Rabu, April 16, 2014

Hudud : PAS Diminta Tidak Tunduk Kepada Bantahan DAP/PKR?


PAS diminta oleh bekas pemimpinnya supaya tidak tunduk kepada bantahan DAP dan PKR dalam membentangkan usul rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata inilah masa terbaik bagi PAS membentangkan rang undang-undang itu untuk membolehkan kerajaan negeri Kelantan mendapat kebenaran melaksanakan hudud memandangkan kerajaan persekutuan dan Umno sudah menyatakan sokongan.

"Hudud merupakan antara teras perjuangan PAS, yang telah lama kita perjuangkan kerana ia tuntutan syariah. Saya harap matlamat pelaksanaan syariah lebih diutamakan daripada sebarang percaturan lain yang bersifat politik.

"PAS perlu pastikan ia jadi realiti kerana inilah yang ditunggu oleh orang Islam," katanya ketika ditemui pada seminar antarabangsa 'Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah' di sini Khamis.

Ketua Publisiti DAP Tony Pua dan Naib Presiden PKR N Surendran memberi peringatan keras kepada PAS bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen akan ditentang.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) akan dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Ditanya mengenai tindakan PAS di negeri-negeri tertentu yang gagal tampil menyatakan sokongan terbuka kepada hasrat Kerajaan PAS Kelantan itu, Nasharudin berkata keputusan mengenai hudud dan langkah membentangkan di Parlimen adalah usaha kolektif.

"Apabila keputusan secara kolektif telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, ia harus dihormati walaupun mungkin individu ada pandangan sendiri," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: