Selasa, November 11, 2008

Melayu Perlu Matang Dalam Politik!

Pada pilihanraya umum 1969, lima buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah jatuh kepada pembangkang. Kelantan jatuh kepada Pas, Pulau Pinang jatuh ke Gerakan ( pembangkang ) manakala Perak, Selangor dan Negeri Sembilan jatuh kepada DAP.
Di peringkat Parlimen pula, orang Melayu ( UMNO dan Pas ) hanya memenangi 53 kerusi dari 144 kerusi dengan jumlah undi hanya 44.3%. Walaupun parti Perikatan ketika itu masih juga menguasai Parlimen dan kerajaan tetapi pada hakikatnya orang Melayu melalui UMNO sudah tidak berkuasa lagi. Kuasa tawar menawar ( bargaining power ) sudah luput. Pada hakikatnya juga, Perdana Menteri bukan lagi orang Melayu.

Orang-orang bukan Melayu khususnya Cina dan India merasakan bahawa mereka telah berjaya menguasai negara ini. Maka itu satu perarakan kemenangan ( victory parade ) telah diadakan. Di dalam perarakan itu, mereka telah menghina dan mencaci maki orang-orang Melayu dan menyuruh orang Melayu masuk hutan kerana negara ini kini milik mereka. Kata-kata dan perbuatan penghinaan ini telah membuatkan orang-orang Melayu bertindak balas dengan mengadakan pula satu perarakan. Akhirnya berlakulah pergaduhan antara kaum dan tercetuslah Peristiwa 13 Mei 1969 itu.

Pergaduhan antara kaum ini mengorbankan begitu banyak nyawa dan harta benda. Jika dibiarkan ia pasti meranapkan negara dan sia-sialah nanti perjuangan dan pengorbanan datuk nenek orang Melayu di dalam menuntut kemerdekaan dahulu. Atas perkenan DYMM Paduka Agong, Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara ( MAGERAN ) ditubuhkan untuk mentadbir negara. Pengerusinya adalah Tun Abdul Razak.

Tujuan utama MAGERAN ditubuhkan ialah untuk mengembalikan kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara. Namun begitu, MAGERAN telah mendapat tentangan dan kecaman dari media Barat terutama British ( yang telah meletakkan syarat untuk kembali jika berlaku pergaduhan kaum dalam tempoh 10 tahun ). Tentangan kuat juga datangnya dari DAP, PEKEMAS, PSRM dan Gerakan. Lebih malang lagi terdapat juga sebahagian pelajar-pelajar Melayu yang telah menentang MAGERAN padahal ia adalah untuk menyelamatkan Melayu.

Akibat dari Peristiwa 13 Mei 1969 itu, lahirlah Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) pada tahun 1970. DEB bermaksud untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat tanpa pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Syarat-syarat kemasukan ke universiti kepada pelajar-pelajar Melayu telah dilonggarkan.

Maka didirikanlah USM, UKM, UPM, ITM ( UiTM ) dan UTM. Dipenuhkanlah pula dengan pelajar-pelajar Melayu. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditubuhkan dan penuhlah jabatan-jabatan kerajaan dengan orang-orang Melayu. Diperkenalkanlah pula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di mana Menteri Pelajaran berkuasa untuk melantik Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan Dekan. Ini semua bagi mempastikan nasib bangsa Melayu terbela dan hak mereka tidak terabai.

Persoalannya kini ialah apakah kuasa seperti MAGERAN itu dapat dipertahankan? MAGERAN itu sendiri sudah tiada, tetapi kuasa semasa MAGERAN dapat kita terus miliki jikalau orang Melayu bijak dan matang berpolitik. Ingatlah, kestabilan dan kemakmuran negara boleh diganggu gugat bukan sahaja oleh orang asing tetapi juga oleh orang Melayu sendiri. Kita renung kembali sejarah dan berdoa semuga tidak ada lagi orang Melayu yang cuba musnahkan Melayu, ibarat gunting dalam lipatan.

Taminsari
Shah Alam

Tiada ulasan: