Rabu, April 16, 2014

Tiada kata sepakat untuk hudud : Azmin Ali menegaskan PR kekal tolak hudud?


Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengulangi pendirian Pakatan Rakyat (PR) untuk tidak melaksanakan hukum hudud dalam negara.

Menurut Azmin, perkara ini dipersetujui dalam Majlis Pimpinan PR pada tahun 2011 yang dihadiri semua pemimpin tertinggi PAS, DAP dan PKR.

“Perkara ini bagi saya tidak berbangkit kerana kita telah berbincang dengan terperinci dalam Majlis Pimpinan PR yang dihadiri semua pemimpin tertinggi. Perbincangan (ketika) itu berkisar kepada kertas kerja yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita telah menjelaskan pendapat kita dan berdasarkan konsensus itu, kita memutuskan banyak kali. Bagi saya kita tetap akan berpegang kepada pendirian PR dalam sesi tersebut,” kata Azmin dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR disini hari ini.

Azmin bagaimanapun berkata beliau yakin pimpinan kerajaan negeri Kelantan akan merujuk kepada pimpinan PR mengenai isu ini.

“Saya pasti yang orang ramai akan dapat penjelasan lanjut mengenai isu itu. Jika ada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan negeri Kelantan, saya pasti pemimpin negeri akan berbincang dengan pimpinan PR supaya kita boleh beri pendapat kita,” katanya lagi.

Belum dirujuk

Azmin bagaimanapun memberitahu majlis pimpinan PR belum lagi dirujuk oleh kerajaan negeri Kelantan mengenai isu ini.


“Saya tak nak membuat spekulasi…usul ini belum lagi dibincangkan (di Parlimen) dan saya pasti perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan PR yang seterusnya.

“Apa yang saya rujuk sebelum ini ialah bil (Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II) di Kelantan dibuat lebih awal sebelum penubuhan PR dan kita telah bincangkan perkara ini dalam mesyuarat sebelumnya.

“Apa pun jika ada perkembangan terbaru saya yakin PAS akan merujuk kembali kepada majlis pimpinan untuk membincangkannya,” tegas Azmin.

Kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai PAS baru-baru ini bercadang untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II.

Cadangan ini kemudiannya ditentang oleh Ahli Parlimen Gelugor Karpal Singh dengan alasan bahawa perlaksanaan hukum hudud bertentangan dengan perlembaagaan kerajaan persekutuan walaupun ianya telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: