Jumaat, Oktober 31, 2008

Masalah Sebenar Kaum India di Malaysia

Negara dikejutkan dengan kematian mendiang Tan Sri M.G.Pandithan pada bulan April yang lalu. Jasa M.G.Pandithan akan tetap dikenang dan diingati disanubari seluruh rakyat berketurunan India yang berpendapatan rendah ( bawahan ) yang menganggap mendiang sebagai " Pejuang Rakyat " bagi mereka. Walaupun keadaan kesihatan M.G.Pandithan tidak berapa mengizinkan sebelum itu, namun mendiang tetap teguh berdiri di belakang Barisan Nasional terutamanya samasa PRU ke-12 yang lepas walaupun parti IPF yang dipimpin oleh mendiang bukanlah parti komponen Barisan Nasional. Satu pendirian yang mana saya rasa harus dihormati oleh semua parti-parti politik di Malaysia

Semasa hayat, M.G.Pandithan dilihat begitu gigih cuba merapatkan jurang antara kaum India yang berpendapatan rendah dengan golongan pertengahan dan atasan didalam masyarakat itu. Semasa didalam MIC sehingga digugurkan dan kemudian menubuhkan parti IPF, mendiang tetap konsisten memperjuangkan nasib kaum India yang berpendapatan rendah tanpa rasa jemu dan putus asa. M.G.Pandithan dan IPF berdiri teguh dibelakang Barisan Nasional didalam setiap pilihanraya walaupun IPF bukanlah parti komponen BN. Walau pun ada usaha-usaha M.G.Pandithan untuk membawa IPF menyertai Barisan Nasional, namun ianya ditentang keras oleh MIC. Seperti mana yang kita tahu memang terdapat jurang yang besar diantara MIC dan IPF. Perbezaan ketara antara golongan atasan dan bawahan. Kalau kita imbas kembali kepada keputusan PRU ke-12 yang lalu, terdapat ramai dikalangan ahli-ahli IPF yang mengundi parti pembangkang untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada MIC dan bukan nya BN. Ini diakui sendiri oleh ahli IPF di Teluk Intan, Perak selepas tamat pilihanraya. Walaupun terdapat sedikit kelembutan sejak akhir-akhir ini dari MIC untuk berbaik-baik dengan IPF, namun ianya masih tidak dapat direlisasikan lagi.

Disini sebenarnya masalah kaum India dinegara kita. Masih lagi terdapat " jurang yang besar " sesama mereka. Dalam erti kata lain masyarakat India di Malaysia masih kuat lagi mengamalkan apa yang dikatakan " amalan sistem kasta " sepertimana yang masih diamalkan lagi di negara India itu sendiri. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan sederhana atau tinggi ( kasta atasan ) berinteraksi dengan golongan bawahan ini ( berpendapatan rendah ). Golongan atasan pada kebiasaan akan memandang rendah akan golongan bertaraf rendah ( bawahan ). Sebab itu mendiang Tan Sri Pandithan sentiasa berusaha keras cuba merapatkan jurang perbezaan ini. MIC mewakili kaum India manakala IPF juga mewakili kaum yang sama. Cuma yang berbeza adalah " darjat ". MIC sepatutnya boleh menerima ahli-ahli IPF menjadi ahli mereka jika mereka memikirkan untuk mendapat sokongan dan menambah kekuatan parti dari kaum India, tetapi sebaliknya tidak. Apabila IPF memohon untuk menjadi komponen Barisan Nasional, mereka membantah. Yang menjadi batu penghalangnya adalah amalan kasta atau darjat ini.

Tan Sri Pandithan cuba meleraikan " batu halangan " ini telah menjadi amalan bagi kaum India di Malaysia sejak turun temurun, tetapi usaha mendiang dipandang sepi oleh ketua-ketua masyarakat India. Walaupun kaum India mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang 2 juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin kaum India tidak boleh duduk semeja untuk berbincang.

Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh orang-orang India seperti ketua-ketua masyarakatnya. Dato' Sri Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau didalam kabinet. Malangnya, masalah yang terbesar dikalangan pemimpin-pemimpin India adalah kerana mereka tidak boleh bersatu. Mereka bertelagah sesama sendiri. Yang menjadi mangsa adalah Barisan Nasional dan UMNO. Orang Melayu dan UMNO tentu masih ingat apa yang dituntut oleh kumpulan Hindraf. Mereka menuduh BN yang ditunjangi oleh UMNO menindas kaum India di Malaysia. Mereka mengatakan yang UMNO dan BN tidak membantu untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat India. Apabila masalah dalaman mereka tidak boleh diatasi oleh mereka sendiri, pada masa yang sama mereka cuba menuding jari dengan menyalahkan UMNO dan BN gagal membantu mereka.

Walaupun terdapat ramai dikalangan kaum India yang sudah berjaya menjadi kaya, menjadi golongan professional seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain lagi, mereka gagal bersatu untuk membantu kaum India yang hidup dibawah paras kemiskinan ataupun kemiskinan tegar. Mereka tiada persatuan-persatuan kebajikan yang boleh menolong dan mengurangkan beban golongan yang miskin. Kalau adapun tak banyak. Masing-masing ego dengan kekayaan atau kepandaian masing-masing. Lebih-lebih lagi jika ada diantara mereka yang terdiri dari golongan atasan.

Sebab itu kita boleh lihat dimana yang kaya dari golongan berdarjat tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan berdarjat rendah atau bawahan akan menjadi bertambah miskin. Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri. Selagi ikatan " darjat atau kasta " ini tidak terlerai, selagi itu lah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah-masalah lain kerana dikalangan orang-orang India sendiri tidak bersatu. " Sistem kasta " inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan atau duri dalam daging kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri.

Mungkin diatas sebab-sebab inilah Tan Sri Pandithan bertindak keluar dari parti MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin dikalangan penduduk keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet diseluruh negara. Sesungguhnya kehilangan mendiang Tan Sri Pandithan akan diratapi oleh seluruh masyarakat India yang berpendapatan rendah dan golongan bawahan di Malaysia. Menurut bekas Naib Presiden MIC itu, beliau akan menghembuskan nafas terakhirnya sebagai ahli IPF dan terus berjuang untuk mempertabatkan golongan-golongan kaum masyarakat India bawahan.

Antara kata-kata M.G.Pandithan semasa di perhimpunan Agung IPF tidak lama dulu ketika menjemput Dato' Sri Samy Vellu merasmikan Mesyuarat Agung IPF selepas 20 tahun meninggalkan MIC. '' Saya akan berjuang dalam IPF sehingga ke akhir titisan darah saya. Ada pihak berkata Pandithan akan menjual parti, membubarkan IPF setelah kembali berdamai dengan Samy Vellu. Ini semua tidak benar. '' Hari ini saya jawab kesemua tuduhan yang dilemparkan ke atas saya. Pandithan akan mati sebagai ahli IPF dan tidak akan membubarkan parti ini sehingga akhir nyawa saya,'' katanya . Antara kata-kata lain mendiang yang menyentuh hati adalah, " Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya." semasa terlantar dihospital suatu ketika dahulu.

Semuga usaha murni mendiang Tan Sri Pandithan akan diteruskan oleh isteri mendiang dan juga ahli-ahli IPF yang lain dalam membantu golongan-golongan yang berpendapatan rendah dan juga kemiskinan tegar. Dan didalam usaha memantapkan lagi Barisan Nasional, diharap hasrat dan permohonan IPF untuk menjadi salah satu komponen Barisan Nasional akan diterima dengan tangan terbuka. Sekurang-kurangnya ada suara mereka di dalam parti pemerintah untuk membantu masyarakat kaum India yang daif. Kepada MIC, lupakan persengketaan anda dengan IPF. Terimalah IPF dengan se adanya. Bersatulah demi kebaikan semua masyarakat India di Malaysia. Ini cuma satu pandangan ikhlas dari penulis sebagai rakyat Malaysia untuk melihat semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman damai dan bersatu dalam memakmurkan negara.

Taminsari
Shah Alam.

1 ulasan:

Taminsari berkata...

Seperti yang disiarkan didalam forum Utusan Malaysia pada 10-10-2008 ( Jumaat ).

Bersatulah demi BN

NEGARA dikejutkan dengan kematian mendiang Tan Sri M.G. Pandithan pada bulan April yang lalu. Jasa Pandithan akan tetap dikenang dan diingati di sanubari seluruh rakyat berketurunan India yang berpendapatan rendah yang menganggap mendiang sebagai 'pejuang rakyat'.

Meskipun keadaan kesihatan Pandithan tidak berapa mengizinkan sebelum itu, namun mendiang tetap teguh berdiri di belakang Barisan Nasional terutamanya semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 walaupun parti IPF yang dipimpin oleh mendiang bukanlah parti komponen BN. Satu pendirian yang mana penulis rasa harus dihormati oleh semua parti politik di Malaysia.

Semasa hayat, Pandithan dilihat begitu gigih cuba merapatkan jurang antara kaum India yang berpendapatan rendah dengan golongan pertengahan dan atasan dalam masyarakat itu.

Semasa dalam MIC sehingga digugurkan dan kemudian menubuhkan IPF, mendiang tetap konsisten memperjuangkan nasib kaum India yang berpendapatan rendah tanpa berasa jemu dan putus asa. Pandithan dan IPF berdiri teguh di belakang BN pada setiap pilihan raya.

Walau pun ada usaha-usaha Pandithan untuk membawa IPF menyertai BN, namun ia ditentang keras oleh MIC.

Seperti yang kita tahu memang terdapat jurang yang besar di antara MIC dan IPF. Perbezaan ketara antara golongan atasan dan bawahan.

Kalau kita imbas kembali kepada keputusan PRU ke-12 yang lalu, terdapat ramai di kalangan ahli-ahli IPF yang mengundi parti pembangkang untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada MIC dan bukannya BN.

Ini diakui sendiri oleh ahli-ahli IPF di Teluk Intan, Perak selepas tamat pilihan raya. Walaupun terdapat sedikit kelembutan sejak akhir-akhir ini daripada MIC untuk berbaik-baik dengan IPF, namun ia masih tidak dapat direalisasikan lagi.

Di sini sebenarnya masalah kaum India di negara kita masih lagi terdapat 'jurang yang besar' sesama mereka. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Sebab itu mendiang Pandithan sentiasa berusaha keras cuba merapatkan jurang perbezaan ini.

MIC mewakili kaum India dan IPF juga mewakili kaum yang sama. MIC sepatutnya boleh menerima ahli-ahli IPF menjadi ahli mereka jika mereka memikirkan untuk mendapat sokongan dan menambah kekuatan parti daripada kaum India, tetapi sebaliknya, tidak.

Apabila IPF memohon untuk menjadi komponen BN, mereka membantah. Walaupun kaum India mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang dua juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin kaum India tidak boleh duduk semeja untuk berbincang.
Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh kaum India seperti ketua-ketua masyarakatnya.
Datuk Sri S. Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau dalam Kabinet.

Malangnya, masalah yang terbesar di kalangan pemimpin-pemimpin India adalah kerana mereka tidak boleh bersatu. Mereka bertelagah sesama sendiri. Yang menjadi mangsa adalah BN dan UMNO. Orang Melayu dan UMNO tentu masih ingat apa yang dituntut oleh kumpulan Hindraf.

Mereka menuduh BN yang ditunjangi oleh UMNO menindas kaum India di Malaysia. Mereka mengatakan yang UMNO dan BN tidak membantu untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat India.

Apabila masalah dalaman mereka tidak boleh diatasi oleh mereka sendiri, pada masa yang sama mereka cuba menuding jari dengan menyalahkan UMNO dan BN gagal membantu mereka.

Walaupun terdapat ramai di kalangan kaum India yang sudah berjaya menjadi kaya, menjadi golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain lagi, mereka gagal bersatu untuk membantu kaum India yang hidup di bawah paras kemiskinan ataupun kemiskinan tegar.

Mereka tiada persatuan-persatuan kebajikan yang boleh menolong dan mengurangkan beban golongan yang miskin. Kalau adapun, tidak banyak.

Antara kata-kata Pandithan semasa di perhimpunan Agung IPF tidak lama dulu ketika menjemput Samy Vellu merasmikan Mesyuarat Agung IPF selepas 20 tahun meninggalkan MIC: ''Saya akan berjuang dalam IPF sehingga ke akhir titisan darah saya.

''Ada pihak berkata Pandithan akan menjual parti, membubarkan IPF setelah kembali berdamai dengan Samy Vellu. Ini semua tidak benar.
''Hari ini saya jawab kesemua tuduhan yang dilemparkan ke atas saya. Pandithan akan mati sebagai ahli IPF dan tidak akan membubarkan parti ini sehingga akhir nyawa saya.''

Antara kata-kata lain mendiang yang menyentuh hati adalah, ''Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya.''

Semoga usaha murni mendiang Pandithan akan diteruskan oleh isteri mendiang dan juga ahli-ahli IPF yang lain dalam membantu golongan yang berpendapatan rendah dan juga kemiskinan tegar.

Kepada MIC, lupakan persengketaan dengan IPF. Terimalah IPF dengan seadanya. Bersatulah demi kebaikan semua masyarakat India di Malaysia dan BN.

Ini cuma satu pandangan ikhlas dari penulis sebagai rakyat Malaysia untuk melihat semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman damai dan bersatu dalam memakmurkan negara.

TAMINSARI
Shah Alam