Jumaat, November 21, 2008

MB Perak Takutkan Utusan Malaysia Atau Bayang-Bayang Sendiri!

Agak pelik juga apabila hampir kesemua pemimpin Pakatan Rakyat ( PR ) sangat sensitif dengan kehadiran wartawan Utusan Malaysia setiap kali sidang akhbar diadakan. Terutama sekali dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Setiap kali sebelum ditemuramah beliau akan memastikan tidak ada wartawan dari Utusan Malaysia didalam sidang akhbar beliau. Beberapa kali Anwar bertindak menghalang wartawan Utusan Malaysia sehingga mengarahkan ahli-ahli PR memboikot Utusan Malaysia. Entah apa yang ditakutkan Anwar sehingga menjadi fobia dengan Utusan Malaysia?

Dan terbaru penyakit “ fobiarisme “ telah berjangkit kepada seorang lagi pemimpin PR di Perak. Beliau telah dinobatkan menjadi MB Perak setelah Pas mementerai Perjanjian Pangkor 2 dengan DAP Perak. Kebenaran tentang Perjanjian Pangkor 2 itu terserlah apabila kebanyakan keputusan yang di buat oleh MB Mohd.Nizar dibayangi oleh pemimpin-pemimpin Exco Perak yang kebanyakan adalah ahli DAP. Walaupun beliau menafikan wujudnya perjanjian itu, tetapi rakyat negeri Perak bukannya begitu bodoh untuk membuat penilaian. Dalam erti kata lain MB Mohd. Nizar adalah MB boneka kepada DAP di Perak.

Disebabkan beliau terikut-ikut dengan sikap Anwar memboikot Utusan Malaysia, maka beliau pun mengambil tindakan yang sama dengan melarang pejabat SUK Perak dari melanggan akhbar Utusan Malaysia. Dan yang terbaru apabila beliau bertindak di luar dugaan dengan memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika majlis penyerahan surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Tindakan kasar MB Mohd.Nizar terhadap jurugambar Utusan Malaysia menunjukkan sikap sebenar contoh kepribadian beliau. Rakyat negeri Perak menyifatkan tindakan tersebut adalah di luar kewajaran apatah lagi prinsip kebebasan media yang sering dilaungkan oleh Pakatan Rakyat selama ini.

Mengapa MB Mohd Nizar begitu fobia dengan kehadiran Utusan Malaysia? Adakah beliau takut dengan bayang-bayangnya sendiri sehingga bertindak keterlaluan atau cuba menyembunyikan sesuatu? Banyak keputusan yang dibuat oleh beliau semenjak memerintah negeri Perak telah menjadi suatu isu ataupun kontroversi yang mana kebanyakan isu-isu ini disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Mungkin disebabkan oleh perkara-perkara inilah beliau begitu anti ataupun marah dengan akhbar Utusan Malaysia. Beliau menuduh Utusan Malaysia menyiarkan berita yang berat sebelah terhadap kerajaan pimpinannya.

Dalam kejadian itu, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..". Selepas meminta jurugambar Mohd. Najib keluar, MB Mohd Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib. "Woi, mari sini. Saya nak ' memory card ' kamera tu," katanya. Walaupun beliau tidak menyukai Utusan Malaysia, beliau seharusnya memahami tugas dan tanggungjawab seorang jurugambar biarpun beliau tidak selesa atau tidak suka dengan senario tertentu.

Kalau marahkan nyamuk, jangan sampai kelambu dibakar. Kalau marah sekalipun dengan Utusan Malaysia tak payahlah merampas kamera jurugambar Utusan Malaysia dengan mengeluarkan kata-kata yang agak kasar. MB Mohd. Nizar sepatutnya menunjukkan sahsiah dan budi pekerti yang mulia sebagai tauladan kepada rakyat khususnya pengikut dan penyokong parti terbabit. Bukan bertindak kasar seperti itu. Orang Melayu Islam terkenal dengan adat dan budi bahasa.

Adakah kerana kuasa dan jawatan yang disandang hari ini menyebabkan budi bahasanya luntur. Agak mengecewakan seorang yang digelar Ustaz oleh penyokong-penyokongnya boleh bertindak sedemikian. Cara tindakan kasar terhadap wartawan ini sebenarnya mencerminkan sikap hipokrit MB Mohd Nizar yang akan dinilai oleh rakyat negeri Perak.

MB Mohd. Nizar perlu ingat kalau tidak disebabkan perlembagaan yang mengatakan hanya orang Islam dan Melayu sahaja layak menjadi MB Perak, beliau tidak berpeluang langsung untuk menikmati jawatan itu sekarang. Kini apabila diberi kuasa yang sedikit, jelas menggambar Nizar seorang yang angkuh dan lupa diri bahawa kemenangan Pakatan Pembangkang di Perak hanya dengan kelebihan 2 kerusi sahaja berbanding Barisan Nasional (BN) dan kerajaan mereka boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja.

Taminsari
Shah Alam

Tiada ulasan: