Ahad, Ogos 05, 2012

MB Khalid diminta beri penjelasan?



Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan agar tidak berdiam diri dengan mengetepikan segala dakwaan penyelewengan membabitkan pengambilalihan hutang Talam Corporation Bhd. (Talam).

Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Badrul Hisham Badrudin menuntut agar Abdul Khalid memberi penjelasan segera mengenai pendedahan terbaru MCA bahawa kerajaan negeri mengarahkan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB) mengambil alih tanah seluas 160 hektar milik Talam di Bukit Ulu Yam.

Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri itu dilihat tidak munasabah dan mencetuskan pelbagai keraguan kerana harga tanah yang diambil alih oleh KHSB lebih tinggi berbanding pasaran, selain keadaan muka buminya yang mempunyai kecerunan melebihi kelas tiga.

"Sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan proses pengambilalihan hutang Talam dilakukan oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI). Jika sedemikian, apa kewajarannya kerajaan negeri atau MBI menggunakan anak syarikat seperti KHSB untuk mengambil tanah seluas itu di Bukit Ulu Yam dengan harga RM18 juta?

"Kenapa pembelian tanah tersebut lebih tinggi daripada harga pasaran yang hanya RM12.7 juta? Jika benar dakwaan itu, bagaimana penilaian tanah berkenaan dilakukan oleh kerajaan negeri dan siapakah yang terlibat?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas dakwaan Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong semalam yang menyatakan kerajaan negeri telah mengarahkan KHSB untuk mengambil alih tanah milik Talam di Bukit Ulu Yam meskipun 55 peratus kawasan itu tidak boleh dibangunkan kerana mempunyai kecerunan di antara kelas tiga dan kelas empat iaitu melebihi 35 darjah.

Selain bercerun, kerajaan negeri dikatakan turut mengarah serta memaksa KHSB mengambil alih tanah tersebut pada harga RM18 juta sedangkan ia hanya bernilai RM12.7 juta walaupun anak syarikat itu telah menolak cadangan kerajaan negeri itu pada 3 Mei 2010.

Badrul Hisham berkata, sekiranya dakwaan MCA tersebut benar, ini menunjukkan kerajaan negeri seolah-olah membuat keputusan yang merugikan rakyat Selangor.

"Kita tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri tahu tanah tersebut tidak boleh dibangunkan sepenuhnya, namun mereka tetap mahu KHSB mengambil alih tanah tersebut untuk menjustifikasikan rancangan pengambilalihan hutang Talam," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: