Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, April 23, 2014
UNISEL rugi lagi...!!! Kenyataan yang paling tak masuk akal dari seorang pemegang PhD bernama Dr. Halimah?
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali menegaskan kerugian yang dialami Universiti Selangor (UNISEL) selama lima tahun berturut-turut bukan berpunca daripada kegagalan beliau mentadbir urus institusi pendidikan di negeri itu.
Sebaliknya, Halimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selat Klang dilaporkan Antarapos berkata faktor lokasi dan asrama yang jauh dan tidak strategik menyebabkan institusi itu tidak menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Berpunca dari segi asrama itu sendiri yang tidak kondusif dan tidak mengikut spesifikasi. Ini menyebabkan dalam masa dua tahun ini Ketua Audit Negara sendiri mengatakan pembinaan asrama itu menyebabkan tidak sesuai diduduki oleh pelajar.
“Apabila asrama itu jauh, mereka terpaksa tinggal jauh dari Unisel dan terpaksa berulang sejauh 15, 20 km sekaligus menyebabkan mereka terpaksa mencari pilihan lain. Maka Unisel tidak menjadi pilihan di Bestari Jaya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Jurnal Unisel dan Pusat Fisioterapi dan Makmal, Klinikal, Diagnostik di Unisel kampus Shah Alam, petang tadi.
Halimah berkata demikian ketika ditanya adakah kerugian UNISEL itu mencerminkan kegagalan beliau sebagai Exco Pendidikan.
Halimah bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa kerajaan negeri tidak mengatasi masalah itu dan menukar strategik pemasaran agar UNISEL menjadi antara pilihan pelajar lepasan SPM.
Sejak mengambil alih Selangor, Pakatan Rakyat (PR) Selangor mula menuding jari kepada kerajaan terdahulu sebagai faktor kemerosotan UNISEL, meskipun dua penggal PR memerintah negeri itu.
Laporan Audit 2013 mendedahkan Unisel mengalami kerugian kira-kira RM37 juta, berikutan bilangan penuntut di universiti itu merosot sejak 2009.
Laporan itu menyebut kedudukan kampus yang jauh dari asrama telah menyumbang kepada kemerosotan bilangan penuntut universiti itu dalam tempoh lima tahun berturut-turut.
Kerugian secara konsisten itu mengundang persoalan mengapa rizab negeri yang melebihi dari RM3 bilion seperti yang dicanang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini tidak digunakan untuk mengatasi masalah ini.
Diajukan hal itu, Halimah berkata dana berjumlah RM60 juta disalurkan kepada UNISEL seperti yang diumumkan melalui Sidang DUN Selangor baru-baru ini.
“RM60 juta ini untuk tujuan itulah (baikpulih Unisel). (Diambil) daripada rizab negeri itu,” katanya.
Sementara itu, pada 17 April lalu, The Malaysian Insider melaporkan sekumpulan aktivis mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di hadapan pintu utama bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) mendesak kerajaan Selangor mewujudkan pendidikan percuma serta kebebasan akademik.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Bebas 2.0 mengemukakan lima tuntutan, iaitu bebaskan mahasiswa daripada hutang, bebaskan universiti daripada campur tangan politik, bebaskan mahasiswa menguruskan kewangan persatuan sendiri, mahu menguruskan pilihan raya kampus sendiri dan membebaskan universiti daripada sistem budaya berfikir yang tidak demokratik.
Mereka juga menuntut supaya kerajaan negeri menjadikan UNISEL sebagai perintis kebebasan akademik dan pendidikan percuma tersebut.
“Kami yakin Selangor mampu melaksanakan tuntutan ini.
“Kami juga mahu Selangor duduk semeja dengan mahasiswa untuk membincangkan hala tuju mahasiswa,” katanya dalam kenyataan bersama lapan organisasi pelajar iaitu Gerakan Mahasiswa Sedar, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis),Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Sister in Movement (SIM), Pro Mahasiswa Universiti Malaya dan Pro-Mahasiswa Nasional.
Membawa sepanduk “Mahasiswa tuntut kebebasan akademik dan pendidikan percuma” merancang menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Abdul Khalid.
Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu tidak dibenarkan masuk ke dalam premis Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) apabila dihalang pengawal keselamatan yang kemudiannya bertindak menutup pintu pagar utama.
Jurucakap kumpulan itu, Abdul Muqif Muhammad ketika ditemui berkata sebelum ini memorandum sama telah dihantar ke Parlimen dan disambut baik.
“Kami tidak diberikan sebarang sebab mengapa kami dihalang daripada masuk.
“Kami kecewa dengan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) ini yang sebelum ini begitu lantang menyuarakan isu kebebasan akademik dan pendidikan percuma.
“Tuntutan kami ini relevan dengan kehendak dan keperluan rakyat terutamanya golongan mahasiswa sama dengan dasar yang diambil PR Selangor iaitu pemerintah berjiwa rakyat
“Kami juga mahu kerajaan PR Selangor membuktikan kelantangan mereka sebelum ini dan bukan sekadar indah di bibir sahaja,” katanya.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan