mereka selagi mana mereka tidak melakukan keburukan terhadap orang lain.

Libertarianisme melihat individu sebagai elemen paling asas dalam masyarakat kerana perkumpulan individu-individu inilah yang akhirnya membentuk sesebuah masyarakat. Setiap individu merdeka boleh memilih apa yang terbaik untuk mereka, berdasarkan pengetahun mereka sendiri.

Prinsip individu merdeka ini selaras dengan keyakinan kita bahawa Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia agar seseorang Muslim itu boleh menghambakan diri kepada Allah semata-mata.

Menafikan kemerdekaan individu seolah-olah menafikan satu anugerah yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Sebagai seorang Muslim, saya melihat mereka yang memperhambakan manusia lain seolah-olah cuba merampas tempat Allah dalam kehidupan manusia.

Setiap individu mestilah menghormati maruah individu lain tanpa mengira agama, bangsa atau jantina mereka – maksudnya, kita perlu menghormati perbezaan antara satu individu dengan individu lain.

Konsep individu merdeka juga bermaksud setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain, dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain.

Paling penting, konsep individu merdeka bermaksud kerajaan tidak boleh masuk campur dalam hal-hal peribadi seseorang rakyat. Selagi mana individu tersebut tidak melakukan keburukan terhadap orang lain, selagi itulah kerajaan tidak boleh masuk campur.

Pasaran bebas

Memang diketahui umum bahawa seorang libertarian biasanya menyokong pasaran bebas. Tetapi terdapat banyak salah faham mengenai sebab kami menyokong pasaran bebas.

Terdapat dakwaan bahawa kami menyokong pasaran bebas kerana kami tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan kami mahu membiarkan wujudnya jurang antara kaya dan miskin. Tuduhan liar ini salah sama sekali.

Sebenarnya libertarian menyokong pasaran bebas kerana hanya sistem ini sahajalah yang boleh menjamin maruah individu dihormati. Pasaran bebas membolehkan setiap individu memilih sendiri barangan dan perkhidmatan menggunakan akal yang diberikan oleh Tuhan.

Penafian kebolehan setiap individu untuk berfikir sendiri seolah-olah menyatakan bahawa mereka itu semuanya bodoh kerana tidak boleh berfikir sendiri. Menyekat pilihan di pasaran seolah-olah menafikan anugerah akal pemberian Tuhan kepada manusia.

Tidak ada penghinaan yang lebih besar terhadap maruah seseorang manusia selain itu.

Sesetengah pihak, terutamanya golongan sosialis, suka berhujah bahawa kerajaan perlu memastikan kesamarataan dalam masyarakat. Mereka ini salah dari dua sudut.

Pertama, sebagai seorang Muslim, saya percaya bahawa Tuhan telah menciptakan kita semuanya sama rata. Ini lebih penting daripada apa-apa usaha kerajaan untuk mewujudkan kesamarataan ekonomi, terutamanya jika usaha kerajaan tersebut membayangkan seolah-olah Allah tidak memberikan saya akal untuk membuat keputusan sendiri.

Kedua, kita boleh melihat sendiri betapa setiap kali kerajaan cuba mewujudkan kesamarataan ekonomi, hasilnya adalah lebih banyak ketidaksamarataan. Contohnya, lihat sahaja Dasar Ekonomi Baru di Malaysia.

Setelah berpuluh-puluh tahun kerajaan cuba memaksa rakyat menjadi sama rata, adakah usaha tersebut berjaya?

Sebab itulah saya bingung apabila mendengar ahli-ahli politik berkata bahawa mereka mahu membetulkan kegagalan kerajaan melalui lebih banyak campur tangan kerajaan dalam kehidupan rakyat, kali ini dengan cara mewujudkan negara kebajikan.

Adakah kita mahu jatuh dalam lubang yang sama buat kali kedua?

Bolehkah menjadi libertarian?

Sebagai seorang Muslim, saya sering mengimbau sejarah umat Islam terdahulu dan bagaimana mereka membina tamadun yang masyhur tanpa banyak bergantung kepada sogokan kerajaan.

Pada masa itu setiap manusia, baik pemerintah mahupun yang diperintah, tertakluk kepada undang-undang yang sama. Setiap Muslim bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing. Kerajaan pada masa itu lebih banyak berperanan dalam bidang pertahanan dan keamanan.

Umat Islam pada waktu itu merupakan pedagang yang berjaya dan mereka beroperasi dalam sistem pasaran global yang bebas. Rasulullah dan isteri baginda merupakan peniaga-peniaga yang berjaya.

Ramai sahabat baginda yang turut menjadi kaya-raya hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka semuanya beroperasi dalam sistem pasaran dunia yang terbuka. Malahan, kerajaan pada zaman awal kegemilangan Islam tidak campur tangan dalam urusan pendidikan, kesihatan mahupun pengurusan masjid.

Semuanya diuruskan sendiri oleh rakyat, biasanya melalui sistem wakaf. Hasilnya, masjid-masjid, pusat-pusat pengajian, dan juga banyak lagi perkhidmatan awam, dapat berfungsi dengan cemerlang demi kebaikan rakyat, tanpa sebarang gangguan politik.

Saya berkeyakinan bahawa itulah model terbaik untuk Malaysia.

Falsafah libertarianisme mendukung kedaulatan undang-undang dan sistem pasaran bebas, menyeru agar kuasa pemerintah dihadkan, dan menuntut agar manusia dimerdekakan daripada penghambaan sesama manusia supaya tidak ada manusia lain yang boleh merompak kedudukan Tuhan dalam kehidupan kita.

Sebagai seorang Muslim, bolehkah saya menentang semua ini?


Wan Saiful Wan Jan ialah ketua pengarah kumpulan pemikir Malaysia Think Tank di London

Kallakucha berkata...

Assalamualaikum Taminsari,

Saya cukup tertarik dengan ulasan komen anda di blog rajahmas berkaitan topik PPSMI seperti yang berikut;
http://rajahmas.blogspot.com/2009/03/ppsmi-perlukan-ideologi-toleransi-untuk.html

Untuk makluman saudara saya telah mengambil post komen saudara itu sebagai Artikel di blog saya di;

http://samikna.blogspot.com/

Saya juga telah meletakkan link saudara di bahagian bawah artikel tersebut untuk rujukan para pelayar di laman blog saya.

Saya harap artikel penerangan seperti yang saudara buat itu cukup bernilai untuk disebarkan buat tatapan umum.

Terima kasih.

Taminsari berkata...

Salam Sdr.Kalakucha..

Terimakasih kerana sudi menggunakan ulasan saya sebagai artikel diblog saudara. Silakan dan mudah-mudahan rakyat dapat menilai siapa PAS yang sebenarnya.
Mereka cukup cekap dengan kerja-kerja sebegini apabila ketandusan isu?
Wallahuallam.

Salam perjuangan..