Ahad, Ogos 26, 2012

Regim MB Khalid gagal tunai janji air percuma?



Bukan sahaja berdepan dengan krisis bekalan air, regim kerajaan negeri Selangor di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa 'berhutang' lebih RM300 juta kepada beribu-ribu penduduk di negeri itu kerana gagal menunaikan janji untuk memberikan air percuma secara menyeluruh sejak tahun 2008.

Difahamkan, para penduduk yang mendiami 1,378 pangsapuri di seluruh negeri itu tidak pernah mendapat manfaat air percuma gara-gara kerajaan negeri menetapkan pemberian subsidi hanya kepada pengguna meter individu dan bukannya meter pukal.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, setiap rumah di negeri Selangor berhak mendapat subsidi air percuma sebanyak 20 meter padu atau subsidi RM11.40 sebulan sebagaimana yang dijanji dan dilaung-laungkan pakatan pembangkang sebagai kejayaan mereka.

" Malangnya melalui kajian yang dilakukan, sejumlah 1,378 pangsapuri diseluruh negeri Selangor tidak pernah mendapat subsidi ini kerana mereka menggunakan meter pukal sedangkan penghuni-penghuni dirumah banglo mewah yang menggunakan meter individu menikmatinya.

" GPRS menegaskan kerajaan negeri Selangor perlu bertanggungjawab kerana setiap penghuni pangsapuri terbabit terlepas subsidi sebanyak RM570 sekiranya dihitung tempoh 50 bulan sejak kerajaan regim PKR berkuasa diSelangor," katanya disini hari ini.

Tegas beliau, dengan anggaran sebanyak 689,000 unit rumah daripada 1,378 pangsapuri terbabit, kerajaan negeri Selangor berhutang lebih RM300 juta sebagai tunggakan subsidi kepada jumlah isi rumah yang terlepas pandang.

" Kerajaan negeri tidak sewajarnya membeza-bezakan pengguna meter individu dengan pengguna meter pukal kerana regim pakatan pembangkang telah berjanji dalam manisfesto tahun 2008 untuk memberi air percuma setiap bulan kepada seluruh rakyat Selangor," katanya.

Sekadar gambar hiasan

Sementara itu, penduduk di pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya telah mengambil langkah ke hadapan dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk menuntut tunggakan subsidi air sebanyak RM1.1juta bagi penghuni di 1,892 unit rumah yang menggunakan meter pukal dipangsapuri berkenaan.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Mentari Court, Kamarul Zaman Kamarudin berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada regim kerajaan negeri Selangor dibawah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan isu tersebut dan memberi gantirugi RM570 kepada setiap isi rumah yang tidak pernah mendapat subsidi air sejak Ogos 2008.

" Sekiranya, Abdul Khalid tidak menyelesaikannya dalam tempoh berkenaan, kami akan mengambil tindakan dimahkamah kerana subsidi itu perlu diberikan secara adil tanpa diskriminasi," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh peguam, Hasnal Rezua Merican.

Kata beliau, pihaknya telah menggunakan pelbagai saluran sebelum ini termasuk bertemu dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn.Bhd. ( Syabas ), namun sehingga kini, masalah tersebut berlanjutan ekoran kekangan kerajaan negeri terhadap pengguna meter pukal.

" Kami kecewa kerana tidak pernah menikmatinya sedangkan mereka telah berjanji dalam manifesto pilihanraya pada tahun 2008 malah berulang kali mengumumkannya sebagai kejayaan mereka.

" Kami menuntut Menteri Besar untuk menunaikan janji yang telah diberikan. Malah, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan setiap rumah diSelangor mendapat subsidi ini tanpa mengira kawasan atau latar belakang," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: