Jumaat, April 04, 2014

Anwar didakwa tipu ahli PKR?


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hanya menipu ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila beliau menafikan niatnya bertanding jawatan Presiden adalah bagi menutup peluang Azmin Ali merebut jawatan itu.

Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zamil Ibrahim berkata, Anwar pernah melakukan tindakan serupa semasa pemilihan PKR pada 2007.

Menurut beliau, ketika itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berdepan tentangan sengit mempertahankan jawatan Presiden daripada bekas timbalannya, Abdul Rahman Othman.

"Saya terlibat secara langsung sebagai pengurus kempen Abdul Rahman dalam pemilihan yang turut menyaksikan Anwar dicalonkan bagi jawatan nombor satu PKR tersebut.

"Walaupun Anwar menarik diri, Kongres PKR di Seremban pada 2007 telah menyaksikan beliau tiba-tiba memotong giliran perwakilan Perlis dan menggunakan masa hampir sejam berkempen untuk isterinya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam ceramah di Kompleks Pas Pokok Sena, Kedah malam tadi, Anwar menafikan beliau bertanding Presiden PKR semata-mata untuk menghalang Azmin yang juga Timbalan Presiden parti itu daripada menyertai pertandingan merebut jawatan tertinggi parti.


Zamil menambah, Abdul Rahman akhirnya menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan Presiden PKR apabila melihat situasi berat sebelah yang lebih memihak kepada Wan Azizah.

"Amat jelas Anwar telah memijak demokrasi di dalam PKR dan bagi saya, perbuatan itu satu kerja yang sangat gila semata-mata memastikan PKR tetap dimiliki keluarganya," ujarnya.

Beliau memberitahu, Anwar kini mengulangi taktik serupa dalam pemilihan PKR tahun ini bagi menghalang Azmin mencabar Wan Azizah.

"Jika penyokong Azmin mengemukakan borang pencalonan jawatan Presiden, ahli-ahli PKR akan melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang 'lawan tauke'.

"Ramai ahli PKR melihat Anwar sebagai 'maksum' dan mana-mana pemimpin parti yang tidak mengikut arahan beliau akan dilabel sebagai pengkhianat serta penderhaka," jelasnya.

Zamil juga hairan dengan sikap Azmin yang seolah-olah reda dengan perbuatan Anwar itu sehingga terpaksa mengorbankan impiannya untuk bergelar Presiden PKR.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli PKR membuka mata dan berfikir secara tenang agar mereka dapat melihat betapa liciknya Anwar menipu mereka.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: