Isnin, Oktober 20, 2008

Harapan Seorang Melayu !

Kemanakah akhirnya bangsa ku Melayu? Wajarkah dominan Melayu dalam politik dan pemerintahan negara kini digadaikan dengan perpecahan dan kehancuran? Wajarkah dominan itu digadaikan dengan masa depan yang gelap? Wajarkah dominan itu digadaikan dengan kelangsungan, kealpaan serta survival Melayu yang tidak punya arah dan tujuan di bumi bertuah ini?

Maka, seharusnyalah umat Melayu sedar bahawa kecenderungan untuk menimbulkan sebarang perselisihan dan perbalahan yang didorong oleh sesuatu kepentingan yang sempit, adalah suatu perbuatan yang patut dihindarkan. Penghindaran ini perlu kerana segala perselisihan dan perbalahan yang bertujuan untuk memecah belahkan hanya akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.

Seharusnya jugalah umat Melayu hari ini patut sedar dan insaf bahawa setiap perjuangan yang menyimpang dari jalan yang diredai Allah hanya akan berakhir dengan kegagalan. Setiap langkah yang tidak lurus hanya akan menuju ke lembah kehancuran. Jadi, masalah pokoknya sekarang, umat Melayu sekarang sedang berpecah belah. Dalam konteks politiknya, umat Melayu berpecah kepada beberapa kelompok. Juga yang menjadi masalah pokok mutakhir ini ialah, jika gagal di atasi dengan segera, pasti akan terus menggugat dominan, ketuanan ataupun keindukan Melayu dalam politik dan pemerintahan tanahair.

Keadaan mutakhir ini juga menjadi kian haru biru apabila perpecahan Melayu dan gugatan kepada ketuanan Melayu diporak perandakan lagi dengan campurtangan pemimpin politik bukan Melayu yang memang jelas tidak mahu menerima Melayu sebagai teras politik negara, apatah lagi menjadi teras kepada bangsa Malaysia. Bagaimanakah keadaan ini harus di atasi? Kemanakah akhirnya Melayu yang sedang berpecah belah dan sedang diganggu gugat ketuanannya sekarang?

Persoalan-persoalan sedemikian perlu dipecahkan dan dirungkai dengan segera demi keutuhan politik Melayu dan dominen Melayu. Persoalan ini penting di atasi segera kerana dalam Pilihanraya Umum akan datang, kesetiaan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi kukuh seperti dulu. Sebaliknya, kesetiaan itu nampaknya terlalu rapuh dan goyah.

Masalah kesetiaan Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional yang tidak total ini adalah hakikat dan ianya adalah suatu krisis. Krisis ini bukan krisis UMNO. Atau krisis PAS mahupun krisis pengikut Anwar. Tapi krisis ini adalah krisis Melayu seluruhnya. Krisis yang melanda sekarang adalah krisis Melayu yang sebenarnya kerana cauvenis DAP serta ekstrimis PAS yang kini bergabung dengan para pendokong reformasi, sebenarnya adalah satu kombinasi yang amat berbahaya dan boleh menghancurkan bangsa Melayu dan negara Malaysia dalam masa yang begitu singkat. Masalah ini tidak boleh dipandang ringan atau diperkecil-kecilkan oleh umat Melayu.

Kegagalan Melayu membendung dan mengatasi krisis ini akan merugikan Melayu sendiri. Ia sungguh merugikan kerana jika UMNO yang menjadi teras Barisan nasional gagal mempertahankan kedudukannya, maka gabungan pembangkang itulah yang akan menang. Kalau mereka menang, siapakah yang boleh menjamin kestabilan politik di Malaysia dan kesejahteraan rakyat ketika itu?

Dalam konteks ini, adakah impian Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP, PAS, PKR dan sekutunya mahu menukar kerajaan dalam Pilihanraya Umum akan datang bakal menjadi kenyataan? Andaian yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ialah mereka menerima `durian runtuh ’ hasil pembebasan Anwar Ibrahim. Mereka berpendapat isu Anwar itu `bak bulan jatuh ke riba’ dan sekaligus menyemarakkan lagi nafsu rakus mereka mahu menumbangkan kekuasaan Melayu yang kini diterajui oleh UMNO! Ditambah lagi dengan kesan kenaikan minyak menyemarakkan lagi tekanan mereka terhadap BN.

Memang andaian adalah andaian semata-mata. Manusia merancang tapi Tuhan yang akan menentukan segala-galanya. Bagaimanapun andaian ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan Melayu tentang survival bangsanya. Tapi andaian ini cuma untuk meniupkan keinsafan dan kesedaran yang mendalam kepada bangsa Melayu dan pemimpin Melayu, betapa serius dan betapakah buruknya kesan percaturan politik yang mereka lakukan hari ini terhadap dominan Melayu dan masa depan bangsa Melayu. Senario inilah yang diandaikan sebagai krisis. Dan tanggungjawab mengatasi krisis ini adalah tanggungjawab seluruh bangsa Melayu. Melayu dari UMNO, Melayu dalam Pas atau Melayu yang bersimpati dengan gerakan reformasi tidak akan terlepas dari memikul tanggungjawab ini. Tidak ada siapa yang boleh menafikan amanah dan tugas berat ini.

Senjata yang paling keramat dalam mengatasi permasalahan Melayu Lawan Melayu ini adalah keinsafan dan kesedaran di kalangan seluruh jiwa bangsa Melayu bahawa apa yang disifatkan sebagai krisis Melayu ini adalah realiti, adalah suatu hakikat dan suatu yang memang wujud dan sedang dirasakan oleh keseluruhan bangsa Melayu.

Senjata yang amat keramat untuk mengatasi krisis Melayu ini adalah hati dan dada yang dibuka seluas-luasnya dan seikhlas-ikhlasnya disaingi dengan satu keinsafan yang mendalam bahawa di samping orang Melayu yang dikenali sebagai Melayu, orang Melayu juga sebenarnya adalah orang Islam, penganut agama Allah. Apabila permis kesedaran dan keinsafan ini boleh diterima, semua pemimpin parti politik Melayu perlu bermusyawarah dan bermuzakarah. Ikatkan semula silaturahim yang tulen, gabungkan pemikiran yang tenang dan cetuskanlah gagasan perpaduan yang jitu dan diredai Allah.

Usaha seperti ini mustahil tidak boleh dijalankan kerana yang memecah belahkan umat Melayu hingga peringkat yang paling parah hari ini bukannya perbezaan akidah Islam. Yang memecah belahkan mereka adalah sebab-sebab yang `politikal’, sebab-sebab yang berunsur politik semata-mata. Pihak-pihak Melayu yang di luar politik, seharusnya mengambil usaha untuk menjadi `juru damai’ kerana sebaik-baik perbuatan dalam sesuatu persengketaan adalah menjadi juru damai yang ikhlas dan jujur dengan kepentingan bangsa dan agama melandasi segala usaha murni tersebut.

Sewajarnya, janganlah orang Melayu hanya mahu dan terdesak untuk kembali bersatu apabila nasi sudah menjadi bubur. Berpadulah segera. Hari ini juga. Ini penting kerana dalam keadaan orang Melayu yang masih tercicir dan tertinggal dalam mensejahterakan ekonominya, orang Melayu perlu memiliki kepemimpinan yang berkeupayaan, tabah, jujur dan ikhlas. Kepemimpinan Melayu, biar dari puak mana sekalipun, perlu kembali bertaut kerana orang Melayu masih memerlukan ketuanannya di negara yang berbilang kaum ini. Melayu masih perlu menjadi induk kepada bangsa Malaysia kerana orang Melayu tidak rela menjadi satu bangsa yang terhina akhirnya ditimpa nasib seperti " itik di air mati kehausan, ayam di kepok mati kelaparan ".

Ingatlah bangsaku! Melayu sudah tidak mampu berpecah. Melayu sudah tidak berupaya untuk bersengketa. Jangan biarkan Melayu terus lawan melayu! Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ingatlah masa depan anak cucu kita. Jangan jadikan mereka nanti merempat di tanahair mereka sendiri di sebabkan kelalaian kita sekarang. Inilah harapan ku sebagai seorang Melayu yang beragama Islam…Bersatulah bangsaku..!.

Taminsari
Shah Alam.

Tiada ulasan: